30 September 2010

CALUN AMK YG WAJAR DIBERI PERHATIAN

Siri 8 : Pemilihan AMK, Keadilan

Posted by Admin on 9/29/10 • Categorized as Amin Ahmad,Esei

Ketika saya bertanyakan Rafizi tentang penyertaan sebagai barisan hadapan anak muda Keadilan, saya tidak cuba mengetahui kerja sebenar beliau. Yang ternampak ialah keupayaan kewangan beliau untuk menggerakkan alumni di kalangan rakan-rakan sebaya beliau di MCKK untuk menyumbang kepada pembangunan sukan di Maktab Melayu tersebut. Selain pasukan debat, beliau juga selalu meluangkan masa bersama pasukan hoki sekolah berasrama penuh tersebut.

Selepas itu, barulah saya tahu bahawa beliau adalah Pengurus termuda di Petronas, syarikat minyak negara sebelum bertukar ke Pharmaniaga dan akhirnya bulat tekad menyertai Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Untuk saya, ini satu pengorbanan besar. Pertama, dalam realiti jelas keterlibatan beliau bersama aktiviti ‘tidak mesra kerajaan’, beliau adalah sampel anak muda yang boleh memimpin dalam pengertian gerak kerja korporat. Saya pernah menulis dulu bahawa menentang kezaliman dan menegakkan keadilan adalah dua perkara berbeza. Dalam hal ini, beliau tidak hanya tahu mengkritik, tetapi mampu memimpin dan diberikan kepercayaan besar sebagai anak muda untuk menjawat posisi tersebut.

Antara kertas kerja kajian awal beliau yang sempat saya baca ialah isu pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Bukan sekadar menyediakan kertas kerja kajian tersebut, beliau juga terlibat memberi penerangan berkaitannya di beberapa buah negeri.

Saya tidak tahu sejauh mana Rafizi pernah bekerjasama dengan AMK sepanjang tempoh beliau menyisihkan diri daripada parti. Namun, saya tahu beliau banyak membantu parti dari segi input profesional sepanjang beliau bersama syarikat korporat, di luar negara atau selepas beliau pulang ke Malaysia.

Sebenarnya, Rafizi adalah antara tulang belakang penyelidik yang gigih menyusun dan menyediakan bahan perdebatan isu kenaikan harga minyak antara saudara (YB Dato’ Seri) Anwar Ibrahim dan (YB Dato’) Shabery Cheek dulu. Pengalaman bersama syarikat minyak dan gas ternyata banyak membantu beliau memberikan input berguna dalam sesi tersebut.

Setakat kesempatan berurusan dengannya, saya dapat melihat disiplin tinggi beliau dalam bekerja. Mungkin kerana saya lebih gemar jenis mesyuarat yang berdisiplin, ringkas dan padat.

Dengan seluruh pengalaman ini, saya tidak ralat melihat Rafizi berpakaian kemeja kemas meskipun mungkin ada yang berpendapat beliau tidak mencerminkan imej anak muda yang lazimnya nampak lasak dan agresif.
Untuk saya, Rafizi mempunyai ciri tanding yang setara untuk berdepan dengan (YB) Khairy Jamaluddin dalam konteks kapasiti intelektual. Ini tidak bermaksud calon lain tidak ada, namun kelebihan beliau yang terlatih dalam bidang ekonomi disertai pengalaman kerja di luar dan di dalam negara, ia sangat memadai.

Kami sempat bersama dalam satu sesi minum petang bersama saudara Dr. Abdul Rahim Ghouse. Waktu itu Dr. Rahim pulang bercuti daripada Australia. Ketika ‘borak santai’ itulah, saya baru mengetahui bahawa Rafizi adalah antara tenaga penting di sebalik kempen maya pembebasan saudara Anwar Ibrahim. Ia mungkin kedengaran biasa pada hari ini, namun, mengambil kira realiti penggunaan internet pada masa itu, khususnya dalam menyediakan laman web, ia ternyata penting.

Ada satu perkara yang mungkin menjadi pertanyaan ramai terhadap beliau. Ianya adalah persoalan pilihan beliau untuk meletak jawatan daripada Pemuda Keadilan satu ketika dulu. Turut sama meletakkan jawatan ialah Ben.

Saya tidak begitu pasti apakah isu sebenarnya. Apa yang kedengaran waktu itu ialah, tindakan Ben dan pengikutnya meletakkan jawatan adalah kerana menolak apa yang disifatkan mereka sebagai penipuan oleh saudara Ezam Mohd Nor, mantan Ketua Pemuda Keadilan. Setakat yang kedengaran, Ezam dikatakan membelakangi keputusan yang dicapai melalui mesyuarat Pemuda Keadilan terhadap satu isu pada waktu itu.
Pada hemat saya, pendirian yang diambil mereka ini tentulah boleh dilihat daripada pelbagai aspek. Apa yang pasti, Ezam kini sudah berada di dalam UMNO sementara Rafizi masih kekal bersama parti.

Saya hanya sempat bertemu Ben sebanyak dua kali selepas itu. Pertama, semasa kepulangan saudara Anwar Ibrahim dari Munich dan kedua, ketika beliau hadir membentangkan pandangan dalam program anjuran Institut Kajian Dasar (IKD), sekitar tahun 2005.

Penawaran Rafizi untuk menerajui Ketua AMK pada saya, tidak terlepas daripada ‘janji’ beliau untuk kembali berjuang selepas ‘protes’ terhadap kepimpinan Ezam. Ia mungkin satu protes yang dilihat keanakan bagi sesetengah pihak. Namun, jika kita berani mengambil sisi lain daripada situasi politik pada masa itu, saya fikir ia juga boleh dilihat sebagai satu sikap dan tindakan politik yang berani serta berprinsip.

Ada kewajaran untuk kita menilai betapa kuatnya kedudukan Ezam di mata penggerak dan pendokong reformasi waktu itu, terlepas sama ada mereka ahli parti atau tidak. Dalam kata lain, Ezam adalah anak emas dalam pergerakan reformasi. Dalam situasi Ezam yang ‘tidak mungkin salah’ di mata sesetengah pihak, ada anak muda yang berani menegaskan bahawa ‘reformasi harus melangkaui sempadan tokoh’.

Amin Ahmad, 28 ialah anak muda yang minat memerhati perkembangan politik tanah air.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...