Azmin Ali mahu tinggalkan Pakatan Rakyat?
Orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dikatakan mahu meninggalkan PKR dan Pakatan Rakyat.
Menurut sumber parti, ahli politik berusia 48 tahun itu mahu meninggalkan gabungan itu "kerana didakwa tidak puas hati dengan peruntukan jawatan exco kerajaan negeri Selangor di kalangan parti dalam Pakatan."
Adalah dipercayai bahawa 11 tokoh kanan Pakatan - yang dikatakan baru terpilih sebagai ahli Parlimen - akan menurut jejak langkah Azmin.
Ketiadaan Azmin di perhimpunan raksasa Pakatan yang dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kelana Jaya, Selangor pada malam Rabu, turut menarik perhatian, begitu juga dengan tweet pedas Azmin mengenai program tersebut.
Di Twitter, beliau mengecam Pakatan kerana menganjurkan perhimpunan tersebut, sambil menggesa parti itu menerima kekalahan mereka dalam pilihan raya umum ke-13 Ahad lalu.
Azmin menulis dalam tweetnya: "Rakyat letih dengan asakan politik melampau. Terima hukuman, muhasabah diri, akui kelemahan, maju ke hadapan, tumpu rakyat bukan kerabat." ~ mk
KOMEN DARI BLOG:
Apa dan mengapa dengan Azmin, tunggu hari ini — Mohd Sayuti Omar
10 MEI — Sejak dari pagi tadi saya telah menerima beberapa SMS memaklumkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali akan membuat sidang akhbar khas esok. Malam ini pun masih banyak masuk mesej dalam email saya dan PM Facebook orang bertanya perkara sama. Masing-masing nampaknya seperti teruja dengan maklumat itu.
Perkara ditanya ialah mengenai Azmin kenapa dan untuk apa beliau akan mengadakan sidang akhbar besok. Timbul berbagai spekulasi mengenai perkara itu. Pertanyaan itu makin menjadi lagi apabila ada yang terbaca mengenai tweet Azmin yang bernada agak sumbang dan sedikit mendebarkan.
Gara-gara itu makin ramai pemint blog dan rakan Fb saya bertanya. Saya tidak mahu menjawab malam ini sebab saya tidak tahu apakah puncanya. Jujur. Untuk menolak spekulasi Azmin akan keluar PKR seperti mana didesas desuskan tidak boleh, dan untuk menerimanya amat tidak boleh. Cuma saya boleh sifatkan kalau ini berlaku bermakna dunia PKR akan khiamat.
Kalau ini berlaku ia menempati ramalan beberapa pemimpin UBN yang mengatakan parti serpihan itu akan mati.
Kalau berlaku itu bukan satu yang mengejutkan saya. Ia masih saya menganggap sebagai satu tektik dan strategi untuk sesuatu tindakan dalam PKR sendiri. Mungkin tektik itu sebahagin salah satu cara untuk membolehkan Anwar mengotakan janjinya untuk bersara dalam politik. Begitukah?
Bila rumah PKR terbakar maka Anwar tidak ada jalan lain akan lari meninggalkan rumah. Sama ada selepas itu akan hangus dan dibina semula oleh Azmin dan lain-lain, lihatlah nanti.
Ramai orang yang sayangkan kepada 'keputusan' pilihan raya lalu hanya akan berdoa agar semuanya selamat. Namun betapa kita berdoa perangai dan sikap orang politik sememangnya begitu, mereka tidak pernah mempedulikan suara orang bawahan. Sifat orang politik itu juga mereka mengikuti naluri dan goncangan nafsu mereka. Ingatlah kembali madan-madah saya tentang politik.
Cuma kalau esok Azmin mengambil tindakan drastik mengejutkan itu ia satu kebagusan kerana ia dibuat selepas pilihan raya. Tetapi jauh di lubuk jati saya, saya tidak percaya kalau keputusan yang bakal dilakukan esok.
Jadi tunggulah sehingga hari esok. Yang saya hendak kata Azmin seorang pemain politik yang lincah sama dengan bosnya. Mungkin kelincahan mereka kali ini bertembung setelah semua jalan mereka lalui sehinggalah tinggal satu jalan saja yang belum dilalui maka bertembunglah setelah mereka sama-sama mengambil jalan yang satu itu.
PKR hendak pecah ke hari ini? Apa sudah jadi? — Aspan Alias10 MEI — Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR, nampaknya sudah hilang kesabarannya dan tidak boleh menahan dan membendung apa yang beliau rasakan selama ini khususnya semasa pilihan raya yang baru selesai ini.
Azmin tidak bersetuju Pakatan Rakyat membawa rakyat bersama mereka untuk menutup kelemahan dan kekalahan mereka dalam pilihanraya ke13 lalu.
“Rakyat sudah letih dengan politik” kata beliau.
Azmin menempelakkan Pakatan Rakyat kerana mengheret orang ramai untuk menutup kelemahan dan kekalahan dalam PRU yang lalu.
Apa yang parti-parti dalam Pakatan Rakyat lakukan ialah dengan mengakui kesalahan dan tumpukan kepada rakyat dan jauhi menumpukan masa dan tenaga untuk diri kita sendiri.
Begitulah lebih kurang apa yang di perkatakan oleh Azmin hari ini.
Azmin akan membuat sidang media hari ini untuk membuat “revelation” penting mengenai Pakatan Rakyat dan pilihan raya yang lalu.
Sidang media ini menjadi tumpuan ramai kerana saya yang tidak kena-mengena pun mendapat banyak panggilan telefon bertanyakan apakah yang hendak dibongkar oleh beliau dalam sidang media itu.
Perkembangan terakhir tentang Azmin ini telah mengalih pandangan ramai daripada usaha Pakatan Rakyat dalam tindakan memanggil orang ramai untuk berhimpun memprotes keputusan pilihanraya yang dituduh oleh Pakatan Rakyat berlaku penipuan besar-besaran dalam proses pengundian Ahad lepas.
Kemungkinan PR mengadakan perhimpunan susulan di Pulau Pinang dan Ipoh juga sudah tenggelam kerana perkembangan yang membabitkan Timbalan Presiden PKR ini.
Mahu tidak mahu ramai beranggapan yang keretakan sedang berlaku dalam PKR dan akan menjejaskan kekuatan PR dalam menghadapi cabaran mereka dalam masa singkat ini.
Persoalannya kenapa sidang media khas ini dibuat oleh Azmin?
Tentulah ia membabitkan isu yang besar yang beliau anggap sebagai kelemahan dan penyebab kenapa PR tidak dapat mengambil alih Putrajaya walaupun keadaan dan situasi semasa pilihanraya itu sangat memihak kepada Pakatan Rakyat.
Kita tunggu sahaja apa yang akan dikatakan oleh Azmin Ali pada sidang media beliau hari ini, jam 10 pagi.
Sementara itu elok kita tidak membuat spekulasi liar kerana akhirnya apa yang hendak diperkatakan beliau akan kita dengar hari ini.
Apakah PKR akan berpecah atau bertaut, terpulang kepada apa yang akan diperkatakan oleh Azmin hari ini. — aspanaliasnet.blogspot.com