KUALA LUMPUR, 1 Dis: Jawatankuasa (JK) Khas Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan pilihan raya hari ini mengesyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera meminda peraturan pilihan raya bagi membolehkan dakwat kekal digunakan pada PRU-13.
Bercakap sewaktu membentangkan pandangan dan syor-syor awal JK itu di parlimen pagi ini, Pengerusi PSC Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, dakwat kekal disyor untuk digunakan dan tidak perlu kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.
LJawatankuasa mengesyorkan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) dalam proses pengundian bagi pilihan raya ke-13.
"Bagi syor ini jawatankuasa mendapati bahawa pindaan hanya perlu dibuat kepada peraturan berhubung dengan pilihan raya sahaja tanpa perlu meminda perlembagaan persekutuan.
"SPR perlu menyegerakan proses pindaan peraturan-peraturan yang berkaitan untuk kuatkuasa," katanya.
Dalam pembentangan itu, beliau turut mengemukakan 10 syor penambahbaikan proses pilihan raya.
Antaranya pengundian awal hanya untuk anggota tentera dan isteri serta anggota polis, pembersihan daftar pemilih, pengundi luar kawasan tidak perlu kembali ke kawasan pendaftaran asal dan ketelusan proses undi termasuk menghapuskan nombor siri pada kertas undi.
Untuk pembersihan daftar pemilih, PSC mengesorkan supaya SPR melantik MIMOS Berhad untuk membuat verifikasi terhadap pembersihan ke atas perkara berikut:
A- Dua orang pemilih dengan satu kad pengenalan sama
B- Pengundi yang telah meninggal dunia tetapi masih berada dalam daftar pemilih
C- Pengundi berumur 90 tahun ke atas
D- Pemilih bukan warga tempatan
E- Ramai pemilih dalam satu alamat
F- Pengundi hilang kelayakan.
Selain itu PSC turut mengesyorkan tempoh Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan dipanjangkan dari 7 hari kepada 14 hari.
PSC juga mahu SPR membatalkan kadar fi RM10 yang dikenakan kepada pembantah serta membatalkan had maksimum bilangan orang yang hendak dibantah.
Semalam, Bernama melaporkan bahawa laporan awal Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) mengemukakan 10 cadangan bagi memastikan proses itu dilaksanakan secara bebas dan adil.
Laporan itu yang diedarkan kepada Anggota Parlimen di Dewan Rakyat pada Rabu ini dijangka dibentangkan Khamis.
Cadangan itu dikemukakan selepas jawatankuasa berkenaan mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu, serta maklum balas yang diterima daripada anggota jawatankuasa.
Sepuluh cadangan yang dikemukakan itu ialah mengenai penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13; pengundian awal; pengundi tidak hadir luar negara; pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran.
Cadangan turut menyentuh pembersihan daftar pemilih; pameran rang daftar pemilih tambahan; ketelusan proses mengundi; penambahbaikan proses pencalonan; dan pengukuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengenai pembersihan daftar pemilih, laporan itu menjelaskan jawatankuasa berkenaan mengambil maklum usaha berterusan SPR dalam membersihkan daftar berkenaan termasuk mempamerkan nama pemilih yang rekodnya tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Bagaimanapun, jawatankuasa mengambil maklum masih terdapat keraguan tentang daftar pemilih yang bersih, khususnya di Sabah mengenai nama yang didakwa tidak layak berada dalam daftar pemilihan atau apa jua sebab.
Sehubungan itu, jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR melantik Mimos Berhad (Mimos) untuk membuat verifikasi terhadap isu seperti dua orang pemilih dengan satu kad pengenalan yang sama; pengundi yang sudah meninggal dunia tetapi masih berada dalam daftar pemilih; dan pemilih bukan warga tempatan.
Isu lain yang turut dibangkitkan ialah mengenai pengundi yang berumur 90 tahun ke atas; ramai pemilih dalam satu alamat; dan pengundi hilang kelayakan.
Jawatankuasa turut mengambil maklum permintaan dan desakan pelbagai pihak ketika pendengaran awam diadakan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini, supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan rakyat asing memperoleh status kewarganegaraan dan terbabit dalam proses pendaftaran pemilih khasnya di negeri itu.
Walaupun perkara ini adalah luas dan luar daripada terma rujukan jawatankuasa itu, namun dicadangkan supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.
Berhubung penambahbaikan proses pencalonan, jawatankuasa itu mengesyorkan supaya proses bantahan pada hari penamaan calon dimansuhkan selain mencadangkan tempoh penarikan balik pencalonan dibatalkan.
Penubuhan jawatankuasa itu diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Okt lepas dan dianggotai sembilan Anggota Parlimen mewakili Barisan Nasional (BN), pakatan pembangkang dan Bebas.
BN diwakili lima wakil rakyat manakala pembangkang (tiga) dan Bebas (satu).
PSC dipengerusikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Jawatankuasa itu mengadakan lima mesyuarat bagi membincangkan pelbagai perkara selain mengadakan sesi pendengaran awam bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan