15 Januari 2015

RAJA KERETA DI MALAYSIA : PERODUA MYVI MODEL TERLARIS DENGAN MODEL TERBARU




Perodua Myvi baharu dilancarkan – Imej lebih memikat, harga RM42k hingga RM59k



Selepas melancarkan Axia pada 15 September 2014, Perodua tidak duduk diam untuk terus mengungguli pasaran kenderaan tempatan. Bagi meneruskan kegemilangannya, Perodua telah memperkenalkan model Myvi terbaharu pada hari ini. Ia adalah bagi menggantikan model Myvi sedia ada, malah turut menampilkan beberapa elemen baharu bagi memberikan kepuasan kepada para pelanggannya.

Dengan penambah baikan daripada segi elemen keselamatan, gaya yang lebih menarik dan harga yang bersesuaian, Myvi baharu ini dilihat mampu memberi kesinambungan pencapaian terbaik yang dicapai oleh Perodua selama ini.

“Myvi mempunyai rekod jualan yang membanggakan dan sehingga kini telah mencatat jualan sebanyak 800,000 unit, menjadikan ia sebagai model Perodua yang paling popular. Kami percaya, model ini masih relevan untuk diterima oleh masyarakat. Kami sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang masih terus memberikan sokongan terhadap jenama ini,”ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.


Myvi baharu yang dilancarkan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin, di Mutiara Damansara sebentar tadi, telah menerima penarafan empat bintang oleh ASEAN NCAP setelah memberi penambahbaikan pada struktur kenderaan mengikut standard antarabangsa.

Penambah baikan yang diberikan pada Myvi baharu ini termasuklah pengesan bahagian hadapan yang boleh diaktifkan oleh pemandu jika diperlukan.

“Elemen ini akan membantu pemandu untuk mengambil sudut yang rumit sewaktu memarkir kenderaan. Sebagai tambahan, elemen ini boleh dinyahaktif semasa memandu atau sewaktu tersekat dalam kesesakan lalu lintas bagi mengelakkan ketidakselesaan terhadap pemanduan,”sambung Aminar lagi.

Selain itu, Myvi baharu ini turut dilengkapi dengan penyangkut anti-ragut pada bahagian sisi tempat duduk pemandu hadapan dan juga pemegang cawan pada bahagian corong penghawa dingin di hadapan tempat duduk pemandu.

Bukan itu sahaja, Perodua turut mengemaskini sistem multimedia untuk memasukkan fungsi kamera undur bagi varian yang terpilih.

“Penambahbaikan ini dibuat selepas melakukan kajian yang lebih meluas bagaimana kami boleh memberikan nilai yang lebih baik buat para pelanggan. Di mana ia hanya melibatkan pertambahan nilai sehingga RM4,500, pada pertambahan elemen terbabit dan penurunan harga,”ujar Aminar lagi.



Perodua juga turut menampilkan dua warna baharu bagi Myvi ini iaitu Electric Blueuntuk varian SE dan Advanced serta Cosmic Gold bagi varian Standard G dan Premium X. Selain itu turut mengekalkan warna sedia ada seperti Ozzy Orange, Mystical Purple, Glittering Silver dan Ivory White (solid).

Perodua Myvi baharu ini ditawarkan dengan dua model iaitu Myvi 1.3L dan Myvi 1.5L, di mana setiap model ini menampilkan dua varian.

Bagi Myvi 1.3L, ia ditawarkan dengan varian Standard G dan Premium X yang kedua-duanya dijanakan oleh enjin K3-VE DOHC, 16V dengan DVVT yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 67 kW pada 6,000 rpm dan tork setinggi 117 Nm pada 4,400 rpm.


Varian Standard G memiliki dua pilihan transmisi iaitu manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Manakala Premium X hanya menawarkan satu transmisi sahaja iaitu automatik empat-kelajuan.

Myvi 1.3L ini juga dipadankan dengan bampar rekabentuk aerodinamik baharu serta rim aloi lapan-jejari bersaiz 14 inci yang dibaluti tayar 175/65R 14. Manakala tempat duduknya hanya standard iaitu balutan fabrik sahaja.

Bagi infotainmen, Standard G hanya dilengkapi dengan radio dan pemain CD sahaja. Tetapi Premium X memiliki elemen tambahan iaitu radio dan pemain CD dengan MP3/MWA dan sambungan USB serta Bluetooth.

Aspek keselamatan pula, Premium X turut dilengkapi dengan ABS dan EBD bersama Bantuan Brek (BA) tetapi ketiga-tiga elemen tersebut tidak diimplementasikan pada Standard G.

Model Myvi 1.5L pula dijanakan oleh enjin 3SZ-VE DOHC, 16V dengan DVVT. Ia boleh memberikan kuasa sehingga 76kW pada 6,000 rpm dan tork setinggi 136Nm pada 4,400rpm.

Ia menampilkan dua transmisi iaitu manual dan automatik. Bagi Myvi Advance pula hanya transmisi automatik sahaja.
Antara elemen menarik yang ditampilkan pada model ini ialah bampar baharu yang lebih sporty dan juga rim aloi rekaan berpusar yang dibaluti tayar 175/65R 14.

Manakala antara elemen bagi bahagian kabinnya ialah tempat duduk separa-lekuk fabrik bagi SE dan dibaluti kulit untuk Advance.

Jika varian SE dilengkapi dengan radio dan pemain CD dengan MP3/MWA dan sambungan USB serta Bluetooth, pastinya Advance tampil lebih menarik dengan kehadiran elemen tambahan termasuklah sistem multimedia bersama fungsi navigasi dan kamera undur.


Kedua-dua varian berkenaan juga turut dilengkapi dengan ABS dan EBD bersama Bantuan Brek (BA) bagi aspek keselamatan standard.

Perodua turut mensasarkan jualan sebanyak 6,000 unit sebulan untuk Myvi baharu ini. Pembelian Myvi baharu ini turut disertakan dengan waranti selama lima tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Harga atas jalan (berserta insurans) Myvi baharu adalah seperti berikut :

Perodua Myvi 1.3 Standard G

1.3 Standard G MT – RM41,500 (solid)
1.3 Standard G MT – RM41,900 (metalik)
1.3 Standard G AT – RM44,500 (solid)
1.3 Standard G AT – RM44,900 (metalik)

Perodua Myvi 1.3 Premium X

1.3 Premium X AT – RM47,500 (solid)
1.3 Premium X AT – RM47,900 (metalik)

Perodua Myvi 1.5 SE

1.5 SE MT – RM50,500 (solid)
1.5 SE MT – RM50,900 (metalik)
1.5 SE AT – RM53,500 (solid)
1.5 SE AT – RM53,900 (metalik)
Perodua Myvi 1.5 Advance
1.5 Advance AT – RM58,500 (solid)
1.5 Advance AT – RM58,900 (metalik)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...