14 November 2011
K'jaan dibidas, berbelanja sebelum Bajet dilulus
Kementerian Pelajaran dibidas oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat kerana mengedarkan wang bantuan persekolahan RM100 kepada kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah yang disenaraikan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan Bajet 2012 yang belum diluluskan oleh Dewan Rakyat.
"Rang undang-undang masih dibahaskan di Dewan. Bagaimana wang boleh dibelanjakan sebelum peruntukan itu diluluskan?” soal M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) kepada timbalan speaker Datuk Ronald Kiandee.
Kulasegaran menimbulkan perkara itu mengikut Peraturan Tetap 66(4), yang memperincikan butiran sebelum rang undang-undan pembekalan itu akan menjadi bajet perbelanjaan kerajaan.
Bagaiamanapun, Kiandee menolak perkara itu dengan alasan ia bukan di bawah bidang kuasa Dewan Rakyat dan peraturan tetapnya.
"Ini tiada kaitan dengan Dewan. Ini urusan kementerian. Mereka sepatutnya tahu apa yang mereka lakukan.
"Saya hanya boleh memantau peraturan tetap yang berkaitan perjalanan Dewan. Ini isu luar, tidak peraturan tetap yang dicabuli,” katanya lagi.
Bantuan persekolahan RM100 itu masih disenaraikan sebagai perbelanjaan dan sedang didebatkan bagi cadangan rang undang-undang Bajet 2012.
Bagaimanapun, Khamis lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata wang bantuan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 akan disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing dengan serta-merta.
Wang bantuan itu yang akan diagihkan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011. Bayaran bantuan kepada pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi persekolahan 2012 akan dibayar pada Januari tahun depan.-MK
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan