Kemarahan menyebabkan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang ditangguhkan selepas PRU, kata sumber
KUALA LUMPUR, 31 Julai — Reaksi buruk terhadap langkah Putrajaya untuk menjual Pelabuhan Pulau Pinang kepada jutawan logistik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah menyebabkan penangguhan penswastaan pelabuhan itu selepas pilihan raya umum (PRU) yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan 2013, kata sumber.
The Malaysian Insider difahamkan, selepas pilihan raya yang dijangka akan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), kerajaan akan menyerahkan pelabuhan tersebut kepada Seaport Terminal Sdn Bhd yang dimiliki oleh Syed Mokhtar dengan sedikit perubahan dalam terma konsesi. Tawaran yang dicadangkan oleh Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) dan sekutu tidak dijangka akan menukar keputusan Putrajaya, kata sumber itu lagi.
“Kerajaan sedang dihalang oleh pembangkang untuk meneruskan perjanjian, menyebabkan perjanjian tersebut hanya akan dijalankan selepas PRU,” sumber memberitahu The Malaysian Insider.
“Walaubagaimanapun, perjanjian itu akan diubah, untuk mengambil kira beberapa kerisauan tentang penswastaan,” katanya, tanpa mengulas lanjut.
Seaport Terminal, yang memenangi tawaran untuk projek penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang, telah menangkis dakwaan bahawa ia merancang untuk menenggelamkan peranan hab kargo itu. Pengambilalihan telah mencetuskan kebimbangan bahawa hab perkapalan utara akan itu akan dikurangkan peranannya kepada oleh kerana tumpuan lebih kepada pelabuhan syarikat tersebut di selatan iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan pelabuhan Pasir Gudang.
Sumber lain mengesahkan bahawa kerajaan melambatkan penyerahan pelabuhan itu sehingga selepas PRU, yang dispekulasikan akan diadakan pada tahun ini.
The Malaysian Insider melaporkan semalam, Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan akan menangguhkan PRU yang sepatutnya diadakan September ini kepada akhir tahun selepas dua Ahli Parlimen BN dari Sabah meletakkan jawatan dan berikrar akan bersama Pakatan Rakyat (PR), yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pelabuhan akan dijual selepas pilihan raya supaya ia tidak menjadi satu isu besar di Pulau Pinang yang mana BN berharap untuk menangi semula,” kata sumber itu. BN hilang Pulau Pinang dan tiga negeri lain dalam PRU 2008.
PCCC menegaskan, penyerahan Pelabuhan Pulau Pinang oleh Putrajaya kepada Seaport Terminal adalah bertentangan dengan Akta Pertandingan 2010 dan berpotensi melanggar perjanjian.
Presiden PCCC, Tan Sri Tan Kok Ping, berkata persatuan itu merancang untuk memimpin sebuah konsortium yang termasuk dewan perniagaan orang Melayu dan India serta Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), dalam percubaan untuk mengambil alih Pelabuhan Pulau Pinang. FMM telah menafikan perancangan untuk menyertai konsortium itu.
Tapi Seaport Terminal berkata ia adalah antara syarikat pelabuhan tempatan dan antarabangsa yang dipelawa membida untuk penswastaan pelabuhan pada tahun 2011. “Dalam respon terhadap pelawaan itu, Seaport Terminal menyerahkan bidaan tersebut dan kita faham yang tiga syarikat yang lain turut terlibat,” katanya lagi. “Seaport Terminal dipilih berdasarkan kekuatan dan kecemerlangan rekodnya dalam kertas cadangan.
“Seaport Terminal telah menyerahkan satu kertas cadangan yang komprehensif berdasarkan kajian terhadap operai terkini pelabuhan, potensi untuk berkembang dan kemampanannya. Dalam pelan perniagaan kita termasuk strategi komprehensif untuk mengembangkan pelabuhan itu kepada pelabuhan bertaraf serantau ulung yang mampu bersaing.”
Selain dari dua pelabuhan Seaport Terminal, Syed Mokhtar juga menguasai Pos Malaysia Berhad dan lapangan terbang Senai. Beliau juga dilaporkan sedang dalam proses untuk mengambilalih KTM.
Kerajaan PR Pulau Pinang telah meminta kerajaan pusat untuk melaksanakan projek pengorekan berjumlah RM353 juta yang dijanjikan untuk pembesaran pelabuhan tersebut. Putrajaya pada bulan Jun lalu telah mengesahkan Seaport memenangi bidaan untuk mengambilalih Pelabuhan Pulau Pinang dengan mengatakan yang syarikat ersebut mesti membayar bil bagi kerja pengorekan meskipun ia tidak diwajibkan di bawah konsesi.
Kumpulan perniagaan Pulau Pinang dan pekerja pelabuhan telah menandatangani memorandum untuk menolak cadangan Putrajaya untuk menswastakan Pelabuhan Pulau Pinang.
Apa yang mengejutkan BN Pulau Pinang turut menentang cadangan Putrajaya itu apabila Pengerusinya Teng Chang Yeow turut menggesa kerajaan pusat untuk menilai semula keputusan untuk menswastakan pelabuhan tersebut dengan menyatakan banyak penentangan daripada kumpulan industri dan ini selari dengan sentimen masyarakat negeri tersebut.
George Town di Pulau Pinang merupakan tempat pertama di Malaysia yang dibangunkan oleh penjajah British, pernah menjadi pelabuhan terulung di rantau ini sebelum peranan tersebut diambil oleh Singapura. Ianya turut menjadi kebanggaan sebagai pusat pembelajaran dan kebudayaan.
Pelabuhan tersebut yang mempunyai perkhidmatan feri nostalgia era penjajahan, telah menerima tamparan hebat pada zaman 1970-an apabaila status pelabuhan bebas ditarik. BN Pulau Pinang mencadangkan agar status pelabuhan bebas dikembalikan sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum yang akan datang.-TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan