Written by Ahmad Lutfi Othman
Seolah-olah ada kocakan dalam Pakatan Rakyat di Selangor sejurus pelantikan Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri, bagi menggantikan Dr Hasan Ali. Sekurang-kurangnya itulah yang mahu dipersepsikan media milik Umno. Sebagai negeri yang paling dihajati untuk direbut semula, dengan apa jua cara oleh Najib Razak, setiap peluang akan dimanipulasi sepenuhnya.
Selaku musuh tradisi Umno sejak berzaman, apatah lagi dalam pilihan raya umum ke-13 nanti PAS dilihat faktor paling penting dan kritikal untuk memudahkan laluan Pakatan ke Putrajaya, maka usaha menjauhkan pengundi Melayu-Islam dengan PAS dikira dapat mempertahankan survival Umno-BN.
Portfolio Dr Ahmad Yunus -- Adun muda yang berminat melakukan kerja amal dan tidak terpalit dengan sebarang isu kontroversi -- berkaitan adat Melayu, belia dan sukan, dikatakan hanya menggambarkan bahawa PAS tidak begitu dipandang penting oleh rakan-rakannya dalam Pakatan di negeri termaju itu, khususnya KeADILan.
Beberapa akhbar mengulas bahawa apabila tiga portfolio penting, yakni agama, kemudahan awam dan infrastruktur, disandang Menteri Besar, ia hanya menunjukkan satu mesej jelas: PAS telah dipinggirkan.
Bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad tiba-tiba kerap ditemubual sebuah stesen TV secara sinis berkata, Parti Islam itu hanya diperlukan untuk mengumpulkan orang ramai bagi tujuan politik sekutunya. Sudah tentu ia bermotif negatif, untuk membangkitkan rasa tidak senang penyokong PAS akar umbi, seolah-olah mereka yang komited dengan perjuangan itu sekadar menjadi alat atau perkakas KeADILan dan DAP.
Menerusi internet, pelbagai komentar dilontarkan. Ada yang bersetuju portfolio agama diserahkan kepada Abd Khalid Ibrahim, terutama untuk menyelesaikan pelbagai "kekusutan" yang timbul dalam institusi tertentu. "Kerumitan" di peringkat yang sensitif itu memerlukan tokoh berprofil tinggi, seperti Menteri Besar, bagi menanganinya secara cermat dan berhemat.
Namun tidak kurang pula posting yang memperlekehkan PAS, dengan memainkan sentimen bahawa imejnya sebagai Parti Islam tercalar teruk. "Bukankah aktivis PAS selama ini yang menggerakkan institusi masjid dan surau? Memang tiada tokoh ulama daripada kalangan Adun PAS, seperti juga Hasan Ali dulu pun bukan ustaz, tetapi PAS itu sendiri mengumpulkan ramai ilmuan dan pencinta Islam," salah satu tulisan dipetik.
Saya turut menerima SMS, yang menyokong penuh kenyataan sarjana sains politik, Dr Mohammad Agus Yusof yang menyifatkan portfolio agama dan adat Melayu sebagai "saling berkaitan seperti kembar siam, dan tidak sepatutnya dipisahkan".
Malah, ada yang mencadangkan portfolio kemudahan awam dan infrastruktur kekal di bawah Exco PAS, dengan mempelbagaikan bidang kuasa seorang lagi Exco daripada PAS, Iskandar A Samad, yang kini mengendalikan perumahan, pengurusan bangunan dan setinggan.
Sememangnya keputusan mutlak di tangan Menteri Besar. Beliau diyakini melihat senario ini secara keseluruhan; selain memperkemas struktur dan jentera pentadbiran, juga sebagai persiapan terakhir menghadapi PRU13. Tentulah jika ia dilihat boleh membawa mudarat kepada PAS -- sekurang-kurangnya daripada segi persepsi orang ramai -- itu hanya satu kebetulan yang menyedihkan.
Saya tidak percaya isu portfolio yang disandang Dr Ahmad Yunus itu membawa kesulitan besar kepada PAS. Penjelasan awal yang diberikan, antara lain oleh Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan, Tuan Ibrahim Tuan Man, dapat menjernihkan. Mainan musuh akhirnya akan tertolak begitu sahaja.
Kenyataan Iskandar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, bagi penyokong parti lebih melegakan. Katanya, keputusan mengambil alih portfolio agama itu hanya sementara. Ia akan diserahkan semula kepada Exco PAS dalam masa yang sesuai.
Bagaimanapun, Saifullah Zulkifli, Ketua Penerangan AMK Selangor menyimpulkan: "Umno-BN sering menggunakan isu agama seperti isu kuil, isu murtad, isu pentauliahan dan sebagainya sebagai modal dangkal untuk menyerang kerajaan Pakatan Rakyat. Justeru adalah wajar aspek-aspek yang melibatkan portfolio agama ini diberi perhatian khusus kepada pimpinan tertinggi kerajaan negeri."
"Minta saudara Lutfi jelaskan, apakah Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang dikuasainya, mengadakan rundingan terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan besar dibuat? Bukankah itu amalan yang baik, menandakan parti yang menguasai kerajaan? Saya difahamkan, kalau benar memang menyedihkan, hanya Perak di bawah Nizar Jamaluddin dahulu yang melaksanakan amalan itu. Saya bukan merujuk kepada Selangor sahaja, tetapi juga Kedah dan Pulau Pinang juga," seorang anak muda, bekas pemimpin pelajar, menghantar emel kepada saya.
Selain itu, ada juga yang menghargai situasi tokoh no 1 PAS Negeri, Dr Rani Osman yang tidak dilantik Exco. "Ya, tidak semestinya PJ akan jadi Exco, 'kan? Banyak tugas lain, demi kepentingan rakyat dan menjamin urusan kerajaan tidak menyeleweng, boleh dilakukannya. Seperti juga Ketua KeADILan Selangor, Azmin Ali tidak memegang sebarang jawatan strategik dalam kerajaan," saya menerima panggilan telefon seorang pembaca Harakah.
Apa pun, saya lebih teruja dengan SMS seorang pemimpin Umno Selangor: "Dr Ahmad Yunus punya masa depan cerah. Tapi lebih penting, baru orang sedar, dalam PAS rupanya ramai profesional hebat, termasuk doktor perubatan. Yang dipecat doktor, penggantinya juga doktor. Hebat lagi bila ketiga-tiga calon yang disebut ganti Hasan Ali semuanya doktor. Ini cabaran besar kepada Umno, yang juga mesti sediakan profesional dan tokoh muda dalam PRU13 nanti."
Dalam pada itu, Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar, yang juga Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Selangor, yakin segala urusan berkaitan hal ehwal agama di Selangor akan lebih licin selepas portfolio itu dipegang sendiri Menteri Besar. Katanya, dengan kelebihan yang ada pada Khalid, ia akan memudahkan 'banyak benda' termasuk dalam urusan dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Harakahdaily melaporkan, ditanya beban tugas selepas pertukaran ketuanya, Dr Shafie berkata, beliau yakin kerjanya sebagai pembantu exco agama akan lebih berat di bawah Khalid. "Oleh kerana dia sibuk dengan pelbagai tugas, mungkin peranan (exco agama) ini banyak diturunkan kepada saya. Barangkali saya akan lebih banyak menjalankan tugas yang sepatutnya dijalankan Menteri Besar kerana masa dia tak banyak," katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat).
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor pula menyifatkan tindakan Menteri Besar itu sebagai langkah untuk memastikan Umno-BN tidak akan menggunakan portfolio berkenaan sebagai sasaran mudah.
Tambahnya, Dr Ahmad Yunus Hairi, adalah ‘orang baru’ yang belum berpengalaman menguruskan portfolio tersebut.
"Portfolio hal ehwal Islam itu merupakan lubuk Umno BN untuk menyerang PAS, jadi tindakan yang dibuat MB adalah tindakan wajar,” jelas Khalid ketika dihubungi The Malaysian Insider. Tambahnya, tindakan menteri besar itu juga bertepatan pada masanya memandangkan tempoh untuk menghadapi pilihanraya yang semakin hampir.
Manakala seorang rakan lain, yang sering saya ajak bicara tentang cabaran sengit PAS di Selangor, mengingatkan: "Di kawasan Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang dan Kuala Selangor, PAS bertanding 5 kerusi Dun dan 3 Parlimen, tetapi pemimpin negeri dan pusat jarang datang. Aktiviti dan ceramah sekali sekala sedangkan Umno terus dengan program sukan, karaoke tiap minggu, begitu juga ceramah agama. PAS tertinggal jauh ...."
Saya tidak pasti apakah rungutan sahabat saya itu berasas atau setakat berkongsi rasa ... Namun ia menyedarkan saya bahawa laluan PAS sebagai "pengganti Umno", dalam konteks pengundi Melayu, masih berliku tajam.
Sebenarnya, jika diikutkan hati, saya lebih suka untuk mengulas isu pengisytiharan harta dan aset milik menteri dan keluarga mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan bukan hanya kepada Perdana Menteri. Lebih menarik, respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz terhadap cadangan Pengerusi Lembaga Penasihat panel SPRM, Zaitun Zawiyah Puteh itu.
"Jika kita umumkan butiran (pengisytiharan aset) itu kepada orang ramai, ini akan membahayakan individu berkenaan," kata Nazri. Ha ha ha ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan