26 Mac 2014

PENAMATAN AZMIN KEKAL TERGANTUNG...MACAM TELAHAN BOMOH 1M



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pengguguran Mohamed Azmin Ali daripada PKNS dilakukan berdasarkan tafsiran pegawai tertinggi PKNS. 

Isu penamatan perkhidmatan Mohamed Azmin Ali sebagai Anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghangatkan sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) apabila terdapat percanggahan kenyataan antara beliau dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam sesi pendengaran itu, Khalid yang juga pengerusi PKNS berkata, keputusan penamatan perkhidmatan Azmin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, masih 'tergantung' bagi membolehkan siasatan daripada setiap sudut, termasuk aspek perundangan.

"Siasatan juga meliputi keputusan yang dibuat atau dokumen yang dikeluarkan PKNS tanpa pengetahuan atau kelulusan pengerusi dan ahli lembaga pengarah lain," katanya pada sesi pendengaran itu.

Penamatan Azmin Ali Sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS Kekal Tergantung

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memberi keterangan sebagai saksi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) yang mengadakan sesi pendengaran awam berhubung Strategi Pemulihan Pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)-Integrity Pact.

Menteri Besar telah menjelaskan bahawa keputusan penamatan khidmat ADUN Bukit Antarabangsa, YB Mohd Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS masih kekal tergantung bagi membolehkan siasatan dari setiap sudut dilakukan termasuk aspek perundangan.

Beliau menjelaskan, siasatan juga meliputi keputusan-keputusan yang telah dibuat atau dokumen-dokumen yang telah dikeluarkan PKNS tanpa pengetahuan atau kelulusan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah lain.

“Penangguhan ini juga kerana siasatan terhadap Setiausaha Kerja PKNS yang mengeluarkan kenyataan akhbar yang bercanggah selain terdapat surat yang didakwa dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang mengarahkan PKNS menarik balik penamatan kontrak saudara Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah."

“Semua aspek ini diambil kira dalam menjalankan siasatan dalaman. Sebab itulah penamatan kontrak saudara Azmin masih kekal tergantung,” kata Menteri Besar.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan beliau tidak pasti bilakah siasatan dalaman yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohamed Khusrin akan disiapkan kerana beliau tidak boleh campur tangan atau mendesak supaya siasatan disegerakan.

Menteri Besar berulang kali menegaskan bahawa penamatan Azmin sebagai Ahli Lembaga PKNS tidak pernah dibincang atau diputuskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tetapi keputusan itu dibuat berdasarkan interpretasi pegawai tertinggi PKNS.

Mengenai penamatan kontrak 20 kakitangan PKNS Holdings, beliau menjelaskan keputusan itu diputuskan oleh Pemangku Pengurus Besar PKNS, Haji Azlan Alfiah selepas kajian yang mengambil kira pandangan kakitangan tetap serta untuk menjaga kepentingan PKNS khususnya dalam penjimatan kos operasi.

Menteri Besar menjelaskan, pengambilan kakitangan kontrak itu dibuat oleh PKNS Holdings yang mana Pengurus Besar mempunyai kuasa penuh dan tidak perlu mendapat kebenaran beliau selaku Pengerusi PKNS.

“Bagaimanapun, laporan audit dalaman menunjukkan kos operasi terlalu tinggi bagi kakitangan kontrak ini dan saya telah meminta Pemangku Pengurus Besar melihat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya,” tegas beliau.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau juga telah mengarahkan PKNS bertindak segera apabila terdapat teguran daripada wakil rakyat Barisan Nasional pada 2011 yang mendakwa PKNS berbelanja berlebihan dengan melantik pengurus media, penulis teks ucapan dan pengarah pemasaran sedangkan sudah mempunyai kakitangan tetap yang berupaya melaksanakan tugas-tugas itu.

"Saya telah mengarahkan Pengurus Besar supaya bertindak dan beliau berjanji akan memperbetulkan perkara tersebut. Kelewatan mengambil tindakan kerana kita perlukan siasatan untuk memberi keadilan kepada semua. Apabila keputusan telah kita buat, ada yang tidak senang. Tetapi saya percaya, tindakan yang diambil Haji Azlan ini adalah menyeluruh,” kata Menteri Besar.

Selesai memberi keterangan, Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada SELCAT yang berjaya meletakkan penanda aras yang tinggi di Negeri Selangor dengan mengamalkan pentadbiran yang berpaksikan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawab.

SELCAT dipengerusikan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Hannah Yeoh dan dianggotai empat ADUN Pakatan Rakyat iaitu Timbalan Speaker, YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Sri Setia) YB Saari Sungib (Hulu Kelang), YB Dr Rani Osman (Meru), YB Ng Sue Lim (Sekinchan) dan seorang wakil BN, YB Sulaiman Razak (Permatang).


DIKELUARKAN OLEH
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

25 MAC 2014

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...