14 November 2011
Kompleks Sukan PKNS perlu penyelesaian terbaik
Ramai penduduk SS7 Kelana Jaya prihatin dengan cadangan pembangunan semula Kompleks Sukan PKNS.
Cadangan ini mula dibincangkan di dalam perbincangan tidak formal dengan penduduk awal tahun ini yang turut dihadiri pegawai-pegawai PKNS.
Penduduk prihatin memandangkan Kompleks Sukan ini telah digunakan untuk aktiviti sukan dan masyarakat selama bertahun-tahun. Ramai jaguh sukan bola sepak, kriket dan ragbi dilahirkan di sini, malah perlawanan Kriket Sukan Komanwel 1998 juga dilangsungkan di sini.
Jelas sekali Kompleks Sukan ini mempunyai nilai komuniti dan sejarah yang cukup besar bukan sahaja bagi masyarakat setempat tetapi negara.
Apatah lagi, sebarang pembangunan akan mengeruhkan keadaan trafik kawasan ini yang sudahpun berada di dalam keadaan teruk dan akan menyaksikan beberapa projek kepadatan tinggi yang baru: Icon City, Paradigm dan lain-lain lagi.
Memandangkan cadangan terbaru ini hanya diutarakan ketika saya berada di luar negara, saya tidak dapat bertemu dengan penduduk ataupun menghadiri bantahan aman yang diadakan pada 16 Oktober 2011.
Bagi memahami cadangan ini, saya bertemu dengan pegawai-pegawai PKNS pada Isnin 17 Oktober. Pagi ini saya bertemu dengan AJK Selamatkan Padang Rakyat yang memimpin bantahan terhadap pembangunan semula ini.
Berikut merupakan fakta-fakta kes ini:
PKNS memohon geran untuk plot-plot tanah di Kompleks Sukan ini pada 2006 di bawah Kerajaan BN sebelum ini bagi membolehkan PKNS memajukan tanah ini secara komersial.
Ada tiga geran yang dikeluarkan kepada PKNS antara 2006 hingga 2008 untuk pembangunan institusi dan komersial.
PKNS kini telah membuat permohonan kepada MBPJ untuk membangunkan Kompleks Sukan ini yang kemudiannya menarik perhatian penduduk.
Saya akan menganjurkan dialog dengan penduduk SS7 tentang pembangunan semula Kompleks Sukan ini pada 10 pagi Sabtu 22 Oktober di Dewan Sri Nilam, Kompleks Sukan PKNS.
Saya berharap penduduk dapat hadir bagi menyuarakan pandangan mereka tentang projek ini.
Saya berjanji untuk berbuat apa sahaja bagi mencari penyelesaian terbaik bagi penduduk dan berharap PKNS yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dapat mengkaji semula cadangan ini dengan mengambilkira pandangan penduduk.
NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI SERI SETIA, SELANGOR
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan