24 Januari 2012
Polis Didakwa Sekongkol Ganggu Program ABU, Hindraf
KUALA LUMPUR, 24 JAN : Satu laporan polis hari ini dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bersabit gangguan ceramah anjuran pergerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) yang berlangsung Sabtu lalu.
Dalam laporannya ABU dan penganjur bersama program tersebut Hindraf mengesyaki anggota polis turut bersekongkol dengan individu-individu yang melakukan serangan pada ceramah mereka di Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 30 baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, jelas serangan yang berlaku bersifat terancang dan perkauman dengan menyasarkan hadirin berbangsa India.
Malah dakwa beliau, polis juga tidak mengambil sebarang tindakan ketika insiden tersebut berlaku. Oleh itu, pihaknya tampil untuk membuat laporan polis supaya kejadian itu disiasat.
" Kita juga telah memberikan set dokumen yang mengandungi gambar dan kita berikan CD rakaman kejadian malam tersebut dan di sini juga saya ingin menyatakan rasa kesal terhadap media, sebuah media tabloid harian yang menyatakan lebih 1,000 orang kampung keluar dan marah kerana penceramah mengeluarkan kata-kata kesat tetapi sebenarnya ceramah masih belum dimulakan dan kejadian berlaku ketika program belum bermula," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.
Malah menurut Badrul yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard, pihaknya juga turut memberikan nama beberapa pemimpin UMNO di peringkat bahagian yang didakwa penduduk turut kelihatan dalam insiden untuk membantu siasatan.
Sementara itu, menurut peguam, Haris Ibrahim, lantaran pihaknya mengesyaki pembabitan polis dalam insiden tersebut, maka satu laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan dibuat esok.
" Oleh kerana kami mengesyaki polis juga terbabit atau pun berkomplot dengan individu yang telah menceroboh dan mengganggu ceramah pada malam tersebut, dalam laporan polis pada hari ini kami telah meminta siasatan atas perkara ini yang mana mungkin polis itu sendiri terbabit dilakukan oleh pihak atasan,"ujarnya.
Manakala menurut Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan berkata, pihaknya percaya tindakan menyerang hadirin pada ceramah anjuran ABU dan Hindraf yang menyasarkan kaum India jelas bertujuan untuk mewujudkan ketegangan kaum dan hal seperti itu adalah serius.
" Kita melihat isu ini adalah cubaan untuk mewujudkan suasana ketegangan kaum padahal penceramah kita pada hari tersebut berbilang bangsa dan berbilang kaum. Jadi ini ialah satu parti cuba menggunakan perkara ini untuk mewujudkan satu suasana perkauman,"katanya.
Sumber: Antarapos.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan