12 Jun 2011

PAS bertemu hari ini, negara kebajikan akan diperinci bersama Pakatan

KUALA LUMPUR, 11 Jun — PAS akan memperincikan konsep negara berkebajikan termasuk mendapatkan input daripada komponen Pakatan Rakyat setelah ia menyelesaikan soal pembentukan lajnah dan barisan ahli jawatankuasanya hari ini, kata timbalan presiden Mohamad Sabu.

Parti Islam itu akan mengadakan mesyuarat pertama jawatankuasa kerja pusat petang ini susulan muktamar tahunan lebih satu minggu lalu.

Sehubungan itu, Mohamad menjelaskan, pihaknya akan mengadakan munaqasyah ucapan dasar presiden untuk memperincikan konsep negara berkebajikan selepas ini.

“Saya akan menerangkan semula konsep negara berkebajikan seperti dalam ucapan dasar presiden PAS (pada muktamar) baru-baru ini.

“Tetapi kami akan menubuhkan dahulu jawatankuasa Kabinet (lajnah), menyelesaikan himpunan Bersih 2.0 dan hal-hal lain sebelum menjurus kepada konsep negara berkebajikan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Inisider.

Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi juga mengesahkan perkara itu sambil memberitahu pihaknya tidak akan menyentuh perkara tersebut secara terperinci pada mesyuarat hari ini.

“Sudah pasti kami akan memperincikan konsep negara Islam tetapi bukan hari ini,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

Selain itu kata beliau, pihaknya akan mendapatkan input daripada rakan-rakan mereka daripada DAP dan PKR yang turut menganggotai Pakatan Rakyat dan juga masyarakat bukan Islam memandangkan ia ada kaitan dengan Buku JIngga.

Dr Dzulkefly Ahmad, salah seorang ahli jawatankuasa kerja pusat yang dipilih pada pemilhan 3 Jun lalu berkata, mesyuarat hari ini akan memfokus pada urusan pembentukan lajnah dan pelantikan anggota-anggota berkaitan.

Mesyuarat hari ini yang akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka menyentuh pelantikan pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS negeri.

“Sudah pasti perkara ini akan dibincangkan sebab ini menjadi sebahagian daripada dasar parti. (Oleh itu) perkara ini akan disentuh dalam mesyuarat lain, bukannya hari ini,” katanya lagi.

Ucapan dasar presiden Hadi pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan.

Dalam ucapan itu, Hadi berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama “negara Islam” itu semata-mata.

Berkenaan kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, Mohamad berkata, beliau tidak perlu tergesa-gesa dengan penubuhan jawatankuasa atau panel untuk memperincikan negara berkebajikan.

“Kenapa dia kalut-kalut dengan negara berkebajikan PAS? Sepatutnya Umno itu yang perlu memperbaiki isu rasuah antara mereka terlebih dahulu,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, Juanda mendesak agar PAS segera mengadakan jawatankuasa pemandu merangka konsep negara berkebajikan memandangkan kedua-dua kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat berebut-rebut cuba membuktikan mereka berada di depan dalam agenda tersebut.

“Saya gembira melihat kerajaan dan pembangkang berebut-rebut cuba membuktikan agenda merekalah terbaik untuk kebajikan rakyat,” kata Juanda dalam pandangan keduanya mengenai konsep negara berkebajikan PAS ini.

Juanda memberikan pandangan itu buat kali kedua dalam seminggu ini.

Dzulkely pula berkata pihaknya menyambut baik pandangan mufti itu dan semua pihak mengenai pendirian PAS dan akan melibatkan semua pihak apabila mula memperincikan perkara berkenaan.

“Kami ucapkan terima kasih atas pandangan sedemikian, input-input itu akan diambil kira termasuk daripada komponen Pakatan Rakyat,” kata Mahfuz lagi
-TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...