17 Februari 2012

TRANSFORMASI NAJIB GAGAL, CANTAS DAN BRAIN DRAIN KE LUAR NEGARA

Bekas ketua Petronas kini tokoh korporat di Singapura


KUALA LUMPUR, 17 FEB- Ia merupakan hari sedih untuk Malaysia apabila kerajaan UMNO-Barisan Nasional gagal menjaga bakat yang terbaik dan cemerlang seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Marican yang kini menyumbang kepakaran dan pengalamannya di Singapura.

Media massa melaporkan kelmarin bahawa Hassan telah dilantik sebagai Pengerusi Singapore Power Limited (SP) pada bulan Jun selepas Ng Kee Choe bersara.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Hassan meninggalkan Petronas pada tahun 2010 berikutan pergeseran dengan pentadbiran semasa, dan sejak itu beliau telah dilantik sebagai pengarah dalam firma-firma luar negara seperti syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan Singapura seperti SembCorp Industries Ltd, SembCorp Marine Ltd dan Singapore Power.

Beliau juga merupakan Pengarah di Sarawak Energy Bhd & US Oil dan syarikat gas gergasi Conoco Philips.

“Jelas Tan Sri Hassan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan amat diperlukan oleh syarikat- syarikat besar multinasional tetapi tidak diterima di rumah sendiri.

“Ini adalah amat sedih terutamanya apabila Tan Sri Hassan diangkat sebagai seorang pemimpin yang telah meletakkan Petronas ke dalam senarai syarikat gas dan minyak antarabangsa seperti hari ini,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan semalam.

Tahun lepas, pakar ekonomi kanan Bank Dunia, Philip Schellekens memberi amaran bahawa situasi penghijrahan bakat (brain drain) rakyat Malaysia dijangka meruncing tambahan asas kemahiran negara sememangnya sempit.

Kajian Schellekens mendapati bilangan rakyat Malaysia yang mahir tinggal di luar negara telah meningkat tiga kali ganda dalam dua dekad yang lalu dengan dua daripada setiap 10 rakyat Malaysia memilih untuk meninggalkan negara sama ada untuk ke negara-negara maju dalam Organisasi Pembangunan Kerjasama Ekonomi (OECD) atau Singapura.

“Sekarang Tan Sri Hassan telah menyertai senarai hampir 2 juta rakyat Malaysia yang telah dibiarkan untuk tinggal dan bekerja di luar negara sejak merdeka.

“Bakat seperti Tan Sri Hassan Marican tidak datang setiap hari dan kerajaan mesti mengambil langkah- langkah segera menyumbat kebocaran ini untuk mengekalkan bakat atau risiko kehilangan beliau dan ramai lagi seperti beliau ke negara- negara luar,” kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau menambah bahawa jika seorang ikon korporat seperti Hassan terpaksa berlepas ke Singapura di mana bakat beliau tidak diabaikan, ia mencerminkan kegagalan program transformasi kerajaan Najib untuk menarik bakat insan ke Malaysia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...