23 Disember 2010

Indeks demokrasi: Malaysia jatuh 3 tangga, ke-71 di dunia


Indeks demokrasi: Malaysia jatuh 3 tangga, ke-71 di dunia

oleh: Wong Shu Qi

Malaysia jatuh tiga anak tangga kepada kedudukan 71 dalam indeks demokrasi, antara 167 negara di dunia ini, menurut laporan Economist Intelligence Unit yang diumumkan baru-baru ini. Daripada lima kateria penilaian, Malaysia mengalami penurunan dalam budaya politik dan kebebasan sivil, meskipun meningkat dari segi fungsi kerajaan.

Laporan indeks demokrasi yang dikeluarkan Economist Intelligence Unit ini menunjukkan kemunduran demokrasi di merata dunia dari tahun 2008 hingga 2010. Negara Barat mahupun Timur mengalami impak dari faktor ekonomi, lantas negara diktator semakin sempit ruangnya, malah menunjukkan kecenderungan politik negatif yang semakin nyata berikutan krisis ekonomi.

Pada tahun 2008, Malaysia menduduki tangga ke-68 dengan purata 6.36 mata, menurut penilaian kedua Economist Intelligence Unit. Dua tahun selepas itu, mata purata yang dipungut Malaysia menurun 0.15 kepada 6.19, membawa negara kita ke tangga 71.

Lima kategori yang dinilai termasuk proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik dan kebebasan sivil. Malaysia mengekalkan prestasi dalam kategori proses pilihan raya dan pluralisme (6.5) dan penyertaan politik (5.56).

Bagaimanapun, prestasi Malaysia meningkat dalam kategori Fungsi Kerajaan, melonjak dari 6.07 pada tahun 2008 kepada 6.79 pada tahun 2010. Tetapi, Malaysia jatuh dari segi budaya politik, 7.5 pada tahun 2008 kepada 6.25 pada tahun 2010. Kebebasan sivil juga memperlihatkan penurunan 0.3, dari 6.18 tahun 2008 kepada 5.88 pada tahun 2010.

Kebebasan media: Malaysia berundur

Apa yang menarik, laporan Economist Intelligence Unit menunjukkan bahawa Malaysia adalah salah satu daripada 36 buah negara yang berundur langkah dari segi kebebasan media. Hanya empat buah negara Asia tersenarai dalam kategori ini, iaitu Fiji, Sri Langka dan Thailand, selain Malaysia.

Laporan menjelaskan faktor yang menjurus kepada pengunduran dari segi kebebasan media - banyak kerajaan yang merasakan dirinya tergugat akibat krisis kewangan tahun 2008, lantas mengetatkan kawalan media dan menyekat kebebasan bersuara. Pada masa yang sama, kadar penggangguran yang meningkat pula menjuruskan sikap pengamal media untuk "lebih berwaspada", supaya tidak kehilangan kerjayanya.

Tidak dinafikan juga bahawa trend pemusatan pemilikan media semakin ketara, dan membawa impak negatif kepada kemajmukan dan kebebasan bersuara. Pada masa yang sama, negara diktator yang semakin kuat akan menyekat dan menekan media yang bebas. Lebih ketara, serangan terhadap pengamal media bebas juga semakin meningkat.

Negara Eropah Utara berada di depan

Negara yang tinggi indeks demokrasi-nya kebanyakannya tertumpu di Eropah Utara, dengan Norway pada kedudukan tertinggi, disusuli Iceland, Denmark dan Swedan. Negara lain yang berada dalam kedudukan 10 tertinggi di dunia termasuklah New Zealand (5), Australia (6), Finland (7), Switzerland (8), Kanada (9) dan Netherlands (10). Negara demokrasi terbesar kononnya, Amerika Syarikat berada pada tangga ke-17.

