16 November 2011

PEMBELIAN GERABAK EMU -LEBIH MAHAL RM500 JUTA

7 persoalan tentang gerabak EMU RM1.89 bilion

Dr Dzulkefly Ahmad


Isu pembelian 38 set Electric Multiple Unit (EMU) enam gerabak dari syarikat Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd (ZELC) dari China dengan harga sekitar RM1.9 bilion secara runding terus atau dianggarkan RM500 juta lebih mahal berbanding harga yang ditawarkan melalui tender sebelumnya, mula saya bangkitkan di Parlimen pada 29 Jun 2010.

Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengeluarkan surat tawaran (LOA) kepada ZHUZHOU pada 19 Mei 2010.

Harga pembelian tersebut pula tidak termasuk kos menyelenggara, membaiki dan overhaul – MRO yang dikatakan akan diputuskan MOT secara berasingan.

Walaupun pembelian EMU dari Zhuzhou ini dilihat seakan terdapat unsur penyelewengan, MOT tetap meneruskannya dengan menandatangani perjanjian pembelian pada 23 Julai 2010.

Tindakan tersebut dilihat dibuat dalam keadaan tergesa-gesa kerana dokumen perjanjian disediakan dan ditandatangani dalam masa yang begitu singkat selepas LOA dikeluarkan, iaitu dua bulan empat hari.

Persoalannya apakah perjanjian penjualan yang melibatkan kos yang begitu tinggi itu telah diteliti dan disemak oleh Jabatan Peguam Negara?

Susulan desakan saya, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) 27 Julai 2010 memutuskan bahawa terdapat sebab untuk isu pembelian EMU disiasat dengan lebih terperinci. PAC mengarahkan SPRM untuk memulakan siasatan.

Spesifikasi tender asal

Pada 1 April lalu, saya menerima jawapan bertulis dari Menteri diJabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz bahawa siasatan kes ini masih dijalankan SPRM dan tidak boleh didedahkan kepada umum atas kepentingan siasatan dan unsur kerahsiaan.

Bagaimanapun, pada 14 November lalu, timbalan menteri pengangkutan mengumumkan bahawa hasil siasatan mendapati tiada unsur penyelewengan dalam pembelian EMU dari Zhuzhou.

Di sini saya ingin meminta penjelasan lebih lanjut dari menteri pengangkutan berhubung perkara-perkara berikut:

(1) Atas kriteria apakah MOT memilih untuk mengadakan rundingan terus dengan ZELC bagi pembelian 38 set EMU di atas?

Saya percaya pemilihan ZELC berdasarkan tawaran EMU mengikut spesifikasi KTMB pada harga yang munasabah dalam tender terdahulu, iaitu tender membekal lapan set EMU tiga gerabak.

Saya percaya rundingan harga dengan ZELC dibuat tidak mengikut spesifikasi asal KTMB memandangkan tender terdahulu telah dibatalkan pada 27 April 2010.

(2) Persoalannya, mengapakah rundingan harga dengan ZELC tidak dibuat mengikut spesifikasi tender asal dengan mengubahsuai klausa-klausa tertentu bagi mengambilkira perubahan keperluan dari set EMU tiga kepada enam gerabak?

Pohon semak dokumen

Mengapa perlu dibatal tender terdahulu sedangkan pemilihan ZELC dibuat berasaskan penilaian tender tersebut?

Saya percaya sekiranya rundingan harga dengan ZELC didasarkan kepada spesifikasi yang diberi KTMB, selain perubahan dari tiga kepada enam gerabak bagi setiap set EMU, harga setiap set EMU enam gerabak tidak akan meningkat sehingga RM48 juta setiap set seperti yang ditawarkan oleh ZELC.

Ironisnya, harga yang ditawarkan ZELC melalui rundingan terus melonjak kepada RM48 juta bagi setiap set EMU enam gerabak berbanding harga tender sebelumnya RM13.725 juta
bagi setiap set EMU tiga gerabak. Saya menganggarkan harga yang paling mahal bagi setiap set EMU enam gerabak ialah RM40 juta.

(3) Sehubungan itu, saya memohon jasa baik menteri pengangkutan untuk saya dan juruperunding yang saya lantik untuk menyemak dokumen spesifikasi EMU dijadikan asas rundingan harga bagi pembelian 38 set EMU enam gerabak dari ZELC.

Memandangkan tidak terdapat elemen penyelewengan seperti yang dinyatakan oleh menteri pengangkutan, saya percaya tidak akan ada masalah untuk saya menyemak dokumen spesifikasi tersebut untuk saya bandingkan dengan dokumen spesifikasi EMU bagi tender terdahulu yang ada dalam simpanan saya.

Melalui perbandingan kedua-dua dokumen spesifikasi tersebut, saya percaya akan dapat merungkaikan isu ketirisan sehingga RM500 juta yang kini menyelubungi pembelian 38 set EM enam gerabak dari ZELC.

Kawal ketat kerajaan China

(4) Apakah semua pegawai-pegawai KTMB yang ditemubual oleh SPRM bersetuju harga yang ditawar ZELC itu munasabah?

(5) Apakah SPRM menyiasat secara menyeluruh mengenai cara pembayaran EMU yang dikatakan tidak dibayar terus kepada ZELC, selaku pengeluar EMU yang berpengkalan di Zhuzhou, China.

Saya difahamkan bahawa perjanjian pembelian berkemungkinan besar melibatkan ZELC (Hong Kong) memandangkan ZELC yang berpengkalan di Zhuzhou, China, di kawalselia secara ketat oleh kerajaan China berhubung transaksi yang melibatkan keluar masuk wang dari negara itu.

SPRM dikatakan telah menghubungi rakan sejawat mereka di China. Apakah agensi antirasuah China itu tidak sedikit pun merasa sangsi mengenai harga tawaran yang terlalu mahal yang
dikemukakan oleh ZELC.

(6) Berdasarkan spesifikasi yang diberi oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), semua pengeluar EMU milik negara China akan mengeluarkan EMU yang mempunyai harga yang tidak akan mempunyai jurang perbezaan yang besar.

Hakikat ini terbukti melalui harga yang ditawarkan oleh tiga pengeluar China, termasuk ZELC, dalam tender membekal EMU tiga gerabak sebelum ini.

Saya percaya harga yang amat tinggi yang ditawarkan oleh ZELC termasuk ’elemen komisyen’ atau lebih tepat lagi ’kickback’ agen tempatan.

(7) Kalau benar tidak terdapat sebarang unsur penyelewangan, saya ingin mendapatkan butir-butir pembelian (cost breakdown) komponen-komponen utama yang digunakan dalam EMU yang dibeli. Ini membolehkan saya untuk menyemak dengan mudah sama ada berlaku tokok tambah harga yang tidak munasabah.

Penulis merupakan anggota parlimen Kuala Langat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...