21 Disember 2011

KEADILAN: Skandal NFC, beli kondo babitkan elemen rasuah


SHAH ALAM 21 Dis: KEADILAN membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya menyiasat National Feedlot Corporation (NFC) yang dimiliki keluarga menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata, laporan itu termasuk pendedahan terbaru mengenai pembelian kondominium mewah oleh keluarga menteri itu di Singapura berharga RM9.9 juta.

“Skandal ini membabitkan elemen rasuah kerana kedudukan Ketua Wanita Umno yang merupakan penjawat awam mempunyai kepentingan melalui ikatan keluarga suami dan anak-anak,” kata beliau selepas membuat laporan itu di Pejabat SPRM Shah Alam, petang tadi.

Saifuddin mempersoalkan bagaimana Shahrizat yang hanya merupakan seorang menteri dan suaminya yang tidak memiliki perniagaan besar, mampu membeli kondominium mewah berkenaan.
“Jadi bagaimana suami Shahrizat boleh membeli kondo berjumlah RM10juta? Dia tiada entiti perniagaan yang besar,” kata beliau.

Katanya, sebelum ini SPRM berpendapat aduan pembelian kondominium One Menerung oleh NFC di Bangsar, tidak mepunyai unsur rasuah kerana KEADILAN hanya melaporkan pembelian berkenaan.
“Maka hari ini, kami tampil untuk memberikan maklumat yang lebih menyeluruh, lengkap bagi menjawab perkara asas bila, di mana, bagaimana ia berlaku,” kata Saifuddin.

Ibu Pejabat SPRM di Shah Alam.
Saifuddin turut mengulas reaksi terbaru Shahrizat yang sekali lagi menafikan pembabitan beliau dalam Skandal tersebut dengan membuat kenyataan hanya isteri kepada Pengarah Eksekutif NFC.
“Kita tidak pernah kata dia bukan isteri, sejak awal lagi kita mempersoalkan posisi beliau sebagai Menteri. Dia (Shahrizat) sepatutnya memberi penjelasan samada dia tahu atau tidak mengenai projek tersebut. Adakah jawatannya mempengaruhi projek tersebut?,” soalnya.

Bagaimanapun laporan terperinci tidak boleh didedahkan kerana pengadu terikat seksyen 29 (4) yang tidak membolehkan berkongsi maklumat dalam kertas aduan rasmi tersebut.
Laporan bernombor 137/2011 dibuat bersama Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya dan diterima oleh tiga pegawai SPRM.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24649

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...