Antara negara Asia pula, Korea Selatan berada pada kedudukan tertinggi, iaitu ke-20, diikuti Jepun (22) dan Taiwan (36), yang juga jatuh tiga anak tangga seperti Malaysia. Di negara Asia Tenggara pula, Timor-Leste berada pada kedudukan tertinggi, meningkat lima tingkat dari 47 pada tahun 2008 kepada 42 pada tahun 2010.

Jika dibandingkan dengan negara jiran Malaysia pula, Thailand jatuh dari kedudukan 54 kepada 57, Indonesia pula meningkat secara mendadak dari 69 kepada 60; sementara Filipina melonjak dari 77 kepada 74, ketinggalan tiga anak tangga berbanding Malaysia. Singapura kekal pada kedudukan 82, dan tidak mengalami sebarang naik turun dalam setiap kategori yang dinilai.

Pengunduran demokrasi

Menurut laporan Economist Intelligence Unit, gelombang demokrasi global ketiga yang bermula sejak tahun 1974 mencapai kemuncaknya ketika runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989. Namun demikian, 167 buah negara di merata dunia mengalami democracy recession, yang dikatakan Larry Diamond dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Kini, situasi di seluruh dunia digambarkan sebagai "democracy retreat", malah laporan mendakwa krisis kewangan tahun 2008 menonjolkan lagi trend politik yang sudah begitu negatif pada asalnya.

Menurut perhitungan Economist Intelligence Unit, hanya 26 buah negara dianggap negara demokrasi yang sebenar, daripada 167 buah negara. Populasinya hanya 12.3% daripada populasi dunia. Terdapat 53 negara yang demokrasi tempang, dengan nisbah populasi 37.2%. 33 negara berada dalam keadaan campuran dengan nisbah populasi 14% dan 55 negara diktator, dengan populasi 36.5%.

Seandainya negara yang mengalami ketempangan dalam demokrasinya disenarai dalam kategori "negara demokrasi", maka hampir 50% populasi dunia masih berada dalam zon demokrasi. Namun, terdapat 2.5 bilion orang penduduk, iaitu lebih daripada satu pertiga umat bumi yang masih berada di bawah kuku besi diktator - sememangnya, negara China memberi sumbangan yang tidak kurang dalam hal ini.

21 Disember 2010

SAPA DULU...


Che’guBard dalam dilema antara prinsip dan jawatan

Tanggal 18 Dis 2010, kira-kira 11 pg saya dimaklumkan melalui telefon oleh salah seorang Naib Presiden KEADILAN menyatakan ada kemungkinan saya akan dilantik satu jawatan kemungkinan Timbalan Setiausaha Agung Parti.

Selepas itu dalam sidang media Konvoi Anak Muda Malaysioa yang diadakan pada hari yang sama jam 3.30 ptg saya dimaklumkan oleh wartawan bahawa Presiden KEADILAN telah pun mengumumkan nama saya selaku Timbalan Setiausaha Agung.

Pertamanya saya berterima kasih dan amat hargai lantikan Presiden tersebut. Saya menganggap ia sebagai satu penghormatan.

Namun saya ditegaskan saya belum memutuskan untuk menerima atau tidak jawatan tersebut. Walau apapun jawatannya saya tetap mengganggap ia satu amanah besar. Saya bukanlah manusia yang menganggap jawatan itu sebagai matlamat yang harus dikejar hingga sanggup menapulasi segalanya termasuk melakukan penyelewengan demokrasi, tetapi setelah memegang jawatan tidak mampu nelakukan apa-apa.

Sehubungan itu saya hanya akan membuat keputusan selepas berbincang dengan semua teman-teman, keluarga dan seumpamanya. InsyaAllah paling awal saya akan umumkan dalam 26 Disember 2010.

