09 April 2011

Laporan media: SPRM kesan jutaan ringgit dalam akaun pegawai-pegawai Kastam

Laporan media: SPRM kesan jutaan ringgit dalam akaun pegawai-pegawai Kastam
April 09, 2011
KUALA LUMPUR, 9 April — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan berjaya mengesan beberapa juta wang dalam akaun pegawai-pegawai Kastam Diraja Malaysia yang ditahan dalam Operasi 3B, termasuk lebih RM2 juta dalam akaun salah seorang bekas pengarah jabatan itu.

Akhbar The Star dan Utusan Malaysia melaporkan bahawa pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu secara terperinci telah mengesan pembabitan sebuah syarikat yang dipercayai berperanan memasukkan wang-wang tersebut ke dalam akaun pengarah berkenaan.

“Tindakan itu dibuat atas arahan pengarah itu ketika beliau masih berkhidmat.

“Pasukan itu turut mengenal pasti beberapa pegawai kastam yang memiliki kemewahan di luar kemampuan berbanding pendapatan mereka sebagai penjawat awam,” kata sumber itu.

Menurutnya, pasukan khas tersebut tidak berputus asa untuk meneruskan siasatan walaupun ada cubaan untuk menghalang tindakan itu berikutan kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed pada Rabu lalu.

“Usaha sedang dijalankan untuk membekukan akaun pegawai-pegawai berkenaan.

“Siasatan SPRM tidak terjejas malah masih giat diteruskan dan mengikut maklumat, ada berbilion ringgit lagi masih berada di luar negara. Siasatan turut melibatkan pegawai-pegawai yang sudah bersara,” katanya.

Seramai 62 pegawai Kastam pelbagai pangkat termasuk seorang wanita ditahan manakala berjuta-juta wang, akaun dan barangan berharga termasuk rumah dan kereta disita dalam operasi besar-besaran SPRM di Pelabuhan Klang, Kuantan, Johor dan Pulau Pinang sejak Isnin minggu lalu.

SPRM menganggarkan lebih RM10 bilion wang rasuah itu telah dipindahkan secara haram ke luar negara, manakala negara kerugian akibat kehilangan pendapatan sebanyak RM108 bilion akibat tindakan tangan-tangan kotor tersebut.

Dalam operasi baru-baru ini, ada di antara yang ditahan memiliki akaun simpanan berjumlah setengah juta dan kereta mewah, simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM200,000 dan jam tangan mewah diperbuat daripada emas.

Bagaimanapun kesatuan dan persatuan pegawai kastam mempertikaikan operasi dan siasatan SPRM.

-MALAYSIANINSIDER

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...