18 Disember 2011

SBPA bunuh komitmen kakitangan awam


KUALA LUMPUR, 17 Dis: Sebuah jawatankuasa bersama antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) perlu ditubuhkan sebelum dilaksanakan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Oleh kerana SBPA melibatkan kepentingan dan masa hadapan pekerja-pekerja di dalam perkhidmatan awam, amat tidak adil jika sistem tersebut dilaksanakan tanpa persetujuan mereka," kata beliau sambil mengecam kerajaan yang langsung tidak berunding dengan wakil sah kakitangan awam sebelum sistem itu dilaksanakan.

Sambil menyifatkan SBPA akhirnya akan membunuh komitmen dan motivasi kakitangan awam, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berharap sistem itu dibatalkan.

"Bagaimanapun, SBPA hanya akan dibatalkan jika kakitangan awam bersatu dan berganding bahu dengan perancangan yang berkesan untuk menolak sistem itu.

"Pihak lain boleh mendesak dan menyuarakan rasa tertindas kakitangan awam yang menolak SBPA, tetapi kerajaan hanya akan tunduk kepada bantahan besar-besaran kakitangan awam sendiri," kata beliau yang melihat SBPA sebagai taktik untuk mengurangkan kakitangan awam.

Mahfuz juga mempersoalkan sikap membisu penjilat-penjilat Umno dan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini tanpa sebarang asas yang wajar menuduh Pakatan Rakyat (PR) mahu mengurangkan kakitangan awam.

Dalam perkembangan berkaitan, Cuepacs mengambil pendirian membantah pelaksanaan opsyen sistem SBPA dan menggesa kakitangan awam jangan menandatangani borang penerimaan skim gaji baru itu sehingga pihaknya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

Apa yang lebih dipersoalkan, seramai 1.4 juta kakitangan awam diberi masa hanya dua minggu mulai 16 Disember untuk menerima SBPA.

Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata, JPA tidak memberikan penerangan dan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan SBPA, carta perubahan gaji tidak diberikan, tiada Linkmaklumat mengenai dasar pemisah atau exit policy.

“Kakitangan awam yang menghadiri taklimat diberi borang opsyen dan diminta tandatangan terus, walaupun tidak faham dan kurang maklumat,” katanya.

Menurut beliau, hasil taklimat Cuepacs dalam jelajahnya ke negeri-negeri, ramai anggota-anggotanya menyatakan mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.

Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, katanya-HD

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...