10 Oktober 2014

HANGPA JANGAN BERTUMBUK SUDAHLAH....ISU UBAH TARIKH PERLAWANAN, SIKAP DOUBLE STANDARD FAM


TMJ cadang Presiden PBSNT bersemuka dengannya



DI kala isu mengenai pertukaran tarikh perlawanan suku akhir Piala Malaysia sedang hangat diperkatakan, Tunku Mahkota Johor di dalam satu kenyataan lewat petang ini mahu Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersemuka dengannya.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) mahu Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid bersemuka dengannya jika perkara berkenaan pertukaran tarikh perlawanan di antara kedua-dua pasukan itu melibatkan isu peribadi.

"Kepada Datuk Wan Ahmad Nizam dan individu-individu yang berkenaan adakah ini isu bolasepak atau peribadi? Kalau ini isu peribadi, tidak perlulah kita libatkan penyokong atau FAM dan saya cadangkan kita selesaikan isu ini secara bertamadun dan bersemuka dengan saya," kata baginda.

Tunku Mahkota Johor pelik kerana ada pihak membantah keputusan FAM yang jelas mematuhi peraturan dan undang-undang FIFA.

Baginda mempersoalkan sama ada pihak-pihak terbabit mahu bolasepak negara maju atau mahu FAM melanggar peraturan yang telah digariskan oleh FIFA dan menggunakan bolasepak untuk kepentingan politik mereka.

Tunku Mahkota Johor itu mengulas tentang ketidakpuasan hati Wan Ahmad Nizam tentang keputusan FAM menunda perlawanan suku akhir Piala Malaysia di antara JDT dengan Terengganu di Stadium Larkin daripada Sabtu ini kepada 17 Okt depan.

Presiden PBSNT itu turut mengancam untuk memboikot perlawanan pada 17 Oktober itu sekiranya FAM melayan permintaan Johor untuk menunda perlawanan itu.

Beliau mendakwa FAM bersikap "double standard" dengan melayan permintaan Johor untuk menunda perlawanan di antara kedua-dua pasukan itu.

Di dalam kenyataan yang berkemungkinan ditujukan kepada Penasihat Persatuan Bolasepak Negeri Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, Tunku Ismail berkata, ahli politik tidak perlu mempolitikkan bolasepak kerana sukan itu sepatutnya menyatupadukan rakyat.

"Sebagai seorang yang bergelar wakil rakyat, anda tidak sepatutnya menambah kemarahan rakyat untuk berbalah," kata baginda.

Annuar merupakan anggota Parlimen kawasan Ketereh, yang turut lantang mengkritik keputusan FAM untuk menunda perlawanan suku akhir Piala Malaysia pada 17 Okt itu diatas permintaan Johor. -- MALAYSIAGAZETTE

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...