19 November 2011

POPULARITI NAJIB NAIK KUALITI GOYANG

Saji rakyat kajian kualiti KPI, bukan popularity

19 NOV — Kajian terbaru menunjukan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meningkat dengan mantap sejak 2009. Sebaliknya, kajian Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) juga menunjukkan bahawa populariti tiga pemimpin utama pembangkang merosot.

Kajian Unit Kajian Media dan Pilihan Raya itu menunjukkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus kekal popular walaupun berundur pada 2003.

Bertolak daripada itu, masyarakat Malaysia hari ini tidak lagi boleh diumpan dengan kajian-kajian populariti yang bertujuan mencipta persepsi umum bahawa sememangnya seseorang pemimpin itu diterima ramai. Apa yang diinginkan sebenarnya bukanlah kajian populariti, tetapi kajian kualiti.

Kajian terhadap keberkesanan kualiti kepimpinan kerajaan hari inilah yang perlu dilaksanakan dan disebarkan untuk perhatian umum. Bahkan ia perlu dijalankan sesegera mungkin memandangkan tempoh kepimpinan kerajaan hari ini sudah hampir ke penghujungnya.

Rakyat ingin tahu bagaimana pencapaian prestasi kerajaan dalam Indeks Prestasi Utama (KPI) terhadap Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Bagaimana pencapaian kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah dan memerangi rasuah?

Bagaimana prestasi kerajaan untuk meluaskan akses pendidikan, meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah? Bagaimana pula usaha kerajaan untuk memperkasa prasana luar bandar dan pedalaman serta usaha menambah baik pengangkutan awam?

Dalam hal ini, kepimpinan Najib tidak perlu bangga dengan angka-angka peningkatan populariti beliau dalam masa rakyat mempersoal prestasi kualiti beliau kini. Sebenarnya angka kajian populariti bukanlah suatu penanda aras yang baik untuk meletakkan kepimpinan beliau diterima sepenuhnya.

Cuba tanyakan kepada rakyat di pasar-pasar malam, peniaga-peniaga di Chow Kit, pekerja-pekerja di restoran, guru, petani, pemandu teksi dan seluruh rakyat bawahan adakah mereka mampu menampung kos sara hidup mereka yang tinggi kini?

Cuba tanyakan kepada para wanita, para ibu, kanak-kanak, warga asing dan seluruh rakyat bawahan adakah mereka merasa selamat berjalan di ibu kota dengan meyakini bahawa tidak sebarang perbuatan jenayah di sekeliling mereka?

Cuba tanyakan kepada para graduan, penganggur, pelajar sekolah, mahasiswa dan seluruh rakyat adakah pendidikan yang mereka terima cukup berkualiti dengan kemampuan yang mereka ada?

Tanyakan kepada rakyat bagaimanakah pengalaman mereka menggunakan pengangkutan awam, dengan caj yang dikenakan? Adakah mereka berpuas hati?

Jawapannya sudah ada dalam minda anda semua.

Berkualitikah kepimpinan? Atau sekadar popular atas nama mengambil duit rakyat. Popular menzalimi rakyat, popular menipu rakyat, popular memperbodohkan rakyat?

Persoalan-persoalan ini sengaja dilontar agar Najib tidak terus berada dalam zon selesa dengan populariti yang sengaja dicipta berbanding dengan kualiti yang masih menjadi tanda tanya. Kualiti kerajaan Najib kini harus direvisi supaya rakyat tidak mudah termakan dengan kajian populariti yang sengaja dijadikan umpan politik.-TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...