JAKARTA — Tidak seperti Malaysia, apabila penurunan harga minyak beberapa kali sejak Disember tahun lalu masih gagal disusuli dengan pengurangan harga tambang pengangkutan awam, lain pula hal berlaku di ibu kota Indonesia.
Langkah pemerintah pada Jumaat mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel berkuat kuasa Isnin ini bakal diikuti dengan pengurangan harga tambang semua jenis bas awam dan teksi bagi diselaraskan dengan kadar baharu bahan bakar.
Menurut jurucakap Jabatan Perhubungan Awam Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta, operator bas terkenal, Metro Mini dan Kopaja Kompak selain teksi bermeter pada Sabtu bersetuju untuk mengurangkan tambang terhadap penumpang mereka.
Jabatan itu juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan dua persatuan pengusaha pengangkutan awam iaitu Organisasi Angkutan Darat (Organda) dan Dewan Transportasi Kota Jakarta bagi menurunkan tarif tambang perjalanan.
“Saya kira akan ada penyesuaian kadar dan penurunkan kos pasti berlaku kerana kejatuhan harga minyak kali ini agak signifikan namun kita belum tahu bila tetapi berharap dapat dibuat dalam masa terdekat,” kata jurucakap jabatan di Balai Kota DKI Jakarta.
Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 16 Januari mengumumkan harga minyak petrol daripada 7,600 rupiah (RM2.15) kepada 6,600 rupiah (RM1.87) manakala diesel diturunkan daripada 7,250 rupiah (RM2.05) kepada 6,400 rupiah (RM1.81).
Ini merupakan pengumuman penurunan harga jualan runcit bahan bakar buat kali kedua selepas 1 Januari lalu berdasarkan kepada kadar premium perhitungan harga tong terbaharu yang ditetapkan pasaran Mean of Plats Singapore akhir tahun 2014.
Pada masa ini, tambang bas awam jenis ekonomi regular ialah 4,000 rupiah (RM1.13) yang naik ekoran pengumuman Presiden Jokowi akhir November 2014 meningkatkan harga petrol dan diesel sebanyak 30 peratus, rekod tertinggi dalam sejarah Indonesia.
Pemimpin republik tersebut terpaksa bertindak mengurangkan subsidi sekali gus mengakibatkan harga runcit petrol pada waktu itu juga naik menjadi 8,500 rupiah (RM2.40) manakala diesel pula mencecah 7,500 rupiah (RM2.12). – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan