30 Januari 2015

Imigresen gantung modul baharu biometrik, visa pekerja asing Bestinet



Proses baharu pemeriksaan kesihatan dan permohonan visa pekerja asing menyebabkan agensi buruh mengancam berhenti menghantar pekerja ke Malaysia. 

Jabatan Imigresen menggantung sistem pemprosesan visa dan pemeriksaan kesihatan biometrik pekerja asing, yang mencetuskan kontroversi kerana pengarah syarikat yang diberi kontrak tersebut rapat dengan Putrajaya.

Penggantungan itu dua minggu selepas Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) dan pemeriksaan kesihatan biometrik itu berkuat kuasa, tetapi dikritik oleh agensi pekerja asing yang mengancam berhenti menghantar pekerja ke Malaysia.

Para operator mengadu mengenai kenaikan yuran secara mendadak di bawah FWCMS, daripada RM15 kepada RM250, yang diberi Putrajaya kepada Bestinet Sdn Bhd.

Dalam satu pekeliling bertarikh 26 Januari yang dilihat The Malaysian Insider, Jabatan Imigresen berkata penggantungan berkuat kuasa serta-merta dan visa permohonan pekerja asing akan dilakukan di kaunter seperti amalan sebelumnya.

"BioMedical dan eVDR (FWCMS) yang berkuat kuasa pada 15 Januari 2015 akan digantung berkuat kuasa serta merta," menurut kenyataan itu, merujuk dua modul utama di bawah FWCMS - bio-perubatan dan permohonan secara elektronik bagi Visa Dengan Rujukan (eVDR).

"Sehubungan itu, permohonan visa dengan rujukan di kaunter imigresen kini berjalan seperti biasa."

Pekeliling itu ditandatangani Pengarah Jabatan Pekerja Asing Farah Adura Hamidi, yang mengesahkan arahan tersebut.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider, arahan menggantung penggunaan kedua-dua sistem itu datang daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi enggan mengulas lanjut.

"Jabatan Imigresen merupakan pelaksana, manakala yang membuat polisi ini ialah kerajaan. Jadi, kami menerima arahan ini daripada mereka (KDN) dan kami hanya bertindak ke atasnya," kata beliau.

FWCMS adalah laman web dikendalikan Bestinet yang juga akan mengendalikan antara lain, permohonan kuota pekerja asing, Pas Lawatan Kerja Sementara Elektronik (ePLKS) dan insurans mereka.

Semua pusat pemeriksaan kesihatan di negara asal pekerja juga terpaksa menggunakan sistem Bestinet itu.

Kontrak FWCMS dan pemeriksaan biometrik diberi kepada Bestinet, firma IT yang pengarahnya termasuk bekas menteri dalam negeri, Tan Sri Azmi Khalid dan bekas pengarah Jabatan Buruh, Datuk Tengku Omar Tengku Bot.

Pengkritik, termasuk kerajaan asing, mempersoalkan sistem biometrik itu, membangkitkan masalah kos tambahan dan isu keselamatan terhadap maklumat pekerja.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ketua Penerangan Pemuda PKR Lee Chean Chung menimbulkan kebimbangan terhadap monopoli sistem itu, dan berkata maklumat yang disimpan berkaitan kawalan sempadan dan imigresen adalah sensitif dan boleh mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.

Mereka juga memberi kata putus kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jawapan bagaimana kontrak itu diserahkan kepada Bestinet.

"Bestinet bukan sahaja akan mendapat keuntungan besar melalui monopoli eVDR dan sistem biometrik, syarikat itu juga akan menyebabkan peningkatan kos untuk mengambil pekerja asing.

"Apabila kenaikan kos tidak dipantau, ia akan mendedahkan pekerja asing kepada risiko eksploitasi dan pemerdagangan manusia," kata Johari dan Lee.

Nepal dan Indonesia, yang menghantar beratus-ratus pekerja asing ke Malaysia setiap hari melahirkan kebimbangan para pekerja perlu membayar kos tambahan dan masih belum memberi keputusan muktamad mereka terhadap sistem itu.

Syarikat pengambilan pekerja di Nepal mengisytiharkan akan menghentikan penghantaran pekerja baharu ke Malaysia sehingga kerajaan Nepal membuat keputusan muktamad.

Agensi pekerjaan Indonesia dilaporkan sebagai berkata yuran terlalu tinggi adalah beban besar kepada rakyat mereka mencari pekerjaan atau belajar di Malaysia, dan juga mengancam berhenti menghantar pekerja ke Malaysia.

Mereka berkata Malaysia sepatutnya membincangkan perkara itu dengan kerajaan Indonesia sebelum pelaksanaan sistem baharu, sambil menambah ia satu bentuk eksploitasi terhadap rakyat mereka.

Rakyat Indonesia dan Nepal merupakan sebahagian besar daripada pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti pembantu rumah, pembuatan, pembinaan, perladangan dan lain-lain.

Sistem biometrik diperkenalkan bagi mengelakkan laporan perubatan palsu dan menurut Jabatan Imigresen, ia akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pekerja dari Nepal dan Bangladesh.

Pada Rabu, Bestinet menafikan syarikat itu bertanggungjawab bagi kenaikan terlalu tinggi kadar bayaran pemprosesan visa pekerja Indonesia.

Bernama melaporkan semalam, Parlimen Nepal meminta kerajaannya tidak melaksanakan pemeriksaan kesihatan biometrik Malaysia itu susulan keputusan sebulat suara jawatankuasa Parlimen mengenai hubungan antarabangsa dan tenaga kerjanya yang menentang sistem itu.

Jawatankuasa tersebut menggesa kerajaan Nepal tidak menguatkuasakan sistem itu terhadap pekerja negara itu yang ingin bekerja di Malaysia tanpa terlebih dahulu mengkaji kesannya.

"Sistem itu kelihatan tidak patut dan wajar dilaksanakan ketika ini berikutan tiadanya kemudahan seperti itu di Nepal. Ini akan menyebabkan meningkatnya beban kewangan ke atas pekerja kita," kata ahli Parlimen Nepal, Prabhu Saha yang mengetuai jawatankuasa itu.

Zahid juga dilaporkan Bernama berkata, beliau akan meminta Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim mengeluarkan kenyataan penuh berkenaan FWCMS kerana ia melibatkan soal pengoperasian.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/imigresen-gantung-modul-baharu-biometrik-visa-pekerja-asing-bestinet#sthash.wMMZY6Hs.dpuf

2 ulasan:

orgkampongok berkata...

Bangang punya kerja...mula mula beri kpd geng kroni..lepas tu syarikat kroni cekik darah sewenang wenang nya..mampus la mesia..

orgkampongok berkata...

Bangang punya kerja...mula mula beri kpd geng kroni..lepas tu syarikat kroni cekik darah sewenang wenang nya..mampus la mesia..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...