29 November 2011

SI AWANG NIE LOBI NAK JADI CALON

Akta Kerja: MTUC panggil Alias Awang syor ‘perang’ terhadap BN

KUALA LUMPUR, 28 Nov — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dijangka mengambil tindakan disiplin ke atas Setiausaha Kewangannya yang semalam melahirkan pendirian bahawa badan induk itu akan mengisytihar perang ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) jika pindaan Akta Kerja diluluskan di Dewan Negara bulan depan.
Ketika menyertai perbahasan pada Kongres Nasional PKR semalam, Alias Awang Ibrahim dilapor berkata MTUC akan berbuat demikian jika Rang Undang-undang Kerja 1955 diluluskan pertengahan Disember.

Menurut Alias Awang, badan induk itu akan menyokong mana-mana parti politik yang berjanji akan meminda pindaan kontroversi Akta Kerja.

Mengulas perkembangan itu, Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata, beliau akan mengkaji laporan media berkenaan kenyataan Alias Awang dan memanggil beliau untuk memberi penjelasan.

“Saya tidak boleh memberitahu bentuk tindakan (disiplin), sebaliknya akan menyerahkan kepada majlis am selaku badan tertinggi MTUC untuk membuat pendirian ke atas Alias Awang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Halim menegaskan, apa yang diperkatakan oleh Alias Awang pada Kongres PKR semalam bukan pendirian rasmi MTUC, sebaliknya “saya melihat ia sebagai pendapat peribadi beliau.”

“Pun begitu apa yang diperkatakan oleh Alias Awang bertentangan dengan pelan tindakan yang telah diluluskan oleh majlis am dalam isu pindaan Akta Kerja... ia pandangan yang berat dan serius,” katanya lagi.

“Saya hendak menekankan bahawa hanya majlis am yang boleh membuat kenyataan sedemikian. Majlis am MTUC telah membuat pendirian bahawa MTUC tidak harus memihak mana-mana parti politik, kami hendak berkecuali.

“Lagi pun majlis am sudah pun membuat keputusan bahawa tidak ada sesiapa pun dari MTUC boleh membuat kenyataan mengenai isu ini kecuali presiden dan setiausaha agung... jadi kami akan panggil beliau untuk memberi keterangan,” kata Halim lagi sambil menjelaskan, tindakan ‘berperang’ dengan kerajaan tidak ada dalam pelan tindakan MTUC, pergerakan pekerja yang selalu berhadapan dengan polemik mengenai ideologi politik pemimpin-pemimpinnya.

“Kami bukan mahu berperang tetapi mahu menjaga kepentingan pekerja,” katanya lagi.

Menurut Halim, di bawah pelan tindakan MTUC akan mengadakan perhimpunan pada 2 Disember ini di Shah Alam, Selangor.

Selain itu kata Halim, pihaknya mahu menyelesaikan isu pindaan menerusi perbincangan dengan kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain mendapatkan sokongan badan buruh antarabangsa.

“Semua usaha ini sedang berjalan dengan baik. Jadi tidak nampak kita perlu berperang dengan kerajaan... lagipun dalam MTUC ada ahli yang menganggotai parti politik yang lain,” katanya lagi.

“MTUC kena sensitif kepada ahli-ahli, bukan mengutamakan kepentingan peribadi,” kata Halim sambil menambah, pihaknya tidak mahu mengambil risiko dengan menyokong mana-mana parti.

“Apa kata kalau parti yang kita sokong kalah dalam pilihan raya... kita tidak boleh menjaga kepentingan nasib pekerja,” katanya lagi.

Mengikut laporan media, Alias Awang dipetik berkata jika Rang Undang-undang Kerja 2011 diluluskan di Dewan Negara pada 12 Disember ini, maka MTUC akan mengisytihar perang ke atas kerajaan dan “tiada ruang untuk berkompromi.”

Pindaan itu sudah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu dan kini tunggu giliran Dewan Negara.

MTUC sudah pun memberi amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa 5.7 juta pekerja akan membuat keputusan dalam pilihan raya umum ke-13 jika pentadbirannya enggan mendengar suara mereka.

Kongres itu telah menulis surat kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi belum ada perkembangan positif setakat ini.

Ia mengadakan piket pada 3 Oktober dan 3 November lalu berhubung pindaan Akta Kerja khususnya berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...