Projek IC 'cemari daftar pemilih' di Sabah
Walaupun parti-parti politik Sabah berbeza dalam cadangan mereka untuk menambahbaik sistem pilihan raya, tetapi mereka sepakat dalam aduan mereka bahawa apa yang dipanggil Projek IC, telah mengubah demografi negeri itu dan mencemari daftar pemilih.
Ketika memberi keterangan pada sesi pendengaran awam kedua jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) bagi penambahbaikan pilihan raya di Kompleks Pentadbiran Persekutuan di Kota Kinabalu hari ini, beberapa parti politik menggesa supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI).
Antara parti politik yang memberi keterangan kepada panel PSC yang diketuai pengerusinya, Tan Sri Maximus Jonhnity Ongkili hari ini ialah Upko, LDP dan PBS dari parti pemerintah dan PKR, DAP dan PSM untuk pembangkang.
Projek IC dilaporkan sebagai operasi bersepadu tetapi terselindung pada tahun 1980-an dan 1990-an untuk memberi kad pengenalan kepada rakyat asing, yang didakwa sebagai usaha untuk mengubah demografi Sabah yang menguntungkan Umno.
Ahli jawatankuasa PKR, Dr Chong Eng Leong, berkata, selain
menubuhkan RCI, mereka yang telah memperolehi kewarganegaraan melalui cara yang meragukan, hendaklah disemak semula.
"Jika anda bertanya kepada sesiapa sahaja - keluarga, pemilik restoran, pemilik ladang - sama ada mereka telah menggaji pekerja asing yang kini telah menjadi warganegara bumiputera, semua mereka mempunyai pengalaman ini," kata bekas ahli politik PBS itu.
Chong adalah antara mereka yang mendedahkan Projek IC pada 2006, semasa sesi pendengaran Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Integriti di Sabah.
Sebagai contoh, Chong berkata penduduk tempatan yang dilahirkan di Sabah meningkat sebanyak kira-kira 120,000 antara 1951 dan 1960 tetapi bilangan pengundi dalam senarai daftar pemilih 1999 bagi mereka yang lahir antara 1952 dan 1960, meningkat sebanyak 150,000.
"Jika 80 peratus daripada 120,000 itu merupakan pengundi berdaftar, maka pengundi kelahiran Sabah adalah di bawah 100,000... Mengapa ada 150,000?"
Sambil membangkitkan kadar pertumbuhan penduduk Sabah yang luar biasa, beliau berkata, jika ia mengikut kadar pertumbuhan Sarawak, negeri itu kini sepatutnya ada seramai 1.617 juta penduduk dan bukannya 2.354 juta pada 2010.-MK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan