24 Januari 2012

Ego Pemimpin Pakatan Rakyat Kian Terserlah

Oleh Abdul Rahman Malik -Antarapos.com


KOMENTAR : Memang sukar untuk pihak yang berkuasa membuat permohonan maaf secara terbuka. Selagi kuasa di tangan, soal ego sering membelit seseorang pemimpin daripada mengakui kesalahan apabila ia membuat kesilapan. Apatah lagi, jika pemimpin berkenaan memang yakin ia berada di pihak yang benar.

Bahana kuasa ini bukan sahaja menghantui pemimpin sekular yang sering dirasuk ideologi Machiavelli di mana dalam tindakan atau keputusan mereka sering berpedoman ‘matlamat menghalalkan cara”; penyakit ini juga kerap menindih pemikiran waras pemimpin Islam.

Lazimnya pihak berkuasa akan beralasan setiap tindakannya adalah bersandar pada pertimbangan “kepentingan umum”. Lantas bagi mempamerkan ketegasan kepemimpinannya, pihak ini tidak mahu berganjak daripada keputusannya. Pemimpin begini akan menggunakan setiap peruntukan undang-undang menghalalkan tindakannnya.

“Penyakit” atau mungkin kelemahan ini boleh menghinggapi mana-mana pemimpin walaupun diasuh dengan tarbiyah Islam. Apabila kuasa sudah di tangan, amat payah untuk tidak menggunakan bidang kuasa yang ada untuk menghuraikan pertikaian pendapat dengan khalayak umum, khususnya orang muda.

Dilema ini kini menghantui Pakatan Rakyat. Dalam menuju akhir penggal pemerintahan mereka di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah, makin kerap terdengar pertikaian fahaman mengenai bila dan bagaimana kuasa berkerajaan harus digunakan.

Di Selangor, yang sering ditimbulkan ialah soal prestasi kerajaan negeri umumnya. Terbaharu ialah soal cara kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim mengendalikan isu pungutan buangan sisa pepejal. Kerajaan beliau memutuskan untuk mengganti Syarikat Alam Flora sebagai pengurus perkhidmatan berkenaan.

Bagaimanapun apabila keputusan itu dilaksanakan, mutu perkhidmatan semakin merosot. Khalid mendakwa ada usaha khianat dilakukan oleh musuh politik Pakatan Rakyat.

Walhal yang menjadi isu bagi kontraktor yang baru mengambil alih ialah pihak kerajaan hanya menawarkan kontrak perkhidmatan untuk tempoh dua bulan sahaja. Ini tidak berbaloi dengan nilai pelaburan yang perlu mereka tanam bagi mengendalikan perkhidmatan itu.

Bukan sahaja beliau enggan berganjak dari tawaran 60 hari kepada kontraktor yang mengambil alih perkhidmatan itu malah tidak pula mengambil inisiatif memohon maaf kepada rakyat Selangor kerana kemerosotan perkhidmatan yang banyak meninggalkan kesan kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat. Ini adalah bertentangan dengan janji Negeri Berkebajikan Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak pun begitu. Ketegasan beliau mempertahankan tindakan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terhadap mahasiswa terus mendapat kecaman pelbagai pihak.

Menurut NGO yang dekat dengan Pakatan Rakyat, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), tindakan pemimpin PAS itu seolah-olah menggodam Buku Jingga yang menggariskan komitmen pembangkang memansuhkan akta berkenaan.

"Selaku MB Kedah beliau harus sedar bahawa tindakannya menggunakan AUKU ini telah menyebabkan janji Pakatan untuk menghapuskan AUKU dalam Buku Jingga dianggap retorik di kalangan mahasiswa," kata kenyataan segmen mahasiswa SAMM.

Pergerakan itu menegaskan walaupun menerima kecaman pelbagai pihak termasuk dari pimpinan Pakatan Rakyat dan gerakan mahasiswa, Azizan masih bersikap ofensif menghadapinya.

"Azizan telah menunjukkan sikap bebal dan sombong apabila berhadapan dengan mahasiswa," menurut kenyataan itu lagi.

Mei lalu, lima mahasiswa KUIN digantung pengajian, antaranya kerana dituduh menyertai demonstrasi, memberikan ucapan kepada umum dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.

Bagaimanapun tempoh penggantungan bagi empat daripadanya telah tamat.

“Golongan pelajar terbabit tiada kepentingan politik apabila menyuarakan kebenaran dan kebebasan bersuara…jika Azizan terus bersikap ego dalam menangani isu ini, jangan hairan jika pihak pelajar akan mengerahkan seluruh kudrat mereka untuk menjatuhkan pemimpin ini dalam pilihanraya umum ke-13 nanti,” kata kenyataan kumpulan itu.

Sebelum ini, Pemuda PAS, kumpulan peguam Lawyers for Liberty, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Pro-Mahasiswa Nasional sudahpun menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap langkah tidak popular itu.

Sehubungan itu dalam kenyataannya, Aksi Kami Progresif (AKP) yang menggabungkan tiga kumpulan pelajar termasuk Legasi Mahasiswa Progresif yang dipimpin “wira” gerakan pelajar mutakhir ini, Adam Adli Abdul Halim, juga menegur Azizan kerana “tidak menghormati” hak pelajar.

“Azizan mestilah insaf dan sedar bahawa pelajar-pelajar yang digantung pengajian adalah pihak yang berani menyatakan kebenaran dan bukan golongan pengampu yang sanggup menggadaikan prinsip perjuangan mereka,” katanya.

Pergerakan itu menggesa Menteri Besar berkenaan supaya menarik balik penggantungan pelajar itu dan menghayati janji Pakatan Rakyat untuk mempertahankan hak bersuara pelajar.

Demikian cerita pemimpin Pakatan Rakyat. Belum pun menakluki Putrajaya sudah menunjukkan belangnya. Ada kalanya, kerana ego, segala janji yang ditaburkan pada rakyat, khususnya anak muda, dilanggar begitu sahaja dengan pemikiran bahawa rakyat mudah lupa.

Namun hakikatnya ialah, bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Sebab itu, banyak cerita mengenai kedua-dua menteri besar itu dilayangkan pelbagai memorandum dan desakan dari kalangan pemimpin parti masing-masing supaya mengubah cara pemerintahan mereka atau menghadapi undi tidak percaya parti sendiri.

Pakatan rakyat perlu berlaku jujur dalam menangani ego pemimpin yang ia pilih sendiri. Tindakan menyapu hampas masalah ke bawah permaidani pemerintahan sentiasa dipantau rakyat. Rakyat tahu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...