06 November 2014

KAWALAN DAN MAINAN POLITIK TERHADAP KUIN!!!


CERITA TERKINI DARI KUIN

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Ada berita mengejutkan dari Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di bawah kerajaan BN. Kemasukan pelajar untuk tahun 2014 hanya 700 orang setelah Pakatan Rakyat meninggalkan untuk BN sebuah kampus tetap yang begitu besar, lengkap dengan segala kemudahan.

Untuk rekod, sewaktu Pakatan mengambil alih Kedah dari BN, kemasukan pelajar ke KUIN pada tahun 2008 hanya 500 orang. Hanya setahun selepas pemerkasaan terhadap KUIN dilakukan, kemasukan pelajar berlaku dengan mendadak pada 2009 iaitu seramai 2500 orang. Sewaktu BN menggunakan semua media talibarut mereka untuk memburukkan KUIN pada penghujung penggal pentadbiran Pakatan, kemasukan pelajar pada tahun 2013 masih menggalakkan iaitu seramai 1500 orang.

Pentadbiran KUIN di bawah Pakatan telah menambah jumlah program dari enam di zaman BN sehingga lebih 40 program. Malangnya terkini, program kejuruteraan terpaksa dihentikan akibat hanya empat orang yang mendaftar masuk. Program Usuluddin dan Syariah yang menjadi program teras sewaktu kewujudan Institut Agama Islam Negeri Kedah (Insaniah) dahulu kini jumlahnya menjadi hanya separuh dari sewaktu kemuncaknya. Akibat perkembangan yang berlaku, lima orang pensyarah dilaporkan terpaksa ditamatkan kontrak.

Mengapa KUIN mengalami kemerosotan yang begitu teruk? Jawapan awalnya sangat mudah. Ia adalah akibat kempen buruk yang dijalankan oleh BN secara agresif sewaktu KUIN di bawah Pakatan dahulu. Maka sekarang KUIN sedang terima akibat dari perbuatan tidak bertanggungjawab mereka itu. Demonstrasi demi demonstrasi, sidang media demi sidang media diadakan untuk memburukkan kerajaan negeri berhubung isu KUIN. Antara peserta demonstrasi KUIN adalah Menteri Besar Kedah sekarang dan sebahagian Exconya. Sekarang mereka peroleh apa yang diinginkan iaitu kuasa dan jawatan tetapi harga yang perlu dibayar ialah kehancuran imej KUIN.

Sekarang pun masalah KUIN tetap berlarutan di bawah ‘kehebatan’ kerajaan pimpinan Mukhriz dan di tengah-tengah limpahan kewangan Kerajaan BN Pusat yang kononnya kaya raya itu. Bezanya pembangkang di Kedah kini lebih bijak; tidak mempergunakan institusi pendidikan sebagai alat meraih untung politik yang singkat sedangkan buruknya berlangsung untuk jangkamasa panjang yang merugikan bidang pendidikan itu sendiri.

Semua tahu bahawa hasrat Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan terhadap KUIN sangatlah besar iaitu mahu menjadikan IPT tersebut dinaiktaraf menjadi sebuah universiti penuh. Sasarannya pada tahun 2014. Untuk mendapat pengiktirafan sebagai sebuah universiti penuh bukannya kerja mudah. Antaranya ia mesti mempunyai jumlah pensyarah yang memiliki ijazah kedoktoran dan bilangan professor yang mencukupi. Begitu juga dengan bidang penyelidikan, penerbitan bahan ilmiah dan seminar akademik mestilah giat dijalankan sehingga melepasi syarat yang diperlukan.
Semasa Ustaz Azizan, sebahagian besar pra syarat untuk menjadikan KUIN sebuah universiti penuh berjaya dipenuhi termasuk pembinaan kampus induk tetap yang dibina di Kuala Ketil. Malangnya di zaman Mukhriz segalanya berundur ke belakang. Banyak kriteria yang dahulunya sudahpun dipenuhi kini kembali asal, tidak menepati syarat.

Perkara yang sangat dirasai oleh kalangan pentadbir KUIN ialah tiadanya sentuhan langsung dari seorang Menteri Besar seperti yang berlaku di zaman Ustaz Azizan. Dahulu Ustaz Azizan adalah ‘rektor pertama’ selain rektor sedia ada. Beliau menatang KUIN dengan penuh penghayatan dan kesungguhan. Sekarang, Mukhriz hampir tidak ambil peduli tentang KUIN. Semuanya diserahkan kepada Datuk Tajul Urus, Exco yang menjaga pendidikan.

Hubungan menteri besar dan rektor jauh berbeza dengan keadaan Ustaz Azizan dengan Professor Dr. Jamil Osman dahulu.
KUIN sehingga kini menjadi IPT ulung dalam bidang perbankan Islam, sehingga menjadi penasihat utama bidang tersebut kepada negara jiran Thailand. Ia disokong oleh banyak bank-bank yang cuba melaksanakan sistem perbankan Islam dalam negara.

Satu program besar The Dialog berhubung perbankan Islam telah dijadadualkan diadakan di TH Hotel, mengundang menteri besar untuk merasmikannya. Banyak bank yang menjadi penaja program dan menghantar CEO atau orang-orang penting mereka. Bank Negara memberikan sokongan padu terhadap program dan menghantar wakil. Malangnya Mukhriz membatalkan kehadirannya di saat akhir. Sebahagian besar Exco menghadiri program di Langkawi, sehingga tiada seorang pun yang sudi hadir menggantikan Mukhriz untuk merasmikan program yang begitu besar. Begitulah gambaran sikap kepimpinan kerajaan negeri Kedah terhadap sebuah institusi pendidikan terulung milik kerajaan negeri bernama KUIN!

Mukhriz juga tidak hadir dalam pertemuan dengan pelajar dan waris di hari pendaftaran, sedangkan semasa Pakatan tiada sekalipun Ustaz Azizan tidak hadir dalam program tersebut.

Lagi masalah yang melanda KUIN adalah akibat meletakkan KCS di beberapa jawatan penting. Mungkin satu tindakan pengawalan oleh kerajaan negeri terhadap KUIN yang dimulakan apabila Datuk Che Barni dilantik sebagai pemangku Rektor dahulu. Kini Timbalan Rektor, Pendaftar dan Bendahari adalah dari KCS. Masalah utama KCS ialah mereka terikat dengan pergerakan jawatan setiap kali berlaku rombakan jawatan di peringkat atas. Pertukaran bagi KCS adalah perkara biasa. Ia mungkin tiada masalah bagi jabatan-jabatan dalam pentadbiran negeri tetapi bermasalah dalam pentadbiran IPT kerana pentadbir IPT seharusnya berada dalam tempoh yang agak lama untuk merancang dan mengurus dengan lebih efisien. Bayangkan sepanjang tempoh 2013, KUIN memiliki tiga pendaftar yang berbeza.

Kini berbekalkan sisa semangat yang masih berbaki, para pentadbir KUIN masih bertungkuslumus berusaha mengangkat status KUIN menjadi sebuah universiti penuh bagi merealisasikan hasrat murni Almarhum Ustaz Azizan. Alangkah baiknya jika suatu masa nanti KUIN berada di bawah kerajaan PAS/Pakatan Rakyat yang tahu memberi nilai kepada benda yang baik.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...