20 Mac 2014

PANAS! PUSAT SAHKAN AKAN BAYAR RM2.0 BILION KEPADA SELANGOR

Maklumat terperinci penstrukturan air minggu depan

Khalid Ibrahim

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan membentangkan secara terperinci maklumat berkenaan penyelesaian holistik penstrukturan semula industri air di negeri ini di bawah Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006) minggu depan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau yakin butiran lanjut kaedah penyelesaian itu akan dimuktamadkan pada minggu depan berdasarkan perjumpaannya bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili hari ini.

Dalam pertemuan hari ini, katanya, mereka membentangkan butiran terperinci bagaimana kerajaan persekutuan mengguna pakai Seksyen 114 WSIA 2006 dan seterusnya membolehkan kerajaan negeri ‘campur tangan’ dalam syarikat- syarikat konsesi air di Selangor.

“Kami juga telah meneliti perjanjian utama yang melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Khalid sebelum itu dilaporkan berkata seksyen penguatkuasaan 114 WSIA dalam penstrukturan industri air di Selangor akan mengurangkan kos mengambil alih aset empat syarikat konsesi air sebanyak RM2 bilion kepada RM7.65 bilion.

Empat syarikat konsesi itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).

Pada 26 Februari lepas, Abdul Khalid dan Maximus menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk penstrukturan semula industri air di negeri ini yang telah berlanjutan sejak 2008.

Melalui MoU itu, kerajaan negeri Selangor akan mengeluarkan kebenaran untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) berkuat kuasa 26 Februari lepas dan memastikan semua kebenaran berkaitan pembangunan projek LRAL2 diluluskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh MoU ditandatangani.

Sebagai tambahan, kerajaan Persekutuan bersedia menyuntik dana untuk membantu kerajaan negeri mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkannya menguruskan perkhidmatan bekalan air di Selangor melalui sebuah syarikat milik kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Abdul Khalid mengesahkan pihaknya menerima surat daripada KeTTHA berkenaan pembayaran dana tambahan RM2 bilion daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri serta penerangan terma dan syarat penggunaan dana itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...