Di kesempatan ini juga ingin saya nyatakan bahawa saya masih menanti hasil penyiasatan dan tindakan terhadap aduan - aduan yang saya dan teman-teman ajukan mengenai Pemilihan KEADILAN 2010. Saya akur dengan nasihat YB Setiausaha Agung agar sabar menanti dan jangan buat bukan-bukan tetapi saya juga meminta beliau ingat dengan kenyataannya yang memberi jaminan hasil siasatan akan diperolehi dalam 2minggu. Janji ini diungkap ketika Kongres 2010 berlangsung.

Namun juga saya ingin pertegaskan saya akan terus berjuang memperkasakan rakyat demi perubahan negara. Jadual saya saban hari masih penuh dengan aktiviti parti dan bersama rakyat mendesak perubahan.

Ini pula dari blog edyesdotcom

Saya juga tegaskan kesetiaan saya kepada KEADILAN tidak pernah goyah. Cuma kritikan yang saya lontar ialah demi kebaikan parti ini. Saya tidak mahu jika terdapat masalah kita asyik 'menyapu' semua masalah dibawah karpet.

Saya sayang parti ini dan kerana sayangkan parti inilah saya tegur, saya sayangkan negara ini kerana sayangkan negara inilah saya ingin pastikan KEADILAN menjadi sesempurna mungkin sebelum memasuki Putrajaya.

Saya masih yakin demokrasi dan ketelusan dalam keadilan belum mati (tetapi mungkin gering teruk), namun untuk memastikan keadilan, demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN sebur mekar maka kita perlu keberanian mendesak. - che'GuBard


Pernyataan di atas adalah beberapa quote dari saudara Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan gelaran che'GuBard. Jika dihayati, ia merupakan sebuah kenyataan tegas yang menunjukkan betapa sayang dan setianya che'GuBard terhadap parti yang dijunjung iaitu Parti Keadilan Rakyat.

Namun kesetiaan kepada perjuangan dalam menegakkan keadilan dan istiqomah terhadap prinsip dalam melaksanakan kata-kata adalah ciri-ciri yang dituntut untuk melebihi kesetiaan kepada parti, fahaman dan susuk individu tertentu. Sayangnya seorang pejuang reformasi terhadap parti, tidak bermakna prinsip dan maruah itu harus menjadi gadaian demi membenarkan nafas lega dihela di sebalik rebahnya kebenaran dan keadilan. Istiqomah dalam perjuangan, itulah gamaknya pendirian Chegubard setakat ini.

Cukup bunga-bunga mukadimah, sekarang kita terus kepada pokoknya. Adakah che'GuBard akan menerima lantikan bagi jawatan Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat?

Ada berita yang mengabarkan bahawa puan presiden mengesahkan che'GuBard menerima perlantikkan jawatan TSUA. Saya tidak pasti kesahihan berita ini tetapi setakat ini saya mendengarnya dari dua sumber berbeza. Adakah kata-kata DSWA mendahului keputusan tuan punya badan? ataupun che'GuBard akan terpaksa menerima jawatan yang ditawarkan itu? This is an offer or an order?

Sedangkan saya lebih arif bahawa che'GuBard masih lagi menunggu makluman rasmi dari parti berkenaan jawatan yang ditawarkan kepada beliau dan dalam keadaan sebegini che'GuBard dilihat lebih concern terhadap nasib yang menimpa bekas TSUA iaitu Sharifah Shahidah. Bekas TSUA yang telah banyak berkorban untuk parti, bagaikan habis madu sepah dibuang. Sharifah pernah meninggalkan kerjayanya yang agak mewah demi parti, dan inikah balasan yang diterima oleh bekas TSUA?

Mengikut apa yang saya ketahui, Sharifah Syahidah dimaklumkan namanya akan kekal disambung menjadi TSUA bagi penggal 2011-2013. Sehingga di sebelah pagi hari mesyuarat tertinggi yang menjurus kepada pemilihan jawatan lantikan, sejurus sebelum press conference, ketika itulah bekas TSUA dipaksa untuk terpaksa meninggalkan jawatan yang disandangnya itu untuk diserahkan kepada che'GuBard. Ini parti KEADILAN bukan parti kezaliman.

