03 November 2011

Adun BN Kota Siputeh tak boleh hadir DUN hingga kes selesai

PUTRAJAYA, 2 Nov — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Siputeh Datuk Abu Hassan Sarif akan dihalang daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Kedah sehingga selesai rayuan terhadap perintah mahkamah mengekalkan kedudukannya sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Ini berikutan satu keputusan Mahkamah Rayuan Rabu yang membenarkan permohonan Speaker Dewan Negeri Kedah Dr Abdul Isa Ismail untuk menggantung keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 Ogos 2011 bahawa Abu Hassan masih lagi ADUN bagi kerusi Kota Siputeh.

Perintah itu diberikan sementara menunggu selesainya rayuan Abdul Isa bagi kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, lapor Bernama Online.

Tarikh pendengaran permohonan itu masih belum ditetapkan.

Abdul Isa perlu mendapat kebenaran dari Mahkamah Persekutuan sebelum beliau boleh memfailkan rayuannya.

Panel yang dipengerusikan Datuk Sulaiman Daud, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Ananatham Kasinather sebulat suara memutuskan bahawa terdapat keadaan khusus untuk membenarkan penangguhan perintah kerana jika Abdul Isa berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, sebarang keputusan yang diambil semasa Abu Hassan dalam sidang dewan, ia mungkin mungkin terganggu.

Peguam Edmund Bon yang mewakili Abdul Isa berkata Dewan Negeri yang kini bersidang membahaskan belanjawan, akan bersidang mulai 15 hingga 17 November.

Dalam prosiding hari ini, Edmund memohon satu penangguhan perintah bagi menghalang prosiding atau keputusan dibuat di Dewan Negeri daripada dibatalkan, jika Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Abu Hassan bukan wakil rakyat.

Pada 18 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan menetapkan kerusi DUN Kedah kawasan Kota Siputeh tidak kosong dan Abu Hassan daripada Barisan Nasional masih wakil rakyatnya.

Ia menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kerusi itu kosong dengan alasan Abu Hassan tidak menghadiri dua mesyuarat dewan pada 2009.

Abdul Isa memfailkan semakan kehakiman pada 1 Okt, 2009 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sijl sakit Abu Hassan dan menetapkan tidak berlaku kekosongan pada kerusi Kota Siputeh dan bahawa Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.

Dalam permohonannya, Abdul Isa mendakwa bahawa Abu Hassan gagal menghadiri dua mesyuarat dewan berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos 2009 tanpa kebenaran Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah.

Abdul Isa diwakili Edmund dan Zulqarnain Lokman manakala peguam Datuk Hafarizam Harun dan Abu Bakar Isa Ramat mewakili Abu Hassan. Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh mewakili SPR.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...