02 Ogos 2012

" Simpanan Tetap " Umno/BN telah Pecah!!!!

Perubahan politik di Johor, Sabah



2 OGOS — Tidak terdengar lagi rhetoric megah Umno/BN bahawa Johor dan Sabah adalah “simpanan tetap” atau kubu pertahanan terkuat Umno sejak zaman berzaman.

Dengan perkembangan terbaru politik di Sabah pula, negeri itu akan juga mengakhiri zamannya sebagai kubu kuat Umno/BN. Demikianlah putaran roda politik dan setiap pelaku di pentas politik sewajarnya menyedari hakikat ini.

Perkembangan baru di Sabah, menunjukkan Pakatan Rakyat dijangka akan mendapat sekurang-kurangnya 14 kerusi di Sabah ekoran tindakan dua anggota Parlimen BN menyokongnya baru-baru ini. Ini jangkaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam tulisannya dalam Harakahdaily kelmarin di mana beliau menyimpulkan bahawa simpanan tetap BN di Sabah dan Sarawak sudah tamat.

Beliau berkata, 55 kerusi parlimen dari 57 dari Sabah-Sarawak (Borneo) telah dibolosi dan sudah tidak ada lagi jaminan BN mendapat sokongan dari kedua-dua negeri ini.

“Hari ini diramalkan ialah 14 kerusi dari Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Pensiangan akan mudah tumbang kepada Pakatan Pembangkang,” kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu yang mengulas tindakan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing yang meninggalkan BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

Penganalisis politik di Sabah meramalkan akan ramai lagi ADUN dan Ahli Parlimen Sabah dari BN akan meninggalkan komponen parti itu dan akan menyertai Pakatan Rakyat.

Gelombang ini dikatakan sukar ditahan disebabkan beberapa isu, antaranya, isu kemiskinan terutama di kawasan pedalaman yang tidak ada perubahan sejak zaman berzaman, isu pendatang luar yang melimpahm hampir-hampir tidak terkawal, isu tanah dan pelbagai lagi.

Bagaimana pula di Johor — sebuah negeri yang sentiasa dimegahkan oleh Umno sebagai kubu kuatnya. Perkembangan menunjukkan bahawa oleh kerana banyaknya kerusi campuran baik di peringkat Parlimen mahupun DUN di negeri itu menyebabkan ketirisan mendadak sokongan pengundi terutama di kalangan pengundi Cina.

Kini tidak lagi terdengar suara angakuh pemimpin Umno Johor yang selama ini bermegah bahawa Johor adalah kubu terkuat Umno. Kalau tidak masakan Muhyiddin Yassin menyeru Umno/BN supaya mempertahankan kawasan parlimen Gelang Patah dari jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang. Nusa Jaya yang terletak di Gelang Patah adalah pusat pentadbiran kerajaan Johor yang baru.

Saya berkunjung ke Gelang Patah beberapa bulan lalu dan mendengar sendiri ulasan dari beberapa penduduk di situ, khususnya kalangan masyarakat Cina, bahawa mereka sangat tertekan dengan harga barang naik, peluang pekerjaan yang sangat terbatas dan lain-lain.

Seeorang petani Melayu di situ, Solihin Markom, memberitahu bahawa orang kampung di sini hanya memerhatikan perubahan dari kampung menjadi bandar sedangkan “kedudukan kami macam dulu juga.”

Yang heboh di sini, katanya, ialah kesibukan orang kampung menjual tanah kerana harga mahal. Tetapi, katanya, adakah mereka berfikir selepas menjual tanah mereka, akhirnya mereka hendak ke mana kerana harga rumah semakin mahal di mana-mana.

“Adakah pemimpin politik yang ada di Johor memikirkan hal ini,” tanyanya.

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad pernah mendedahkan secara terperinci mengenai isu penjualan saham KFCH dan QSR kepada CVC serta isu salah urus tadbir tanah oleh kerajaan Johor melalui KPRJ dan isu-isu lain.

Sudah sampai masanya, katanya, PAS/Pakatan Rakyat Johor menggandakan usaha dalam mendapatkan mandat dari rakyat untuk menerajui kerajaan dalam usaha mengembalikan hak rakyat yang telah diabaikan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Tan Ah Eng (BN) mengekalkan kerusi parlimennya P162 Gelang Patah. Peratusan kaum ialah Melayu 33.54 peratus, Cina 54.06 peratus, India 12.22 peratus.

Tan (33,630) menewaskan Dr Zaleha Mustafa (PKR) (24,779) dengan majoriti 8,851 undi. Jumlah pengundi undi waktu itu 60,653.

Menurut penganalisis politik di Johor, dalam pilihan raya umum 2008, pengundi Cina belum memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon dari Pakatan Rakyat. Namun, dengan perkembangan terkini, peratus sokongan pengundi Cina jauh lebih meningkat, bahkan hampir-hampir lapan puluh lima peratus dikatakan menyokong Pakatan.

Ini yang membimbangkan Muhyiddin menyebabkan beliau menggesa Umno/BN mempertahankan Gelang Patah. Jika terjadi kejatuhan Gelang Patah, menimbulkan kesan paling buruk kepada Umno/BN.

PAS Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang disifatkan “tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini”.

Pada PRU yang lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala PKR dan DAP masing-masing 9 dan 12 kerusi.

Dari jumlah ditandingi itu itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di DUN Maharani dan Sungai Abong.

Ini adalah keputusan 2008 yang lalu, di mana kini PAS/Pakatan menaruh harapan akan meraih kemenangan lebih banyak lagi bukan saja di Muar, tetapi juga kawasan Parlimen dan DUN di Batu Pahat, Pontian, Tanjung Piai, Kulai Jaya, Kluang bahkan Johor Baru sendiri.

Kawasan Parlimen Tanjong Piai (P165) kini diwakili oleh Wee Jeck Seng dari MCA. Pihak Umno di kawasan ini dikatakan sangat bimbang dengan kedudukan kawasan ini memandangkan Pakatan Rakyat sedang berusaha bersungguh-sunggu untuk menawan kawasan tersebut yang merupakan kawasan kerusi campuran antara Melayu dan Cina.

Kebanyakan kerusi campuran ialah antara 50:50 iaitu antara bilangan pengundi Cina dan Melayu. Hanya beberapa kawasan Parlimen di Johor yang dikatakan mempunyai jumlah pengundi Melayu yang agak ramai. Antaranya, Mersing, Kota Tinggi dan Pontian. Ini yang menyebabkan pemimpin Umno sangat bimbang, memandangkan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat semakin bertambah.

Penganalisis berpendapat, pada PRU akan datang, dijangkakan antara 80 hingga 90 peratus pengundi Cina akan mengundi DAP, sementara antara 70 hingga 80 peratus akan mengundi PAS/PKR.

Inilah gelombang perubahan yang akan melanda Johor dan Sabah, walaupun pemimpin BN cuba menafikannya, tetapi pada hakikatnya begitulah. Tunggulah PRU akan datang ini. — harakahdaily.net

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...