28 November 2011

Anwar mahu bersihkan PKR dari pengkhianat


Kongres Keadilan (Dari MalaysiaKini) Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran kepada "pengkhianat" dalam parti yang perlu dibersihkan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Katanya, langkah itu penting memandangkan pilihan raya umum ke-13 merupakan penentu kepada PKR dan juga lanskap politik negara.

Anwar juga berkata proses berkenaan juga penting memandangkan parti itu kini sudah dua kali ganda lebih kuat berbanding ketika memasuki gelanggang pilihan raya 2008.



"Dari awal saya kata kita akan saksikan pengkhianatan. Setiap pilihan raya kecil (ada wakil rakyat PKR) lompat. Dekat pilihan raya umum lagilah, harga kian naik," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR Kelapan di Pulai, Johor.

Memetik ucapan setiausaha agung, Saifuddin Nasution sebelumnya, Anwar berkata Nabi Muhammad SAW sendiri tidak akan memaafkan pengkhianat walau tetap memaafkan orang kafir Quraisy yang diperanginya sebelum itu.

Anwar membangkitkan perkara itu dalam latar kongres yang kali pertama diadakan di Johor – kawasan yang tidak pernah dimimpikan untuk dijelajahi PKR pada pilihan raya 2008, katanya.

Namun, dengan keterbatasan pengaruh itu, PKR dan Pakatan Rakyat tetap berjaya menawan lima negeri pada 2008, katanya yang turut memberi amaran kepada golongan yang mahu mencari peluang dalam parti.

"Kalau khianat, terajang awal-awal. Jangan tolak ansur dengan pengkhianat. Kekuatan Umno hanya beli orang sebab dia ada wang. Wang apa? Wang rasuah. Kalau (semangat) kuat tak ada apa yang dapat patahkan kita.

"Kalau PKR kekal mantap, tiga parti ini (PAS-PKR-DAP) tetap bersatu, kita akan tawan Putrajaya," katanya lagi disambut tepukan para perwakilan.

Anwar bagaimanapun mengakui bahawa tindakan seorang demi seorang wakil rakyatnya yang berpaling tadah sebelum ini merupakan kesilapannya sendiri kerana salah memilih calon.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada anggota jentera partinya yang kelihatan terlalu "lumayan" selepas memenangi pilihan raya 2008.

"Saya setuju, ada percubaan untuk meronyeh dan merosak cita-cita ini. Ada ahli majlis nampak terlalu lumayan. Ini buka ruang untuk kita tegur.

"Saya beri ingatan, setuju dengan lontaran setiausaha agung, jangan andaikan kerana mahu ke Putrajaya kita sanggup bertolak ansur di kalangan jentera," katanya lagi.

Malah, beliau turut memberi amaran untuk tidak memberi peluang lagi kepada "orang yang tak layak" dan yang tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Terdahulu, setiausaha agung Saifuddin Nasution dalam ucapannya dengan berang menempelak wakil rakyat tertentu parti itu yang tidak dapat menghadirkan diri ke program berkenaan.

"Saya kecil hati sebab ada wakil rakyat yang tak dapat datang. Kita tak boleh jadi wakil rakyat, ahli parlimen atau apa sekalipun tanpa platform parti.

"Ada 365 hari setahun, bloklah tiga hari untuk kongres. Apa alasan tak dapat datang? Tak ada duit?

"Kalau PKR nak mulakan budaya baru, mulakan sekarang. Tak ada tempat untuk oportunis dalam parti," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...