Keadaan Asrama Farabi.
NGO Islam Kedah sokong Kuin kekal di Kuala Ketil
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak Kerajaan Kedah dan pengurusan tertinggi Kolej Universiti Insaniah (KUIN) agar menyemak keputusan untuk memindahkan semula KUIN kembali ke kampus Mergong.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid mempersoalkan langkah pemindahan itu dan kedudukan sebenar kampus KUIN Kuala Ketil yang masih disembunyikan oleh pihak kerajaan negeri sama ada ia akan dijual atau disewa kepada pihak lain.
Katanya, langkah untuk menyembunyikan kedudukan sebenar masa depan kampus KUIN Kuala Ketil adalah suatu tindakan yang membelakangi hak mahasiswa dan rakyat Kedah sebagai pendukung kepada pembinaan kampus ini.
“Tindakan untuk menjual atau menyewa Kampus KUIN Kuala Ketil yang tersergam indah dan kembali ke kampus lama Mergong adalah suatu usaha langkah ke belakang yang sangat merugikan dan mengecewakan rakyat negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kenyataan media bersama Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA), Ustaz Ahmad Yahya, Naib Pengerusi Salimah Kedah, Masadah Sajadi, Yang Dipertua ABIM Kedah, Zulazri Mohd Sani, Presiden Pertubuhan Darul Mustafa Kedah, Hafiz Mustafa Lubis dan Pengarah Pusat Santuni Rakyat (PSR) Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman itu sebagaimana di bawah.
Umum mengetahui bahawa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) merupakan institut pengajian tinggi swasta milik kerajaan negeri Kedah yang telah berkembang pesat sejak penubuhan lebih 15 tahun.
Ia adalah pusat pengajian tinggi yang membanggakan seluruh rakyat negeri Kedah dan ianya menjadi pemangkin kepada pengembangan dunia pendidikan dan keilmuan di negeri ini.
Dalam fasa 5 tahun lepas, dalam mencapai prestasi yang cemerlang untuk dianugerahkan mandat Universiti penuh, pihak KUIN telah melaksanakan pelbagai program pembangunan sama ada dalam bidang akademik, pembangunan syahsiah dan kelengkapan kampus pembelajaran.
Pihak MAPIM telah menerima memorandum dari mahasiswa KUIN Kampus Kuala Ketil yang mendesak pihak Kerajaan Negeri Kedah untuk terus kekalkan Kampus Kuala Ketil sebagai pusat pembelajaran mahasiswa KUIN.
Memorandum itu juga meminta Kerajaan Negeri Kedah yang bertanggungjawab penuh keatas pentadbiran KUIN untuk membatalkan hasrat mengarahkan mahasiswa berpindah ke kampus lama Mergong.
MAPIM bersama beberapa NGO Islam negeri Kedah termasuk Teras Pengupayaan Melayu (TERAS),Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA), Abim negeri Kedah, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah), Pusat Santuni Rakyat (PSR) Sik dan Pertubuhan Darul Mustafa Negeri Kedah dengan ini menyokong penuh tuntutan mahasiswa KUIN Kuala Ketil yang terkandung dalam memorandum tersebut.
MAPIM juga bersetuju diatas langkah Jawatankuasa Bertindak Mahasiswa untuk bertemu mengadap bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah selaku Cancelor KUIN yang telahpun pada 29 Januari 2013 lalu menjunjung kasih hadir perkenan merasmikan kampus KUIN Kuala Ketil.
Hasil pemantauan dan tinjauan yang telah dilakukan oleh pihak MAPIM, beberapa faktor penting yang menjadi pemasalahan besar kepada kebajikan mahasiswa sekiranya mahasiswa kampus Kuala Ketil dipindahkan ke kampus Mergong.
Mahasiswa berdepan dengan risiko keselamatan yang sangat kritikal di kampus Mergong dan Asrama Farabi.
Seperti yang sedia maklum keadaan bangunan yang sangat uzur dan serba kekurangan dari segi kelengkapan dan kemudahan.Kehidupan seharian mahasiswa terpaksa berada dalam keadaan bahaya, infrastruktur bangunan asrama dan kuliyyah kampus Mergong adalah tidak memenuhi syarat kelulusan (CF) seperti yang disyaratkan oleh pihak berkuasa tempatan(PBT).
Seharusnya pihak pentadbiran mengambil cakna dengan keadaan bangunan yang sangat tidak selesa untuk diduduki dan risiko berlakunya kebakaran sangat tinggi. Selain daripada itu, kawasan kampus Mergong yang terlalu kecil tidak mampu menampung kuantiti pelajar yang ramai dan semakin bertambah.
2. Mahasiswa akan mengalami gangguan emosi dan mental dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sekiranya keputusan perpindahan ini diteruskan juga, ianya sangat menggangu emosi mahasiswa yang telahpun berpindah tiga kali sebelum ini di pelbagai lokasi bermula daripada kampus Mergong ke kampus Stargate Alor Setar kemudian ke kampus Kuala Ketil dan akhirnya kembali ke kampus Mergong semula .
Proses jadual kelas yang tidak teratur, bebanan tugasan pembelajaran bagi menghabiskan silibus yang tergesa-gesa dan pembelajaran dalam masa yang singkat akan mengganggu emosi dan mental pelajar untuk belajar dengan tenang dan teratur.
3. Mahasiswa terpaksa menanggung bebanan kewangan yang tinggi.
Situasi ini berlaku apabila kebanyakkan mahasiswa yang telah mengikat perjanjian sewa rumah dengan tuan rumah untuk menyewa rumah di kawasan Kuala Ketil.
