20 Jun 2013

Hot ! 5 Senator Jadi Menteri Tidak Sah?



MP mohon mahkamah batal lantikan 5 senator

Anggota Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran mengemukakan permohonan semakan semula kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perintah pembatalan pelantikan lima senator yang didakwanya bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kula menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low Seng Kuan sebagai dua responden pertama, manakala timbalan menteri P Waythamoorthy, Dr Loga Balan Mohan dan Ahmad Bashah Hanipah sebagai tiga responden lain.

Selain memohon perisytiharan bahawa pelantikan mereka pada 15 Mei adalah tidak sah dan terbatal, beliau juga memohon agar semua emolumen, keistimewaan dan manfaat kewangan lain yang diperoleh responden, dikembalikan dalam masa tujuh hari mulai tarikh mahkamah mengeluarkan perintahnya.

Kula juga memohon mendapatkan relief bahawa semua tindakan yang dilakukan atau atas perintah atau melalui kuasa setiap responden, diisytihar sebagai tidak sah dan terbatal.

Kula, yang juga naib presiden DAP, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi melalui firma guaman Tetuan Messrs A Sivanesan & Co.

Bagi menyokong afidavitnya, Kula menyatakan bahawa mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, seseorang menteri mesti dilantik daripada kalangan anggota Dewan Negara atau Dewan Rakyat dan perkara sama terpakai bagi timbalan menteri mengikut Perkara 43A(1).

Sebaliknya, kata beliau, semua responden dilantik tanpa terlebih dahulu mengangkat sumpah sebagai mana-mana anggota dewan itu pada 15 Mei.

"Walaupun responden mengangkat sumpah sebagai menteri dan timbalan menteri, mereka bukan anggota Dewan Negara ketika mereka menerima pelantikan pada 15 Mei kerana mereka belum mengangkat sumpah sebagai senator sebelum pelantikan masing-masing," katanya.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...