Tiga kes mahkamah merugikan Najib
Mereka yang tidak berfikiran secara waras sahaja mengakui serta memuji kesederhanaan dan keadilan di bawah pentadbiran Najib.
PETALING JAYA: Walaupun ada yang terlalu gembira dengan terhumbannya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara, hakikat sebenar hukuman tersebut merugikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dakwa Shahbudin Husin.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO itu berkata, Najib sebenarnya sedang tersungkur dalam persepsi buruk di mata rakyat.
Jelas beliau, Mana tidaknya, Najib sebelum ini turut dikaitkan dengan kes penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan Altantuya manakala anggota polis Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar pula dituduh membunuh model warga Mongolia itu.
“Razak Baginda didapati bebas dan kesnya langsung tidak dirayu. Azilah dan Sirul, walaupun tiada motif, tetap didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
“Anwar pula, di sebalik semua rentetan keraguan yang ditimbulkan dalam mahkamah dan didedahkan secara meluas di media-media, akhirnya didapati bersalah dan dihukum lima tahun penjara,” katanya.
Menulis dalam entri terbaru blog shahbudindotcom.blogspot.com hari ini, tambah beliau, ketiga-ketiga kes ini memberi impak yang besar kepada pentadbiran Najib dari segi keyakinan rakyat mengenai keadilan dan kesederhanaan yang dilaungkan beliau sebelum ini.
Katanya, hanya mereka yang tidak berfikiran secara waras sahaja mengakui serta memuji kesederhanaan dan keadilan di bawah pentadbiran Najib.
“Semua ini, secara diam dan perlahan-lahan, sebenarnya sedang marak umpama api dalam sekam di hati rakyat dan hanya menunggu masa untuk meruntuhkan segala-galanya,” ujarnya.
Shahbudin mendakwa, kesedihan dan simpati rakyat walaupun tidak diluahkan secara terbuka sebagaimana kali pertama Anwar dihantar ke penjara dulu, namun mereka seolah-olah sedang memendamnya dalam perasaan dan hanya menunggu tarikh pilihan raya akan datang untuk meluahkan segala-galanya.
“Janganlah terlalu bergembira dengan hukuman yang diterima Anwar dan boleh jadi pisang yang mahu disedekahkan itu adalah juga untuk meraikan sebuah kejatuhan yang lain di masa akan datang,” akhirnya.~fmt
BACA INI PULAK.....
Putrajaya Bakal Ditawan Jika Anwar Dipenjara - A Kadir Jasin
Jika beliau (Anwar) dipenjara, PR akan menang pilihan raya umum dan mengambil alih Putrajaya/Foto:File
KUALA LUMPUR: Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin meramalkan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan terjejas meskipun Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan sekiranya keputusan liwat II membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang akan diketahui esok tidak berpihak kepadanya.
Sebaliknya menurut A Kadir, tindakan ‘menyumbat’ Anwar dalam penjara berkemungkinan menyebabkan Putrajaya ditawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Jika beliau (Anwar) dipenjara, PR akan menang pilihan raya umum dan mengambil alih Putrajaya. Saya ingin berkongsi kecenderungan beliau. PR tidak akan mengalami pertembungan apabila beliau dipenjarakan,” katanya dalam entri terbaru blognya, kadirjasin.blogspot.com, semalam.
Bekas Ketua pengarang Kumpulan Akhbar New Straits Times itu menambah, sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan kesalahan dengan tindakan memenjarakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, ia juga menyebabkan ahli-ahli parti terus bersatu meskipun terdapat perbezaan ideologi.
Malah kata A Kadir, beliau menjangkakan sokongan kepada Anwar akan dizahirkan oleh golongan muda.
“Remaja yang berusia 10 atau 15 tahun pada tahun 1999 – dalam perbicaraan kes liwat pertama Anwar – kini berusia 25 atau 35 tahun, dan mereka adalah orang-orang muda yang pemarah.
"Mereka tidak begitu tahu tentang apa yang berlaku pada abad yang lalu. Tetapi mereka tahu apa yang berlaku sekarang. Malah kebanyakan penyokong setia UMNO mengakui Barisan Nasional (BN) tidak mendapat sokongan pengundi muda dengan hanya menjatuhkan Anwar dan PR," katanya.
Anwar sebelum ini menyatakan bahawa PR masih mempunyai sokongan padu daripada rakyat dan sokongan tersebut mampu mencecah sehingga 60 peratus jka beliau dipenjarakan sekali lagi.
Pada 7 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada dakwaan meliwat Mohd Saiful.
Bagaimanapun Anwar, 67, meminta Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan Mahkamah Rayuan selepas ia membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi untuk membebaskannya.
Prosiding pendengaran rayuan terakhir kes liwat Anwar diadakan pada 28 Oktober sehingga 7 November, pada tahun lalu.
~SUMBER