27 Januari 2015

Mengapa Zamani Berterima Kasih Kepada Datuk Jamal



Reaksi Zamani bagi menggambarkan rasa terima kasih kepada tawaran Jamal Abdillah yang mahu membantu memulihkan ketagihan dadahnya ketika ditemui di Ampang.


Penyanyi Slam, Zamani menyambut baik tawaran Datuk Jamal Abdillah yang bersedia membantunya memulihkan ketagihan dadah.

"Saya hargai bantuan Datuk dan tidak sangka dia mahu tolong..nantilah selepas selesai kes saya," ujar penyanyi Gerimis Mengundang ketika ditemui di sini hari ini.


Zamani ditemui dalam keadaan ceria dan sihat bersama peguamnya di Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya selepas mengesahkan sambungan jaminan polis terhadapnya bagi memberi masa pendakwaraya mempertimbangkan kesnya di sini hari ini.

Zamani juga terharu dengan sokongan Jamal sebagai artis terkenal yang pernah terperangkap dengan najis dadah serta sedia membantunya. Sebelum itu, Jamal dilaporkan sedia membantu Zamani dalam usaha memulihkan ketagihan dadah.

“Zamani boleh hubungi atau berjumpa saya pada bila-bila masa, saya akan kenalkan dia dengan tempat tertentu yang agak tertutup daripada pengetahuan ramai untuk pemulihan (ketagihan dadah),” kata Jamal yang dipetik daripada sebuah akhbar hari ini.

Menurut Jamal, figura Zamani yang dikenali ramai akan membuatkan dia tidak selesa jika berita mengenai lokasi rawatan di pusat pemulihan tertentu sentiasa mendapat perhatian.

“Saya sanggup bantu Zamani. Saya ada kenal beberapa pihak yang menawarkan rawatan ketagihan dadah dan ia semuanya dibuat di lokasi agak tertutup,” tambah Jamal.

Mengenai komposer Saari Amri yang bercadang memilihnya menyanyi lagu baharunya,Lahirmu Untuk Dia tetapi menariknya semula selepas Zamani terlibat dalam kes dadah, Zamani menerimanya dengan hati terbuka.

"Itu hak dia (Saari). Kalau dia buat lagu untuk saya kemudian beri kepada Aris Ariwatan, ia tak jadi masalah. "Mungkin tidak ada rezeki saya," katanya sambil berharap Saari sudi membuat lagu lain selepas dia membuat comeback dalam nyanyian satu hari nanti.



Saari sebelum ini berkata, dia sebenarnya ada menulis sebuah lagu berjudul Lahirmu Untuk Dia dan lagu tersebut berkaitan dengan kisah hidup Zamani dan sepatutnya, lagu itu sudah hampir dirakamkan tetapi ekoran penangkapan penyanyi itu, Saari terpaksa memberikan lagu itu kepada penyanyi lain.

"Saya pernah bagi dia dengar lagu itu dan sepatutnya hampir dirakamkan. Lagu itu memang tentang kisah hidup dia tetapi apabila sudah jadi begini, saya berikan lagu itu kepada Aris Ariwatan untuk menyanyikannya dan lagu itu akan dimuatkan dalam album terbaru untuk projek khas yang sedang saya usahakan sekarang," kata Saari yang dipetik daripada sebuah portal.

Album berjudul Ibarat Lilin Saari Amri itu memuatkan sebanyak tujuh lagu baru dan 21 koleksi lagu hits ciptaannya. Antara penyanyi yang terlibat seperti Aris Ariwatan, Keena (Mentor 3) dan turut serta tiga anggota polis diundang menyanyikan antara lagu baru dalam album tersebut.--MalaysiaGazette

BACA LAGI KISAHNYA......

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...