25 November 2011

'Keluar mulut harimau masuk mulut buaya'


KUALA LUMPUR- Pakatan Rakyat mendakwa Kerajaan BN tidak menghormati pandangan umum khususnya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) apabila meneruskan bacaan kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman di Dewan Rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, RUU yang dibentang pada Isnin lalu untuk bacaan kali pertama itu jelas tidak mengambil kira pandangan Suhakam dan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diwujudkan untuk menangani isu-isu berkenaan hak asasi dan demokrasi.

"Rang undnag-undang ini bukan untuk mengizinkan perhimpunan tapi undang-undang untuk memperuntukkan sekatan bagi menghalang perhimpunan aman diadakan.

"Ia menunjukkan kerajaan mengenepikan saranan dan cadangan yang dibuat oleh Suhakam dan IPCMC yang mencadangkan supaya rakyat diberi ruang kebebasan yang lebih baik kepada ruang demokrasi di negara ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, beliau bersama empat lagi Ahli Parlimen Pakatan mewakili Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ke Suhakam menyerahkan memorandum berhubung RUU yang didakwa lebih mencengkam rakyat itu.

Mereka ialah Dr. Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Sivarasa Rasiah (PKR-Subang), Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang), dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

Sivarasa berkata, memorandum tersebut diserahkan kepada Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Muhammad Sha'ani Abdullah meminta pihaknya menyuarakan pandangan berhubung RUU yang mendapat tentangan banyak pihak itu.

Sebagai respons kepada memorandum tersebut, Sha'ani bersedia memanjangkannya ke pihak atasan dan bersetuju bahawa RUU itu mengenepikan pandangan Suhakam sebelum ini.

"Kita sebutkan pada Suhakam bahawa Pakatan kesal Rang Undang-undang ini dibentangkan secara tergesa-gesa untuk diluluskan dan ada yang bertentangan dengan Perlembagaan yang memperuntukkan hak berhimpun," katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Sementara itu, sambil menyifatkan RUU itu seperti "keluar mulut harimau masuk mulut buaya", Mahfuz berkata ia bukan untuk mengizinkan perhimpunan tapi undang-undang untuk memperuntukkan sekatan bagi menghalang perhimpunan aman diadakan.

Katanya, RUU itu lebih teruk daripada Sekyen 27 Akta Polis yang menyebut mana-mana premis persendirian tidak perlu kepada permit untuk perhimpunan.

"Sekyen 27 Akta Polis seperti ditafsirkan di mahkamah iaitu tempat persendirian dibolehkan untuk berhimpuntanpa perlu diberitah tapi dalam ran undnag-undang ini, tempat persendirian pun tidak dibolehkan," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya, Umno BN harus sedar RUU itu bakal menjerat mereka kerana merekalah yang selalu mengadakan program di premis awam sperti sekolah, yang disenarikan sebagai salah satu tempat yng dilarang berhimpun.

"Harap kerajaan sedar ada beberapa perkara yang menjerat mereka.

"Kalau Umno sedar saya percaya kerajaan akan tarik balik. Kalau Umno BN buat program di sekolah, kita bantah, Umno nak buat program di mana?" katanya.

Sementara itu, membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kerajaan tidak akan melayan tuntutan supaya RUU ini ditarik balik, beliau berkata, ianya membuktikan kerajaan enggan menerima pandangan orang lain.

"Inilah dia sikap keras kepala kerajaan yang tidak boleh menerima pandangan orang lain. Suhakam selaku penasihat yang menasihati soal demokrasi telah menasihati kerajaan.

"Kerajaan habis duit RM10 juta untuk tubuh suruhanjaya pembaikan polis tapi nasihat mereka kita tak guna.

"Kita bayar gaji, elaun kepada Suhakam tapi kita tak dengar pendapat mereka," katanya.-HD

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...