14 Mei 2014

PEMILIHAN PKR: ‘JPP lambat ambil tindakan, perlu dibersihkan’

Dakwaan terdapat cubaan menjatuhkan kem Azmin Ali dalam pemilihan kali ini disifatkan sebagai mitos oleh CheguBard.



PETALING JAYA: Aktivis PKR Badrul Hisham Shaharin berkata Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Johari lambat dalam mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima sepanjang perjalanan pemilihan parti kali ini.

Dalam satu temubual ekslusif bersama FMT hari ini, Badrul yang lebih dikenali sebagai CheguBard turut mendakwa pengawas pemilihan yang terlibat dalam skandal manipulasi undi di cabang Batang Sadong, Sarawak terlibat dalam proses pengundian di Selangor.

“Ada keberkesanan (tindakan JPP itu) tapi sangat perlahan malah kita ada bukti bergambar di mana pengawas pemilihan cabang Batang Sadong, Sarawak yang telah digantung (kerana didakwa memanipulasi pengundian) terlibat dalam sesi pengundian di Selangor semalam dengan menggunakan ‘tag’ JPP sendiri,” katanya.

Dalam masa yang sama, Badrul turut menegaskan keperluan untuk menetapkan satu keputusan yang sama kepada semua cabang yang berlaku masalah dalam proses pengundian.

“Contohnya di pengundian cabang Sungai Besar yang digantung apabila ada calon yang membuat gangguan dan menanda kertas undi pengundi lain, maknanya di Gombak juga perlu digantung.

“Di tempat lain, ada kertas undi berlebihan digantung tetapi di cabang Teluk Kemang tak digantung. Kalau satu kena gantung, semua kena gantung,” tegasnya sambil menambah terdapat gambar diterbitkan media arus perdana hari ini yang menunjukkan calon yang bertanding di cabang Gombak menandakan kertas undi pengundi lain.

Beliau sekali lagi mengulangi pendiriannya supaya pemilihan parti tersebut ditangguhkan sehingga JPP dibersihkan.

“Saya akui Datuk Johari Abdul dan Datin Padukan Tan Yee Kew (timbalan pengerusi JPP) cuba bersikap adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak tetapi anggota JPP di bawah mereka masih anggota yang sama sejak 2010 yang mereka terlambat sedar dan baru membuang seorang,” katanya tanpa menamakan sesiapa.

Badrul, yang merupakan bekas ketua cabang PKR Rembau turut membidas kem Keadilan Raya yang diketuai oleh penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali kerana menggesa supaya Johari dan Tan meletakkan jawatan.

“Bila saya kata tangguhkan pemilihan ramai tak nak tangguh termasuk pennyokong Azmin sendiri tapi hari ini ada desakan dari mereka untuk pengerusi JPP dan timbalannya letak jawatan.

“Adakah mereka nak cakap minggu pertama dan kedua JPP cekap sebab Azmin mendahului pesaingnya tapi masuk minggu ketiga tak cekap pula sebab lawan Azmin menghampiri Azmin ataupun sudah mendahuluinya,” soal Badrul.

Badrul menyifatkan dakwaan bahawa terdapat cubaan menjatuhkan Azmin sebagai satu mitos, sebaliknya merupakan alasan yang digunakan kerana bimbang tumpas dalam pemilihan kali ini.

“Di Hulu Selangor sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sangat kuat dan memang jelas kelihatan penyokong lebih ramai berpihak kepada Khalid dan kita yakin Hulu Selangor akan berpihak kepada Khalid. Tapi malangnya Hulu Selangor pun dibatalkan dan kita terima keputusan tersebut.

“Di Sepang juga sama, kekecohan semalam yang menyaksikan pengoyakan kertas undi kita dapat maklumat dan kita yakin maklumat ini betul dimulakan oleh orang yang nak kalah iaitu kumpulan pro-Azmin,” dakwanya.

Badrul, tanpa berselindung mengatakan jelas kelihatan kewujudan manipulasi dan penipuan yang melibatkan manipulasi undi untuk memenangkan kem Azmin, namun, menurut Badrul, perkara ini sukar dibuktikan.

Badrul hari ini menyerahkan 12 lagi aduan kepada JPP berkaitan penyelewengan yang berlaku dalam pengundian di beberapa cabang, termasuk dari cabang Permatang Pauh.

Pemilihan PKR yang bermula 25 April lalu sepatutnya berakhir semalam ini dengan pengundian di Selangor namun pengundian di 27 dari keseluruhan 198 cabang seluruh negara telah diabatalkan. Pengundian semula akan diadakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Seramai 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli parti layak mengundi dalam pemilihan kali ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...