24 April 2012

PEJABAT PEGUAM NEGARA SWISS SAHKAN AKAUN WANG HARAM MUSA AMAN!


Ya, Kami Telah Bekerjasama Dengan Pihak Hong Kong Berkenaan Kes Musa Aman – Kenyataan Pihak-Pihak Berkuasa Swiss!

Menurut kenyataan dari pejabat Peguam Negara Swiss yang diterbitkan pada hari ini dalam akhbar kebangsaannya, telah menambahkan dan memperkuatkan lagi bukti kami bahawa Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, telah dibabitkan dalam penyiasatan yang melibatkan wang sogokan kegiatan pembalakan bernilai US$90 juta.

Akhbar mingguan Sonntagszeitung yang beribu-pejabat di Zurich, sedang mengikuti laporan kami bahawa pihak berkuasa Hong Kong telah menyiasat jutaan dollar, yang disalurkan dari syarikat-syarikat yang terbabit dengan lesen-lesen pembalakan di Sabah ke dalam akaun bank UBS Zurich di atas nama Musa Aman sendiri. Akhbar Sonntagszeitung pada mulanya telah mencabar kesahihan bank UBS Swiss yang dituduh menguruskan segala transaksi menerusi jaringan akaun-akaun bank yang kompleks, yang dikendalikan oleh dua orang rakan Ketua Menteri Sabah itu, iaitu peniaga kayu balak Michael Chia dan peguam Richard Christopher Barnes. Sehingga kini bank berkenaan belum lagi memberikan sebarang komen.

Namun, akhbar berkenaan telah menerima pengesahan ke atas siasatan itu dari agensi penguatkuasa perundangan Swiss, iaitu Pejabat Peguam Negaranya.
Para pemberita telah mengemukakan suatu soalan, dengan menyebut secara betertib nama Musa Aman, dan dengan menyentuh kedudukannya dan sejumlah wang bernilai US$90 juta yang mana pihak berkuasa Hong Kong telah dipercayai menjalankan siasatan mereka juga.


Mereka bertanya sama ada pihak-pihak berkuasa Swiss telah didatangi oleh ICAC Hong Kong bagi membantu dengan memberikan maklumat berkenaan kes berkenaan:
Soalan: “Seorang ahli politik Malaysia, Musa Aman, seorang menteri yang menerajui kerajaan Sabah kini, merupakan orang yang terlibat dalam kes rasuah di Malaysia dan juga di Hong Kong. Pihak anti rasuah Hong Kong telah memfailkan laporan berkenaan. Difahamkan bahawa menerusi wakil-wakilnya, Musa Aman telah menerima sejumlah US$90 juta wang sogokan daripada syarikat-syarikat pembalakan sebagai wang sogokan mereka untuk mendapatkan lesen-lesen pembalakan.

Adalah disyaki bahawa wang itu telah disalurkan menerusi suatu jaringan syarikat-syarikat dan didepositkan ke dalam akaun bank UBS di Hong Kong dan Zurich atas namanya. Peguam Richard Christopher Barnes dan peniaga Chia Tien Foh disebutkan sebagai wakil-wakil kepada Musa Aman itu. Kejadian ini berlaku antara tahun-tahun 2006 hingga 2008. Persoalan saya seterusnya: Sudahkah Pejabat Peguam Negara mengetuai siasatan ke atas penyelewengan kewangan yang disyaki itu mahupun kes-kes jenayah yang berkaitan dalam konteks ini?” [Terjemahan soalan-soalan ini telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland, oleh akhbar mingguan Swiss yang beribu-pejabat di Zurich, Sonntagszeitung, 20hb April 2012]

Berikut adalah merupakan jawapan Pejabat Peguam Negara Switzerland yang mengesahkan bahawa siasatan ke atas kes yang melibatkan wang sogokan Musa Aman:
Kenyataan: “Pejabat Peguam Negara (Switzerland) dalam konteks ini telah memberikan kerjasama di segi perundangan. Hasil penguatkuasaan undang-undang telahpun dikemukakan ke Pejabat Persekutuan Kehakiman pada 29hb Mac 2012 untuk dikemukakan kepada pihak-pihak berkuasa Hong Kong yang telah memohonnya. Pejabat Peguam Negara tidak memaklumkan isi kandungan ataupun maklumat lengkap berkaitan bantuan perundangan yang dipohon itu.” [Terjemahan jawapan oleh Jacgueline Buhlmann, jurucakap untuk Pejabat Peguam Negara 20hb April 2012]
Kenyataan mengenai siasatan ini menjadikan suatu kesukaran bagi Musa Aman untuk terus menafikan pembabitannya dengan Michael Chia dan Richard Christopher Barnes, yang pada awalnya telah didakwanya sebagai sesuatu yang direka-reka.

Sejak kebelakangan ini Musa Aman dan para penyokongnya telah mengatur beberapa strategi penafian, dengan mengemukakan kenyataan-kenyataan yang menuduh Sarawak Report sebagai mereka-reka laporan, mengada-ngadakan bukti-bukti palsu dan menunjukkan-nunjukkan dokumen-dokumen yang telah disunting.
Mereka telah tegas dengan pendirian mereka, walaupun pihak UBS atau ICAC Hong Kong mahupun Malaysia bersedia untuk mengambil langkah-langkah untuk menafikan bahan-bahan yang kami kemukakan, yang sepatutnya diperlakukan sedemikian jika bahan-bahan kami itu sememangnya palsu.
Kini Musa Aman diwajibkan untuk membuat kenyataan selanjutnya untuk menjelaskan kedudukannya berkaitan perkembangan terkini. Adakah dia akan mengatakan bahawa pihak pendakwaraya Switzerland juga berbohong? Atau adakah dia akan mengatakan bahawa Akhbar Kebangsaan Switzerland itu mengada-ngadakan cerita bohong yang dikemukakan oleh pihak pendakwaraya mereka?

Musa Aman akan berdepan kesukaran untuk mengelak, kerana kenyataan yang berasingan yang diberikan kepada pihak Sonntagszeitung oleh Pejabat Kehakiman Swiss juga mengesahkan bahawa ianya membantu dalam pemindahan antarabangsa dokumen-dokumen yang dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara ke Hong Kong:
Kenyataan: “Dapat saya tambahkan di sini bahawa pada 31hb Mac 2012, Pejabat Persekutuan Kehakiman telah memindahkan fail-fail bagi membantu siasatan, sebagaimana diperlukan oleh Pejabat Peguam Negara, kepada pihak berkuasa Hong Kong yang memohonnya.” [Terjemahan kenyataan oleh Folco Galli, Ketua Pejabat Penerangan di Jabatan Kehakiman Swiss, 20hb April 2012]

Dalam responsnya terhadap perkembangan-perkembangan ini pihak NGO Swiss, Bruno Manser Fund kini telah mengeluarkan cabarannya kepada pihak Hong Kong untuk mendedahkan butir-butir lanjut dalam siasatan mereka itu.

Pihak BMF juga telah memohon dari ICAC Hong Kong untuk mengeluarkan laporan yang lengkap pada kenyataan akhbar mereka.

Dan pihak NGO berkenaan juga telah memberikan isyarat bahawa siasatan seterusnya perlu dijalankan ke atas peranan bank UBS Switzerland berkaitan skandal ini:
“Bruno Manser Fund telah meminta pihak-pihak berkuasa Hong Kong untuk memberikan butir-butir hasil siasatan mereka, kerana ini merupakan persoalan peringkat antarabangsa. Bruno Manser Fund mengutuk UBS kerana membenarkan kemasukan wang sogokan ke dalam simpanannya dan mempersoalkan sama ada bank itu ada menguatkuasakan undang-undang Swiss ke atas kegiatan itu” [Kenyataan akhbar BMF, 20hb April 2012]

Dalam pada itu, Sarawak Report merancang untuk meneruskan pelaporan dan pendedahan apa jua dokumen-dokumen berbukti yang didepositkan mengenai kes ini dalam sedikit masa lagi.

Kami akan terus bertanya mengapakah Peguam Negara Malaysia, Abdul Gani Patail dan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak telah bersekongkol menghalang pendakwaan ke atas kes ini menentang rakan politik mereka, iaitu Ketua Menteri Sabah?
Pihak-pihak berkuasa Switzerland telahpun memberikan kerjasama dalam penyiasatan ini, maka, bila lagi pihak berkuasa Malaysia berbuat demikian?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...