TERKINI.....Keadaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lembah Valley pagi ini yang dinaiki air selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam.
Cameron Highlands: Dua maut dalam kejadian banjir lumpur yang dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai Ringlet, di sini, malam tadi.
Selain itu, seorang buruh kebun sayur parah manakala tiga lagi dikatakan cedera akibat tersepit dalam bengkel kereta berikutan tanah runtuh di pekan Ringlet.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Morni Mamat berkata, pekerja kebun sayur yang maut itu adalah warganegara Nepal dikenali sebagai Yusof, 30-an.
"Pekerja itu mati tertimbus manakala remaja itu pula dipercayai lemas di Kuala Terla. Buruh yang parah itu pula dipercayai warga Indonesia.
"Kedua-dua jasad sudah dikeluarkan oleh pasukan keselamatan dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, keadaan itu berlaku berikutan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di daerah itu.
Katanya, jika keadaan hujan lebat berterusan pintu empangan Sultan Abu Bakar harus dibuka untuk melepaskan air.
Menurutnya, keadaan itu mungkin besar bakal menyebabkan berlakunya banjir lumpur di kawasan Bertam.
"Pengosongan di kawasan terbabit sudah dijalankan dan pusat pemindahan sudah dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat kejadian itu.
"Enam kereta dilaporkan hanyut dalam kejadian itu dan angka sebenar masih belum diperoleh," katanya.
Katanya, 150 orang daripada 37 keluarga dari Kampung Baru Ringlet yang terjejas akibat limpahan Sungai Ringlet kini ditempatkan di Dewan Serbaguna Ringlet, Cameron Highlands.
Sementara itu, penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lesley, berkata, air lumpur hingga paras lutut bersama sampah sarap menghentam kawasan terjejas.
"Seorang rakan saya cedera dan terpaksa dibawa ambulans ke hospital bagi mendapatkan rawatan akibat kejadian itu.
"Selain itu beberapa kenderaan turut kelihatan terjejas akibat hentaman banjir berkenaan," katanya ketika dihubungi.
Katanya, hujan masih lebat di kawasan berkenaan sehingga 9.30 malam dan bimbang keadaan menjadi lebih buruk.
Sementara itu, Ketua Kampung Ringlet Looi Chin Chin berkata, lebih 20 rumah terjejas berikutan kejadian itu.
Difahamkan kejadian berkenaan berlaku kira-kira empat kilometer dari kawasan tragedi Lembah Bertam yang mengorbankan empat nyawa pada 23 Oktober tahun lalu.~HM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan