07 Julai 2011

BERSIH: GELOMBANG RAKYAT MENAKUTKAN NAJIB

Buat penilaian masing-masing - Semuanya dah besar panjang

Berminggu-minggu negara kita berada di dalam keadaan yang hingar bingar dengan polimik di antara dua pihak, kerajaan dan rakyat yang bersama-sama Bersih 2.0. kehangatannya begitu ketara apabila kita mendengar pihak yang berkuasa termasuk Perdana Menteri sendiri memanggil Datuk Ambiga dengan ‘name calling’ yang didengar agak janggal kerana keluar dari mulut seorang Perdana Menteri.

Siapa kah yang berjaya dan siapa pula yang tertewas di dalam kemelut polimik tuntutan Bersih 2 ini? Tiada yang menang dan tiada yang tertewas. Yang menang ialah rakyat. Tetapi yang kita boleh nampak dengan jelas ialah tahap kemampuan kedua-dua belah pihak mengendalikan isu yang sangat sensitif ini kepada satu pihak yang lain iaitu pihak pemerintah yang sedang asyik dan leka dengan nikmat kuasa sehingga wujud unsur-unsur kufur nikmat yang tidak terkawal dikalangan pimpinan kita.

Tahap pemikiran serta sikap kita sudah terlalu jauh ketinggalan berbanding dengan perubahan pemikiran rakyat termasuk dalam isu pengendalian pilihanraya yang menjadi tuntutan asas bagi Bersih. Pemimpin kerajaan terlalu biasa dengan sokongan yang diperolehi tanpa soal dari rakyat selama ini dan pemimpin-pemimpin kita telah mengambil segala-galanya ‘for granted’.

Apabila mendapat sedikit tentangan dari rakyat yang sudah berubah nilai pemikiran ini maka ianya dianggap sebagai tindakan yang ‘offensive’ oleh pihak kerajaan. Matlamat Bersih yang menjemput semua pihak untuk mengadakan rally termasuk semua NGO serta parti-parti politik samada parti pemerintah atau pembangkang untuk mendesak supaya dilakukan transformasi di dalam cara pengendalian pilihanraya tidak di senangi oleh pihak pemerintah khususnya UMNO.

Dalam kes ini pihak pemerintah nampak berdiri dipihak yang gagal kerana dengan tindakan pr-emptive pihak berkuasa melakukan tangkapan di seluruh negara terhadap mereka yang disyaki menyokong rally ini. Penahanan itu membayangkan ketakutan politik dari pihak yang memerintah kerana semua tahu yang jumlah kehadziran di rally yang bakal di anjurkan itu begitu ramai tanpa dibayar dan disediakan kemudahan perjalanan.

Pihak KDN terutamanya Menterinya Hishamudin pula mengambil tindakan yang tergesa-gesa dengan mengharamkan pertubuhan Bersih ini dan ini menambahkan lagi kemarahan rakyat jelata. Jelas tindakan pre-emptive ini adalah langkah awal untuk mencegah rakyat menunjukan manifestasi mereka dalam kumpulan yang besar.

Ramai menganggarkan tidak kurang dari 500,000 rakyat akan membanjiri jalanraya di Kuala Lumpur jika rally itu diteruskan walaupun dengan tindakan Polis melakukan penahanan dan tangkapan di seluruh negara. Jumlah kehadziran ini lah amat ditakuti oleh pentadbiran sekarang kerana ianya adalah lambang kepada gerakan rakyat yang merata di mana-mana. Kita selalu lupa yang ini melibatakan perasaan ramai.

Jika kita terus melakukan tangkapan dan penahanan secara ‘pre-emptive’ ini ia tidak lain dari mengakui kejayaan Bersih telah mendapat sambutan ramai dari seluruh negara. Melakukan tekanan terhadap penyokong rally ini menambahkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan dan akhirnya akan berlakulah perkara yang lebih buruk dari apa yang di alami oleh pentadbiran sebelum ini di dalam pilihanraya yang akan datang. UMNO gagal untuk menambat hati rakyat biasa terutamanya mereka dari generasi yang muda.

UMNO hanya berjaya mengambil hati kelompok oportunis seperti Perkasa dan beberapa kumpulan yang lain yang sememangnya tidak akan lari dari menyokong BN. Usaha dan cita-cita BN untuk mengembangkan parameter sokongan dari rakyat sekali gus telah gagal dan amat payah untuk di dapatinya kembali. Kita selalu lupa yang rakyat sentiasa memerhati peri laku pemimpin-pemimpin kita bagaimana mereka mengendalikan isu rally Bersih ini.

Pendeknya tujuan asal Bersih untuk melakukan rally secara aman dan meminta semua pihak untuk bersama itu telah dipecahkan oleh pemerintah. Hasilnya pihak BN sendiri yang menambah kekuatan sokongan terhadap gerakan penentangan terhadap mereka (BN). Pihak pembangkanglah yang memperolehi sokongan yang diperkuatkan oleh pihak yang memerintah.

Apakah elemen sebenarnya yang menyebabkan ketirusan sokongan terhadap BN? Jawapan yang tepat ialah keengganan untuk BERUBAH. Kita tidak mahu berubah mengikut waktu dan zamannya. Dalam politik kita masih bercakap tentang isu-isu basi yang telah kita dengar dari mula negara kita mengadakan pilihanraya Persekutuan pada tahun 1959 dahulu.

Isu api letrik, air paip, jalan tar, subsidi gigi palsu, lembu dan kambing pawah pembangunan Putrajaya serta banyak perkara lain yang berkaitan dengan isu mengenang budi. Tetapi pimpinan tidak pula mengenang budi rakyat yang selama ini telah memberikan sokongan tanpa berbelah bagi dengan melakukan perkara-perkara jijik seperti rasuah dan menyalah guna kuasa.

Mereka (rakyat) sudah jemu dengan pembohongan yang dilakukan dan semua pembohongan itu di war-warkan oleh media massa perdana sehinggakan rakyat tidak ada lagi apa yang mereka percaya dengan media perdana pada hari ini.

Pemimpin kerajaan kita telah gagal samasekali untuk mengekalkan penghormatan rakyat terhadap kepimpinan seperti yang kita alami dahulu kala. Mereka (rakyat) menganggap apa jua yang dilakukan tidak boleh dipercayai dan persepsi ini kian hari kian menebal. Ramai rakyat tidak mahu lagi mendengar apa yang mereka katakan kerana persepsi mereka (rakyat) terhadap kepimpinan terlalu rendah.

Kenapa keadaan menjadi begini? Jika ada masa dan ruang boleh dibahaskan pada bila-bila. Jika tidak ada masa dan ruang itu masing-masing boleh membuat penilaian masing-masing. masing-masing dah besar panjang-Aspan Alias

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...