Dr Suleiman Mohamad
SUSULAN pendedahan wujudnya kegiatan kongsi gelap atau gengster di negara ini, ada pihak yang mendakwa kumpulan ini mempunyai kaitan dengan ahli politik.
Hubungan ini dibuat khusus untuk mengukuhkan kedudukan seseorang atau kumpulan tersebut.
Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Norutul Ilham Md Jari yang berkesempatan bertemu individu yang mengetahui berhubung dunia gengsterisme, Datuk Seri Dr Suleiman Mohamad juga bekas Timbalan Menteri Penerangan.
Boleh Datuk terang sedikit mengenai kongsi gelap?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Macam-macam nama kumpulan kongsi gelap, ia dibawa daripada negara China semasa perang zaman Revolusi China, jadi apabila ramai kaum Cina datang ke sini (Malaysia) mereka buka pula di sini.
Memang sudah lama kongsi gelap sudah ada dalam negara ini, contohnya kumpulan 24, tapi dalam bahasa Cina, ia dipanggil 'Je Si', di bawahnya ada kumpulan Long Foo Thong (Harimau Naga).
Kemudian di bawah, ada 'Ji Si' (24) Leng Ho, 789 juga sama, iaitu cara kira tujuh tambah 8 tambah 9 sama dengan 24.
Ada juga kumpulan 38 iaitu tiga darab lapan sama dengan 24, ada juga kumpulan 969 iaitu sembilan tambah enam tambah sembilan sama dengan 24 (kau luk kou), Kao Long Pong (9 Naga) ada juga kumpulan 21 Brothers, ada juga Lok Wan.
Kemudian bawah ini, ada kumpulan Hong Fa (08), kemudian Waiki (04) yang semua orang heboh-heboh sekarang, kemudian ada 36. Ini kumpulan-kumpulan yang besar ini.
Semua masuk sini, asal usul memang dari China, tapi ‘askar-askar’ kumpulan gengster ini majoritinya satu kaum sahaja, di bawah kumpulan 24, memang banyak lagi pecahan kumpulan, mereka ini memang bergiat aktif.
Sesama mereka ini sebenarnya musuh. Kenapa mereka guna nombor?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Itu saya sendiri tidak faham kenapa.
Adakah undang-undang negara kita tidak cukup ketat memandangkan kongsi gelap semakin berkembang.
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Mereka ini kumpulan haram yang tidak berdaftar, mereka ini 'under world society', Mereka akan pegang kawasan, contohnya kawasan sana 04, kawasan ini, Lok Wan punya, jadi dia jadikan macam itu, aktiviti dia peras ugut, kembang kepada judi haram, pelacuran, mereka akan bergaduh jika ada kumpulan langgar kawasan milik kumpulan lain.
Kerana kawasan itu dia ‘bangunkan’, aktivitinya sejak zaman merdeka sehingga sekarang dia tumbuh silih berganti, tetapi semuanya aktiviti-aktiviti jenayah.
Memang semua ini perlukan undang-undang, kita sudah cukup undang-undang kita, kemudian kita dulu ada Ordinan Pencegahan Jenayah (PCO), tangkap, lepas itu buang daerah.
PCO adalah di bawah kuasa polis, tapi sekarang banyak undang-undang kita batalkan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), PCO pun dibatalkan. Ada kesan daripada pemansuhan, banyak undang-undang kita bagus, tapi sekarang kerajaan kita ambil tindakan untuk menubuhkan skuad seperti Ops Cantas, walaupun baru dilaksanakan ia cukup berkesan.
Apa pandangan Datuk Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan nama-nama kumpulan kongsi gelap?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Bagus, orang sambut baik, kerana semasa PRU lepas, banyak parti-parti politik ada kecenderungan menggunakan gengster, sama ada gengster Melayu ataupun bukan Melayu. Rakyat tidak begitu selesa apabila parti politik terlibat dengan gengster. Jumlah ahli-ahli gengster ini sudah cecah 70,000.
Orang awam tahu parti-parti politik guna gengster untuk mendapat undi, disebabkan itu undi yang diharapkan tidak dapat, duit habis. Kita mengatakan bahawa PRU lalu ada parti-parti politik guna gengsterisme untuk dapat undi tetapi daripada godfather, arahan turun ke bawah tidak sampai, duit habis.
Saya tahu stok duit yang dibelanjakan ada yang mencecah sehingga RM17 juta. Ini yang tidak disenangi rakyat, tentulah polis tak senang la, bila kamu guna gengsterisme untuk raih undi. Jadi gengster ini naik lemak, pasal dia diiktiraf, tapi tindakan Ops Cantas ini bagus. Jadi kita dapat bagi keyakinan daripada orang awam. Bila ahli politik guna gengster, tidak bagus untuk negara, kerana mereka ini penjenayah, takkan gunakan mereka.
