19 Jun 2013

Pakatan: Himpunan Black 505 tetap di Padang Merbok


Tempat-tempat itu:

Brickfields - dipimpin oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan pemimpin BERSIH Maria Chin Abdullah

Masjid Negara - dipimpin oleh anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali

Jalan Pudu - dipimpin oleh Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai, setiausaha organisasi parti Anthony Loke, pemimpin kumpulan anti-Lynas Wong Tack dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Jalan Raja Laut (pejabat PAS) - dipimpin oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Mohamad Sabu

Jalan Raja Laut (Sogo) - dipimpin oleh Naib Presiden PKR Tian Chua dan NGO bekas-bekas pesara tentera

Universiti Malaya - dipimpin oleh aktivis mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan

Pekeliling - dipimpin oleh Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub dan NGO ANAK


KUALA LUMPUR 19 JUN: Tinggal tiga hari sebelum kemuncak Himpunan Black 505 namun masih tiada tanda-tanda pihak polis serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berlembut untuk membenarkan Padang Merbok berhampiran bangunan Bank Negara Malaysia dijadikan sebagai lokasi utama.

Bagaimanapun, Ketua Sekretariat Black 505, Datuk Johari Abdul bertegas himpunan akan diteruskan di padang tersebut sebagaimana dirancang sebelum ini.

“Pihak kita telah bertemu dengan DBKL dan polis. Mereka minta ditukar ke Stadium Merdeka tetapi Padang Merbok telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat dan kita tiada mandat untuk mengubahnya ke tempat lain.

“Setelah saya tinjau Padang Merbok, tidak ada sebarang kerja-kerja lapangan (naik taraf) seperti kata DBKL sebelum ini. Jadi tidak ada alasan kukuh mengapa rakyat tidak boleh menggunakannya,” kata Johari kepadaKeadilan Daily.

Katanya lagi, perserta himpunan tersebut perlu mencecah angka lebih 250,000 untuk menunjukkan rakyat benar-benar serius menuntut satu proses pembaharuan pilihan raya. Jumlah yang besar juga, katanya, akan memberi kesan ke atas tiga tuntutan utama Black 505 sejak 8 Mei lalu.

“Tuntutan kita tiga perkara. Pengerusi, Timbalan dan lima ahli Suruhanjaya Pilihan Raya mesti meletak jawatan; pilihan raya semula diadakan di kawasan-kawasan yang dipertikaian dan usaha persempadanan semula hendaklah dihentikan sehingga SPR benar-benar menjadi badan bebas,” katanya.

Johari mengesahkan himpunan tersebut mengikut format sebelumnya iaitu, pesta rakyat menuntut pembaharuan pilihan raya dan bermula pada pukul 2 hingga 6 petang, Sabtu, 22 Jun.

Namun begitu, Johari tidak menolak polis enggan memberi kerjasama dan himpunan akan menjadi lebih sukar sebagaimana yang dialami penyokong Pakatan dalam Bersih 2.0 atau Bersih 3.0.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...