Di ketika ini jugalah begitu ramai rakan seperjuangan dan juga sahabat-sahabat che'gubard yang mengucapkan tahniah atas perlantikkan sebagai TSUA. Ada juga yang seakan tahu betapa mungkin penolakkan akan berlaku lantas menghambur kata-kata memujuk supaya che'GuBard memilih untuk menerima perlantikan sepertimana yang ditawarkan.

Ada juga pemimpin kanan yang mohon supaya chegubard dipujuk untuk menerima dengan alasan mengalah bukan bererti kalah. Tidak kurang juga yang menyindir sinis dengan mengatakan che'GuBard akan dituduh ego sekiranya menolak, dan ada juga yang berpendapat sekiranya che'GuBard memegang jawatan TSUA, maka boleh bersuara dengan lebih lantang.

Saudara dan saudari sekalian, semua ini adalah pandangan, pendapat dan harapan dari kaca mata yang melihat. Mengapa tidak kita letakkan diri kita dalam kedudukan che'GuBard seterusnya kita akan menyedari apakah yang sebenarnya dibeban oleh seorang aktivis reformasi yang berjuang demi keadilan. Che'GuBard masih lagi menanti jawapan bertulis atau jawapan rasmi berkenaan laporan penyelewengan dalam Pemilihan 2010 Keadilan yang sehingga hari ini tiada respon seperti yang diharapkan.

Ada yang menyapa, sekiranya chegubard menolak perlantikkan ini maka masalah masih tidak akan selesai. Jadi adakah permasalahan itu akan selesai setelah che'GuBard menerima watikah perlantikkan TSUA? Bagi saya, masalah hanya akan dapat selesai sekiranya che'GuBard "menerima jawatan sambil mendiamkan diri tentang apa yang telah berlaku sebelumnya. Bersama-sama menyorokkan, bersama mencegah persepsi buruk."

Saya ingin bertanya kepada mereka yang mengucap tahniah dan meminta che'GuBard menerima jawatan Timbalan Setiausaha Agung PKR, adakah anda menyedari bahawa che'GuBard sedang berjuang menegakkan keadilan khususnya kepincangan dan penipuan yang telah berlaku dalam pemilihan parti yang baru berlalu? Segala laporan kepincangan dan penipuan sewaktu pengundian tidak diberi respon dengan alasan menumpukan perhatian kepada PRU-13. Tergamakkah anda berkompromi dengan penipuan dan kepincangan terancang ??

Ada yang bertanya kepada saya, apakah yang dimaksudkan dengan kepincangan atau penipuan terancang kerana kononnya saya kerap menggunakan antonasi itu. Kepincangan itu adalah perkara biasa, begitu juga dengan penipuan. Biasalah bila sesuatu yang diusahakan itu serba pincang dan penipuan itu berlaku demi suatu agenda. Kepincangan itu ada puncanya dan penipuan itu juga ada dalangnya, tetapi apabila disebut kepincangan atau penipuan terancang, ia bermaksud - kepincangan itu telah diketahui, penipuan itu telah dikenalpasti berlaku, TETAPI ia dibenarkan berlaku di atas agenda tersendiri dan di atas kepentingan tertentu. Itulah maksudnya kepincangan dan penipuan terancang.

Anda mengaku memperjuangkan keadilan, anda juga mengakui punya jatidiri yang hebat, tetapi anda sanggup bersubahat dengan penganiayaan dan penipuan yang sengaja dibiarkan untuk tidak dibicarakan semata-mata untuk menang PRU-13? Bersubahat semata-mata kerana takut terjualnya persepsi buruk kepada pengetahuan rakyat terhadap Parti Keadilan sehingga menjejaskan peluang untuk melangkah ke Putrajaya. Ingatlah wahai orang-orang yang mengaku pejuang rakyat, apalah gunanya menang PRU-13 jika hanya menumbangkan REJIM untuk digantikan dgn REJIM yang baru? Akhirnya rakyat juga yang tersembam !!

Bagi yang berpendapat jika hadirnya che'GuBard dalam saf kepimpinan akan membolehkan beliau bersuara dalam menegakkan keadilan dalam parti khususnya dalam tajuk Pemilihan 2010, janganlah kita lupa bahawa ketika che'GuBard menghantar 3 laporan penipuan dan penyelewengan Pemilihan 2010, beliau merupakan seorang exco Majlis Perwakilan Pusat (MPP) yang sama-sama masuk meeting tetapi tidak berdaya mempengaruhi JPP, lembaga displin mahupun SUA waima Puan Presiden sendiri untuk revise balik pengundian pusat di cabang yang sangat meragukan bersama bukti yang kukuh dan saksi yang hidup.

Jawatan bukan segala-galanya. Jika menerima jawatan itu asal boleh berkompromi dan tidak lagi bising fasal penipuan, penyelewengan dan juga penganiayaan, lebih baik masuk UMNO kerana sifatnya di sana lebih dihalalkan untuk berlaku. Ini soal maruah dalam mempertahankan prinsip. Mana mungkin che'GuBard akan terima jawatan sedangkan beliau sendiri mempertikai dan tidak mengiktiraf keputusan Pemilihan 2010.

Melainkan jika laporan yang dihantar itu segera disiasat dengan terperinci dan tindakkan diambil terhadap mereka yang menjadi dalang penyelewengan serta penipuan undi pemilihan 2010 di bawa ke muka pengadilan, maka barulah dipertimbangkan sebaran jawatan yang ditawarkan. Jika kepimpinan tertinggi PKR merasakan agenda putrajaya diutamakan dengan isu Pemilihan 2010 ditinggalkan di bawah karpet, maka ia satu kesilapan besar kerana di bawah sana ada che'GuBard yang sedia bangkit pada bila-bila masa demi Keadilan.

Sedangkan walaupun tanpa sebarang jawatan yang disandang che'GuBard, pergerakkan chegubard tidak langsung terbatas malah beliau memperhebatkan lagi aktiviti marhein dengan siri-siri ceramah di seluruh pelosok negara sejak sebulan lalu. Saya percaya, Chegubard akan tetap berjuang walaupun tanpa jawatan dan beliau pastinya akan buktikan jawatan bukanlah segala-gala dalam resam perjuangannya tetapi prinsip dan istiqomah - untuk melihat keadilan, demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN sebur mekar maka kita perlu berani untuk mendesak. Che'GuBard tetap berjuang sambil menghindari jemaah yang korup!!

Justeru itu, kita sebagai penyokong keadilan harus menerima segala keputusan yang dibuat oleh che'GuBard samada menerima ataupun menolak perlantikkan tersebut. Hormatilah keputusan che'GuBard dan beliau akan memberi respon setelah mengambil kira apa yang terbaik untuk rakyat, parti dan anak muda khususnya.

Hidup Pejuang Anak Muda !
Hidup Aktivis Reformasi !!
Hidup Pejuang Revolusi !!!

EDYES @ edyesdotcom - COURT oF PUBLIC OPINION

Sharphooter - sudah tahu jawapan Chegubard tapi biarlah tuan tubuh yang akan mengumumkannya pada 26 Disember 2010.

Zaid yakin Kita nampak hebat nanti


Zaid yakin Kita nampak hebat nanti

Posted by admin on December 21st, 2010

Datuk Zaid Ibrahim dengan penuh yakin memberi amaran kepada pesaing-pesaingnya — Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) akan membawa impak signifikan dalam pilihan raya umum ke-13 meskipun ahlinya hanya sekitar 300 orang sekarang.

Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini berkata, walaupun parti barunya kecil dari segi keanggotaan, tetapi mampu memberi saingan kepada kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) dengan meletakkan calon-calon yang berkualiti.

“Sudah pasti kami boleh lakukan. Ya, kami sudah ada sejumlah calon. Saya tidak boleh mengatakan berapa ramai, tetapi ya, saya salah seorang daripada mereka.

“Kami ada keanggotaan yang kecil jumlahnya, hanya kira-kira 300 orang, tetapi bukan aspek keahlian yang menentukan sokongan, tetapi kualiti pemimpin-pemimpin kami,” kata beliau kepada The Malaysian Insider dalam satu pertemuan eksklusif baru-baru ini.

Rabu lalu, parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) yang berpangkalan di Kelantan ditukar menjadi Kita selepas Zaid dipilih sebagai presiden yang baru.

Zaid , yang keluar PKR bulan lalu berkata, bilangan keanggotaan Kita dijangka meningkat berlipat ganda dalam beberapa bulan akan datang menjelang pilihan raya umum ke-13.

Bekas menteri Kabinet ini juga mendakwa bahawa sementara musuh-musuhnya sudah pun menyangkal kesan kehadiran mereka dalam landskap politik negara, Zaid masih percaya pihaknya “sudah pun membawa kelainan” setakat ini.

“Saya percaya saya sudah pun bawa banyak kelainan (setakat ini). Jadi oleh itu, kehadiran kami akan dirasai,” kata beliau yang juga seorang peguam, menyertai Umno sebelum dipecat akhir 2008.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Baru pada 2004 semasa masih dalam Umno dan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu atas tiket PKR-Pakatan tetapi tewas.

Sambil berkata beliau membiayai Kita, Zaid menjelaskan bahawa pihaknya sedang menghimpunkan sumber-sumber untuk menghadapi menghadapi pilihan raya umum akan datang, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Katanya, calon-calon yang mewakili Kita kemungkinan sepadan dengan mereka yang mewakili BN ataupun Pakatan Rakyat tetapi barisan calonnya mampu menarik sokongan memandangkan ia membawa dasar-dasar dan idelologi yang baik tanpa hanya terlibat dalam perkara-perkara yang remeh-temeh dengan parti saingan.

“Kami tidak banyak wang, jadi kami akan membelanjakan wang yang kecil jumlahnya tetapi kami akan berjuang bersandarkan pada kepercayaan kami, ideal kami, dasar-dasar kami,” kata beliau.

Zaid juga menekankan bahawa beliau tidak menggunakan Kita untuk mendapatkan “populariti segera” bagi dirinya selepas keluar dari PKR, di mana beliau bertanding jawatan timbalan presiden tetapi menarik diri dengan mendakwa wujud kecacatan dan manipulasi dalam proses pemilihan.

Zaid menyertai PKR pertengahan tahun lepas. “Memperoleh populariti segera atau cepat, bukan itu yang saya mahukan.

“Anda kena menang berdasarkan sesuatu yang substantif. Dari segi itu, saya tidak berlawan dengan mereka (BN atau Pakatan Rakyat), saya tidak perlu menyertai permainan mereka.

“Saya bermain dalam perlawanan yang saya rasakan terbaik untuk rakyat. Saya mahu tangani isu-isu rakyat, bukannya bermain politik atau hanya melaung-laungkan slogan,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, Zaid yakin bahawa rakyat akan melihat tawaran Kita dengan baik tanpa melihatnya sebagai ahli politik gilakan kuasa.

“Orang ramai boleh mengatakan apa sahaja mereka mahukan, saya tidak bebas daripada semua ini.

“Tetapi saya pasti bahawa rakyat akan memandang saya dengan baik,” kata beliau sambil menambah, orang ramai masih menganggapnya sebagai seorang yang mempunyai prinsip dan seorang pemimpin yang tidak gementar untuk bercakap mengenai ketidakadilan.

“Jadi, saya lega dengan pandangan sedemikian,” katanya lagi. Kata Zaid, objektif Kita ialah membawa “kewarasan” kepada arena politik Malaysia yang didakwa “berbalah” di semua peringkat.

“Ia sangat bersifat kombatif tetapi bukan spesifik. Ia seperti enam lelaki buta bercakap mengenai seekor gajah tetapi menggambarkan dengan cara yang berbeza.

“Seorang bercakap mengenai Ketuanan Melayu, kemudian seorang lagi bercakap mengenai Ketuanan Rakyat,” katanya yang turut mengkritik Pakatan Rakyat dan BN hanya bercakap tentang slogan tetapi gagal menyelesaikan isu-isu menyentuh kepentingan rakyat seperti perkauman, mengadakan dasar ekonomi yang baik, keselamatan dan lain-lain.

“Pakatan tidak menyelesaikan apa-apa pun. Mereka hanya berminat untuk menang pilihan raya,” kata Zaid yang berpendapat perikatan itu sebenarnya tiga parti berasingan yang cuba mahu mendapatkan kuasa daripada BN.

PKR SYOK SENDIRI...??

Berbicara tentang Reformasi PKR...

Ngeow Chow Bing |

PKR dan Barisan Nasinal telah mengadakan kongres/konvensyen-nya baru-baru ini. Tidak kurang juga peristiwa yang menimpa PKR kebelakangan ini. Sesungguhnya PKR boleh mempersalahkan media arus perdana kerana memperbesarkan "kekecohan" yang berlaku dalam partinya, namun pada hakikatnya, kemegahan dan semangat PKR telah luntur berbanding dua tahun yang lalu.

Secara perbandingannya, semangat BN pula dipacu dengan kemenangan dua PRK yang terdekat. Malah, BN yang kini semakin stabil dari pimpinan atasannya, sering menyindir PR dengan nada yang sinis. Seandainya PRU diadakan sekarang juga, PR tidak semestinya mengulangi kegemilangan yang dicapainya pada tahun 2008.

Mengapa kekuatan PR, terutamanya PKR luntur dalam tempoh dua tahun? Meskipun tidaklah sampai tahap meranap, namun seandainya tidak bermuhasabah, ia bakal menyusut. Situasi sedemikian sememangnya menjejaskan sistem dua parti yang baru muncul pada tahun 2008. PKR wajar mengkaji kelemahannya dari segi kualiti anggota, struktur organisasi, pimpinan, strategi dan sebagainya.

Memperbaiki kualiti anggota PKR

Bukan sesuatu yang baru bahawa anggota PKR berasal dari latar belakang yang berbeza, malah memperlihatkan kualiti yang jauh berbeza. Masalah ini juga dihadapi parti lain, tetapi nampaknya lebih ketara dalam PKR. Punca masalahnya adalah penerimaan keanggotaan secara sewenang-wenangnya. Ini kerana mobilisasi diperlukan semasa berkempen, maka parti politik di Malaysia perlu menarik sebanyak anggota yang mungkin untuk memperkasa organisasi dalam parti dan mengerah sokongan.

Namun, seandainya sebilangan besar anggota parti itu sekadar "gerombolan", maka ia akan membebankan parti. "Pendidikan politik" perlu dimantapkan agar anggotanya dipandu ideologi, lantas partinya berideologi. Namun, inilah yang paling kekurangan dalam aktiviti parti setakat ini.

Organisasi tidak cerminkan keperluan

PKR meniru struktur organisasi parti lain dalam negara, terutamanya musuh politiknya UMNO. Kritikan ini pernah dibangkitkan sebelum ini. Cuma, pernahkan PKR memikirkan, apakah kekurangannya yang sebenar? Apa yang paling diperlukannya? Dan apakah struktur organisasi yang mampu mencerminkan keperluan ini?

Saya yang bukan anggota parti memang tidak tahu jawapannya. Tetapi adalah kurang bijak untuk PKR jika sekadar meniru struktur organisasi musuh politiknya tanpa mempertimbangkan keperluan diri yang sebenarnya. Misalnya, pengkhususan peranan dalam struktur pimpinan tertinggi PKR agak mudah, hanya diwujudkan beberapa jawatan seperti Ketua Penerangan, Pengarah Strategi dan sebagainya. Apakah ia mencerminkan keperluan dalam parti? Apakah masih ada peranan yang perlu dikhususkan kepada pemimpin tertentu untuk menjalankan fungsinya?

Pada masa yang sama, terdapat institusi yang pada hakikatnya tidak diperlukan, tetapi diwujudkan untuk memenuhi ego sesetengah orang. Tetapi kewujudan institusi ini hanya membazir sumber dan menambah perselisihan dalaman. Apakah benar perlunya sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita? Atau ia diwujudkan kerana ia wujud dalam organisasi dalam negara?

Kekurangan bakat mentadbir

Saya terasa Anwar Ibrahim tidak lagi "gagah" sebagaimana yang dahulu selepas "Kes Sodomi II". Hujah ucapannya berulangan, dan tidak menunjukkan prestasi yang terserlah setelah dilantik menjadi Penasihat Ekonomi Selangor. Kemampuannya untuk menyatukan parti, mengawal situasi turut dilemahkan. Jelas, kes ini telah banyak melunturkan dayanya dan membazir masanya - strategi BN yang cukup tajam untuk melemahkan musuhnya.

BN menyasar pada Anwar - bahagian yang paling kuat dan pada masa yang sama paling lemah untuk PKR. Setelah penat lelah Anwar dibuatnya, kekuatan parti berjaya dilemahkan. Di kalangan pemimpin PKR, ramai yang berimejkan "akar umbi" atau "politik", tetapi terlalu kurang "pakar/profesional".

Ketika pemimpin PKR berucap, saya sering merasakan - jikapun halatuju mereka betul, tetapi mereka gagal meneliti soal dasar, pentadbiran secara terperinci. Bahasa yang cukup molek tetapi tidak bernas - semuanya "syiok sendiri", langsung tidak masak dengan soal pentadbiran.

PKR seharusnya menarik dan melahirkan lebih banyak pemimpin seperti Tony Pua, Liew Chin Tong dari DAP, yang tahu berbicara tentang soal dasar. Mereka yang hanya pandai beretorik - pemimpin kononnya inilah hanya akan menjadikan kemelut PKR dari segi pimpinan semakin ketara.

Strategi kurang tepat

Satu lagi masalah PKR, tidak membezakan keutamaan dalam percaturan strategi. Selepas PRU 2008, PKR dengan megah dan yakin bahawa dirinya mampu menawan Putrajaya, menguasai kerajaan peringkat persekutuan. Namun, keyakinan ini tidak lagi sekukuh dua tahun yang lalu. Prestasi PKR baru-baru ini memberi persepsi bahawa parti ini tidak mempunyai halatuju yang jelas.

PKR haru jelas dengan halatuju dalam percaturan strateginya. "Mempertahankan Selangor, kemudian berperang (dengan BN) untuk jangka panjang", atau terus "menuju ke Pusat"? Sesungguhnya, kedua-dua ini bukan pilihan yang saling berkontradiksi. Tetapi dalam keadaan di mana sumber terbatas, adalah penting untuk mendahulukan dan mengemudiankan tugas-tugas - agar tidak memecah-belahkan sumber sehingga tidak kesampaian dua-dua matlamatnya. Misalnya, pemilihan langsung PKR, bukannya tidak baik, tetapi apakah ia wajar diadakan pada peringkat ini? Ini soalan yang dipertikaikan.

Diharapkan PKR meneliti kelemahan diri sebaik-baiknya.

*Ngeow Chow Bing ialah pengkaji politik dan kolumnis di MerdekaReview. Diterjemah dan disunting daripada teks asal yang disiarkan pada pada 14 Disember 2010
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...