Ini menyebabkan deposit serta kos perbelanjaan yang tinggi perlu ditanggung oleh mahasiswa berdasarkan perjanjian yang telah dibuat. Berdasarkan soal jawab yang telah dibuat sewaktu perjumpaan mahasiswa Kuliyyah Muamalat, seorang mahasiswa telah memaklumkan meraka terpaksa membayar hampir RM4,000 baki sewa rumah sekiranya ingin meningglkan rumah tersebut sebelum tamat tempoh perjanjian selama setahun yang ditetapkan oleh pemilik rumah.
4. Tempat belajar yang kurang kondusif di kampus Mergong.
Penilaian MQA bagi setiap kursus yang telah dipohon mewajibkan pentadbiran sesebuah IPTS menyediakan kemudahan-kemudahan bagi melancarkan proses P&P (Pengajaran dan Pembelajaran). Jika perlu dibandingkan antara kelas yang cukup untuk menampung keperluan dengan kelas yang besar dan selesa, pastilah kelas yang besar dan selesa yang akan dipilih.
MAPIM mendapati kelas yang akan digunakan oleh pelajar apabila berpindah ke kampus Mergong sangat tidak kondusif untuk proses pembelajaran yang selesa dan baik. Sedangkan kelas pembelajaran di KUIN Kuala Ketil adalah terbaik dan setanding dengan kampus IPT terbaik di Malaysia.
5. Penginapan pelajar yang tidak selesa dan bebanan kos deposit rumah.
Situasi di bangunan Asrama Al-Farabi, kampus Mergong yang telah dipetik dari kenyataan rasmi pengerusinya menyatakan bangunan tersebut adalah banggunan rumah flat empat (4) tingkat. Setiap rumah akan dihuni oleh lapan (8) orang pelajar. Untuk menampung bilangan pelajar dari Kampus Kuala Ketil ke Mergong, pentadbiran telah menyediakan 200 tempat untuk pelajar lelaki dan 600 tempat untuk pelajar perempuan di bangunan asrama yang bersebelahan dengannya.
Malangnya, bangunan tersebut yang di laporkan; tiada Certificate Safety (CS), sistem pendawaian dan air yang perlu diselenggara kembali, sudah pasti akan memakan masa yang lama dan menelan sejumlah kos yang tinggi serta mengganggu kosentrasi pelajar untuk belajar dengan lebih selesa.
6. Kampus KUIN Kuala Ketil adalah terbaik, strategik dan kondusif dari segi kemudahan prasarana dan tempat pembelajaran yang telah dan sedang dibangunkan bagi memenuhi syarat-syarat sebuah universiti berbanding kampus KUIN di Mergong yang masih di tahap lama.
Cadangan Mapim Untuk Peningkatan Kualiti P&P Dan Usaha Penafaran Mahasiswa Kuin Sebagai Mahasiswa Bertaraf Mumtaz.
Memohon agar dikekalkan kampus KUIN Kuala Ketil dan menjadikan ia sebagai kampus tetap kerana Infrastruktur yang telah dibangunkan memenuhi syarat-syarat sebuah universiti jauh lebih baik, selesa dan lengkap dengan kemudahan berbanding kampus KUIN di Mergong.
Memohon agar penempatan asrama dalam kampus KUIN Kuala Ketil yang telah diberhentikan operasi pembinaanya diteruskan.
Mencadangkan agar pihak pentadbiran KUIN mencari penempatan sementara untuk menunggu asrama di dalam kampus Kuala Ketil siap sepenuhnya.
Pentadbiran perlu mengariskan pelan jangka masa panjang kolej untuk mencapai taraf universiti penuh.
Meningkatkan usaha pemasaran dan publisiti untuk peningkatan kuantiti pelajar pada masa akan datang dengan jumlah yang kompetatif untuk kampus Kuala Ketil.
Meningkatkan kualiti kerja dan produktiviti kakitangan dalam fasa menjadikan KUIN sebagai tapak medan dakwah Islamiah yang memerlukan daya usaha yang tinggi dan bersungguh-sungguh.
Meningkatkan inisiatif kebajikan dikalangan mahasiswa dan seluruh kakitangan dan tidak menafikan hak untuk mereka menyuarakan sebarang pandangan dan teguran kepada pihak pengurusan tertinggi KUIN.
Menjadikan kampus Kuala Ketil sebagai kampus utama dan tunggal sebagai langkah ekonomik untuk mengurangkan bebanan kos pembiayaan dua buah kampus.
MAPIM mendesak pihak Kerajaan Negeri Kedah dan pihak pengurusan tertinggi KUIN untuk menyemak semula keputusan untuk memindahkan semula KUIN kembali ke kampus Mergong.
MAPIM mempersoalkan langkah pemindahan ini dan kedudukan sebenar kampus KUIN Kuala Ketil yang masih disembunyikan oleh pihak Kerajaan Negeri Kedah sama ada ia akan dijual atau disewa kepada pihak lain.
Langkah untuk menyembunyikan kedudukan sebenar masa depan kampus KUIN Kuala Ketil adalah suatu tindakan yang membelakangi hak mahasiswa dan rakyat Kedah sebagai pendukung kepada pembinaan kampus ini.
Tindakan untuk menjual atau menyewa Kampus KUIN Kuala Ketil yang tersergam indah dan kembali ke kampus lama Mergong adalah suatu usaha langkah ke belakang yang sangat merugikan dan mengecewakan rakyat negeri Kedah.
Kami dengan ini mengesa agar isu kampus KUIN di Kuala Ketil diselesaikan dengan bijak dan keutamaan diberi kepada mengekalkan kampus yang telah dibina di Kuala Ketil.
Kedahkini