Adakah benar kongsi gelap ini menyebabkan jenayah semakin meningkat dan pembunuhan upahan itu daripada kumpulan kongsi gelap?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Hanya penjenayah boleh buat kerja-kerja seperti ini, susah untuk kita nak pastikan soal ini, tapi hanya orang macam ini yang mampu buat kerja macam itu. Tapi kita tidak tahu sama ada organisasi dia yang bagi arahan, mungkin mereka ini contohnya daripada kumpulan Waiki (04), ini bahasa Hookien, jadi pasti penjenayah ada daripada kumpulan kongsi gelap.
Bagaimana pandangan Datuk untuk kita membanteras kumpulan kongsi gelap?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Susah nak bendung, kalau dengan Ops Cantas itu hanya boleh kurangkan, kalau nak bendung ia seperti sudah jadi budaya terutamanya dalam masyarakat Cina.
Mereka ini ada sumpah tersendiri, contohnya lambang tangan yang menggambarkan kumpulan mereka. Kalau Gengster Melayu ini berasal daripada 'fisabilillah', tahun sebelum merdeka dan awal merdeka, lepas itu kumpulan fisabilillah ini terbahagi kepada dua.
Satu tentera semut, tentera semut ini yang buka Pekida (Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia) ini, Kerajaan iktiraf Pekida sebab dia berdaftar, tapi Pekida ditubuhkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu, mereka ini bukan gengster, tapi jika ada di antara mereka terlibat dengan kegiatan gengster, kita akan takrifkan dia sahaja sebagai penjenayah.
Jadi gengsternya adalah ahli, bukan pertubuhan. Kalau ahlinya terlibat dengan jenayah, maka hanya dia sahaja penjenayah. Pekida bukan tergolong daripada kumpulan kongsi gelap.
Boleh Datuk ceritakan mengenai tragedi berdarah negara pada 13 Mei 1969?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Saya bercakap berdasarkan ahli akademik, dalam isu 13 Mei ini pengenalan kaum berdasarkan ekonomi cukup ketara, keadaan Melayu ketika itu teruk, ia berlaku di kampung saya sendiri kerana saya anak Kampung Baru.
Ayah saya meninggal semasa 13 Mei, apabila kita terlalu mundur dan orang yang bukan Melayu agak maju, maka rasa tidak puas hati dan jadi isu politik. Maka jadilah 13 Mei. Faktor ekonomi yang mewujudkan isu politik kerana Melayu miskin. Jadi dia orang menggunakan benda ini untuk lebih kepada segi politik.
Sejak daripada dulu lagi, mereka (Cina) mahukan kuasa politik, itu sebab mereka tak undi BN, itu sahaja.
Apabila disebut Lim Kit Siang 'Malaysia for Malaysian 1982', ini mencerminkan bahawa dia tidak terima konsep Bumiputera, kuasa politik Melayu, mereka mahukan sama-rata. Kemudian, datang pula (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang mengatakan sama rata sama rasa, itu asas yang mereka nakkan dan selepas itu (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak pula membawa konsep 1Malaysia.
Apakah perbezaan kumpulan kongsi gelap dulu dan sekarang?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Zaman dulu daripada penelitian saya, organisasi dulu berpersatuan, berkomrad, persaudaraan. Jika dia daripada kumpulan ini, dia ada komrad sendiri.
Dia juga ada pergaduhan dengan kumpulan lain kerana perbezaan kumpulan dan kerana kawasan, tidaklah kegiatan itu menjolok sangat kerana kegiatan peras ugut dilakukan secara tersembunyi. Namun, tidaklah sampai kepada jenayah-jenayah berat seperti pembunuhan yang kita dengar seperti hari ini.
Hari ini, dia (kongsi gelap) tidak berdasar kepada ritual itu, kumpulan gengster ini sebenarnya ada tokong sendiri. Komrad mereka sangat kuat. Sekarang, nampak ‘sofistikated’ sikit, mungkin kumpulan ini sudah meningkat daripada segi budaya dan kehidupan, gaya hidup dan juga pendidikan. Jadi dia lebih ‘sofistikated’ sampai sanggup ambil upah bunuh orang.
Kita dahulu ada undang-undang sesiapa kalau ada pistol, kena hukum gantung sampai mati. Tapi undang-undang sekarang sudah tidak ada, jadi orang berani pegang pistol sekarang. Ini yang nak ditekankan kerajaan, supaya undang-undang lebih ketat dan supaya rakyat lebih yakin mereka akan selamat.
Sekarang kita nak hidup pun takut, kerana jenayah gengsterisme sudah dijadikan industri, tidak lagi berdasarkan ritual seperti orang-orang lama, tapi sudah jadi industri.
Adakah benar gengster wujud kerana adanya pengaruh media?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: “Ya, terutamanya bila anda lihat sendiri filem India. Dia punya elemen keganasan itu nampak boleh mempengaruhi. Media memang boleh mempengaruhi penonton, ini termasuk menerusi sosial media, surat khabar atau TV yang mampu pengaruhi peribadi dan pemikiran seseorang.
Setiap orang pastinya mahu menjadi hero, apabila tengok filem seperti ini, budak-budak nak jadi hero. Siapa-siapa pun tengok mesti mahu jadi seperti hero itu juga.
Apa pandangan datuk dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO), adakah undang yang bakal menggantikannya perlu lebih ketat?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Saya rasa, undang-undang yang ada sudah memadai, tapi PCO rasanya perlu diteruskan. Sebagai contoh jika seorang penjenayah itu ditangkap di Kuala Lumpur, dia akan dihantar ke tempat-tempat lain, contohnya Kuala Terengganu untuk dua atau tiga tahun, selepas itu penjara di Simpang Renggam, Johor. Ini saya nampak sudah tidak diguna pakai.
Namun, kita alu-alukan Ops Cantas. Kita ucap syabas kepada kerajaan apabila kerajaan umum, kerana rakyat kini rasa selesa. Rakyat juga perlu sama-sama menentang, tapi jika rakyat buat tidak tahu pun susah juga, ini bermakna rakyat juga perlu sokong kerajaan dan polis.
Apa pandangan Datuk apabila jenayah tembak seolah-olah mendadak masa kini?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Sebagai rakyat biasa kita akan terfikir apa polis buat, di mana kekuatan polis, di mana penguatkuasaan. Tetapi hakikatnya polis telah berbuat sesuatu, kita boleh lihat melalui surat khabar bahawa banyak kes yang berjaya diselesaikan dengan contohnya kes penjenayah ditembak di Pulau Pinang baru-baru ini.
Kalau ikut pandangan saya secara ikhlas, perlu ada cara yang mungkin ekstrem. Contohnya di Indonesia, ada seorang Jeneral Benny Moerdani, yang menjadi Menteri Pertahanan ketika pada zaman pemerintahan (Presiden Indonesia) Soeharto.
Dia telah mewujudkan pembunuh misteri. Hasilnya, di Bandung sahaja, pembunuh misteri ini berjaya bunuh 6,000 gengster setiap malam, jika ada rekod terus buang ke dalam sungai.
Tanjung Periuk yang menjadi lubuk gengster Cina, habis, licin. Sampai ada penjenayah yang dalam penjara minta tolong tidak mahu keluar. Statistik jenayah menurun menerusi cara ekstrem ini.
Sama ada kita di Malaysia boleh lakukan itu atau tidak, itu saya tidak pasti. Pembunuh misteri ini diwujudkan kerana untuk hapuskan jenayah yang pada waktu itu cukup tinggi di Indonesia.
Jenayah besar tidak terkawal di Tanjung Periuk, bukan kerajaan yang kawal Tanjung Periuk, tapi gengster. Seperti juga lepas kejadian 13 Mei 1969, orang ditangkap disimpan di Pulau Jerejak. Ada yang kena buang daerah.
Kalau kita cakap jenayah ini banyak dibuat anak-anak India kerana mereka tidak mendapat pendidikan dan tiada kerja. Anak Melayu juga melakukan perkara sama seperti kes ragut dan rempit.
Kita harus selesaikan isu ini dengan memberi peluang pendidikan dan sediakan peluang pekerjaan, melalui cara ini saya percaya kita dapat selesaikan masalah gengster ini. Jika mereka dapat pekerjaan, masalah kemiskinan akan berkurangan dan mereka tidak akan cari jalan mudah seperti melakukan jenayah, seperti dahulu.
Nasihat Datuk kepada kerajaan untuk tangani jenayah?
DATUK SERI DR SULEIMAN MOHAMAD: Penguatkuasaan undang-undang mesti diperketat. Kerajaan juga perlu memikirkan cara bagaimana untuk memastikan tiada remaja dan anak muda yang tercicir dari segi pendidikan.
Ini kerana menerusi pendidikan dan pelajaran, golongan ini akan lebih mendapat masa depan yang cerah. Jadi kita mesti selesaikan dua perkara ini terlebih dahulu.Jangan dibiarkan. Kalau mereka tidak ada duit, ini kerana dia pastinya mahukan pendapatan, kadang-kadang mereka ambil jalan mudah.
Selain itu, kerajaan perlu wujudkan masyarakat tersusun. Individu yang tidak tersusun akan membentuk satu masyarakat yang tidak tersusun. Apabila kita dapat bentuk masyarakat tersusun, mudah untuk kita beri peluang sekolah, pekerjaan.