28 Ogos 2014

GEMPAR!! Papan tanda menara Umno senget

Papan tanda menara Umno senget

GEORGETOWN - Penduduk di negeri ini mula khuatir apabila dikhabarkan Bangunan Menara Umno yang terletak di Jalan Macalister bakal runtuh.

Semuanya gara-gara maklumat palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa paparan logo di bumbung berkenaan kelihatan senget 15 darjah dan dikatakan boleh runtuh bila-bila masa.
Kegusaran itu bertambah apabila pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu di laman sosial dan memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan berkenaan kerana bimbang bakal ditimpa malapetaka seperti yang pernah berlaku 13 Jun tahun lalu.

Pemilik menara berkenaan, JKP Sdn Bhd ketika dihubungi bagi meminta penjelasan mengenai perkara itu kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu sehingga mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai.

Pengurus Harta JKP Sdn Bhd, Noor Azlina Zakaria berkata, Menara Umno masih lagi dalam keadaan selamat dan dakwaan yang mengatakan paparan logo di bahagian atas menara berkenaan senget adalah tidak berasas.

“Laporan yang mendakwa Menara Umno tidak selamat dan bakal runtuh adalah palsu dan tidak bertanggungjawab.

“Sepatutnya mereka (media/penyebar maklumat) perlu mendapatkan pengesahan dahulu daripada pihak berkaitan termasuk JKP Sdn Bhd sebelum menyebarkan sebarang maklumat. Tindakan ini mencetuskan panik kepada orang ramai dan saya tidak tahu apakah motif sebenar mereka berbuat demikian sama ada bertujuan politik atau bertujuan lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Noor Azlina berkata, pihaknya membuat laporan polis dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu itu.

Dalam pada itu, Noor Azlina berkata, JKP Sdn Bhd sentiasa memantau aspek keselamatan bangunan itu selain melakukan penyelenggaraan mengikut jadual.

Katanya, isu keselamatan tidak timbul kerana keseluruhan bangunan berada dalam keadaan baik.

Sementara itu, Pengarah Bangunan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Yew Tung Seang berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di bangunan berkenaan sejurus mendapat maklumat mengenai berita palsu itu.

“Beberapa pegawai dihantar untuk melakukan pemeriksaan setelah kita mendapat maklumat yang mengatakan paparan logo di bahagian atas bangunan berkenaan senget.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati dakwaan yang dibuat itu tidak tepat sama sekali dan foto yang dimuat naik di laman sosial dipercayai foto lama ketika kejadian runtuhan tahun lalu,” katanya.

Tung Seang berkata, pihaknya sentiasa peka dengan maklumat yang disampaikan orang ramai namun tidak bersetuju dengan tindakan memuat naik sebarang maklumat yang tidak sahih di laman sosial tanpa mendapatkan pengesahan terlebih dahulu.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi talian 04-263 7637.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...