04 November 2014

RUMAH MAMPU MILIK (PR1MA) - PUSAT DIGESA HENTI DOLAK DALIH



Pusat digesa henti dolak dalih, jelaskan pembinaan rumah PR1MA di Pulau Pinang



 Pulau Pinang hari ini menuntut kerajaan BN berterus terang dan tidak berdolak dalik berhubung pembinaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di negeri itu.

Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Jagdeep Singh Deo berkata, penjelasan wajib diberikan berikutan Kerajaan Persekutuan sendiri telah berjanji untuk membinanya di dua kawasan di negeri ini pada 26 Oktober lalu.

Menurut Jagdeep, kerajaan mengumumkan pembinaan rumah PR1MA di Bukit Gelugor (2,100 unit) dan Balik Pulau (9,564 unit) di Pulau Pinang.

“Kami ingin tahu apakah kerajaan benar-benar akan meneruskan perumahan mampu milik PR1MA, kerana segala janji-janji yang dibuat kepada rakyat harus dihormati.

“Kami juga menggesa kerajaan agar memberi maklum balas secara rasmi, supaya projek tersebut dapat dikemukakan dan diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan bercanggah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Rahman Dahlan berbanding keputusan sebelumnya dibuat pihak kerajaan termasuk pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rahman pada 2 September lalu dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri akan membantu mengenal pasti tanah untuk projek perumahan mampu milik terbabit.

Sebelum tu, pada Januari 2014, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman menyatakan lokasi PR1MA telah dikenal pasti, tetapi beberapa isu perlu ditangani sebelum kelulusan diperoleh pihak berkuasa negeri.


Manakala pada Disember 2012, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Mutalib Alias memaklumkan bahawa kerajaan akan membina PR1MA dan beberapa bidang tanah, di Bukit Gelugor telah dikenal pasti untuk tujuan itu termasuk tujuh lagi lokasi lain..

Pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Najib Razak sendiri menyatakan bahawa 20,519 unit rumah PR1MA akan dibina di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Adalah jelas semua kenyataan-kenyataan itu mencerminkan bahawa kerajaan sedang dalam proses mengenal pasti tanah disini.

“Dalam pembentangan Belanjawan 2015 baru-baru ini, Najib turut menyatakan RM1.3 bilion telah diperuntukkan untuk membina 80,000 unit rumah PR1MA.

“Tetapi dia tidak menyebut langsung tentang bagaimana unit-unit terbabit akan dibina di Pulau Pinang?

“Saya berulang kali mengutarakan perkara ini. Apakah projek perumahan PR1MA di Pulau Pinang akan dibina?,” soalnya.


BERITA LAIN YANG BERKAITAN:

Zainal sedia jumpa exco perumahan PP

Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang bersama-sama Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn Bhd, sedia bertemu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo bagi membincangkan isu perumahan di negeri ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman juga mengalu-alukan kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk meluluskan Pelan Kebenaran Merancang oleh Perda dan JKP Sdn Bhd yang tidak melibatkan isu penempatan semula setinggan dan harga siling.

Beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi kelulusan segera bagi membolehkan agensi-agensi persekutuan memulakan projek pembinaan unit perumahan yang sudah lama tertangguh mengakibatkan kerugian disebabkan peningkatan kos.

"Diharapkan ketua menteri berniat baik dan ikhlas apabila menyatakan kerajaan negeri sedia meluluskan permohonan Perda dan JKP Sdn Bhd membina rumah kos rendah dan kos sederhana rendah berjumlah 2,447 unit," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zainal Abidin yakin kemelut yang berlaku dapat diselesaikan jika kerajaan negeri telus, ikhlas dan sedia memberi kerjasama dan sokongan kepada agensi persekutuan menyediakan rumah kepada rakyat yang memerlukan.

"Saya juga berharap ketua menteri akan memegang kata-kata beliau untuk berjumpa saya sekiranya kemelut ini tidak dapat diselesaikan melalui perjumpaan dengan Exco Perumahan," kata Zainal Abidin.

Dalam sidang media pada 31 Oktober lepas, Lim meminta Zainal Abidin berjumpa dengan Jagdeep untuk menyelesaikan isu permohonan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

Lim juga meminta Zainal Abidin menjelaskan istilah rumah mampu milik kerana didakwa ada rumah yang dijual pada harga RM1.85 juta dan menegaskan bahawa segala masalah berkaitan perumahan dapat diuruskan setelah bertemu Jagdeep.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...