11 Disember 2014

Isu MAS NewCo : Ada Yang Baling Batu Sembunyi Tangan?



KETIKA jutaan rakyat Malaysia berdebar-debar melihat kekecohan perlawanan pusingan pertama Piala AFF Suzuki antara pasukan kebangsaan Harimau Malaya menentang pelawat dari Vietnam pada 7 Disember lalu, satu lagi ‘kekecohan kecil’ turut berlaku di ibu negara.

Uniknya, kekecohan itu kurang mendapat publisiti malah menjadi ‘bahan jenaka’ pihak tertentu apabila sekumpulan wartawan tempatan dipermainkan untuk datang membuat liputan satu sidang akhbar tergempar pada malam Ahad lalu yang sebenarnya langsung tidak wujud.

Bayangkanlah dalam suasana hujan renyai di Kuala Lumpur, petugas media tanah air yang sanggup bersusah payah datang akhirnya pulang hampa dan mendapati mereka ditipu hadir sidang akhbar bertaraf mega kononnya mengenai isu panas Malaysia Airlines (MAS).
MENARIK – Pelantikan Mueller Tanda Komited Khazanah Perkukuh MAS

Tidak semena-mena wartawan media arus perdana New Straits Times, Utusan Malaysia, The Edge, RTM waima portal propembangkang Malaysian Insider ‘merah padam muka’ apabila dimaklumkan Kesatuan Pekerja MAS (MASEU) tiada sidang akhbar khas pada malam itu.

Ironi, MASEU turut terpinga-pinga terkejut melihat kumpulan wartawan tersebut basah kuyup bermandi hujan di luar pekarangan rumah bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Aziz Abdul Rahman di Bukit Damansara kononnya ada jemputan rasmi untuk sidang akhbar palsu itu.

Mujur Setiausaha Eksekutif MASEU, Mohd. Jabarullah Abdul Rahman bersikap profesional segera menjelaskan isu sebenar dan berkata, apa yang berlaku mereka cuma ada perbincangan dengan Aziz bagi memahami Akta MAS yang baharu diluluskan Parlimen pada 27 November lalu.

“Kami tidak ada menjemput atau pernah menghantar apa-apa kenyataan kepada pihak media dan kalau kami hendak buat sidang akhbar sekali pun, kami hanya akan buat pada waktu siang, bukan malam,” tegas beliau kepada pemberita secara spontan pada malam 7 Disember itu.

Mohd. Jabarullah bahkan menafikan pihak MASEU akan membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kononnya ada penyelewengan dan kerugian MAS sebanyak RM12 bilion pada keesokan iaitu 8 Disember.

Persoalannya siapakah dalang menyebarkan makluman konon MASEU mengadakan sidang akhbar itu dan apakah motif pihak terbabit mempermainkan pihak wartawan seolah-olah seperti mahu mencetuskan polemik bagi mencetuskan kegelisahan rakyat dalam isu MAS.

Apatah lagi MASEU jadi tumpuan kerana secara kebetulan banyak pihak memberi pebagai reaksi sejurus Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) pada 5 Disember mengumumkan Christoph R. Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS mulai 1 Januari ini.

Pelantikan warga Jerman yang juga CEO syarikat penerbangan kebangsaan Ireland, Aer Lingus itu sekali gus melenyapkan desas-desus tentang peneraju baharu bagi syarikat penerbangan nasional itu yang juga termaktub di bawah 12 pelan pemulihan MAS oleh Khazanah.

Pemilihan Mueller dibuat berdasarkan reputasinya berjaya memulihkan Aer Lingus daripada kerugian dalam tempoh setahun pada ketika suasana pasaran lesu Eropah bahkan ibu kota Ireland, Dublin muncul salah satu hab utama wilayah Atlantik Utara bagi penerbangan jarak jauh.

Pada masa sama, Aer Lingus telah pun memasuki pasaran baharu, memperkenalkan model perniagaan terkini dan berjaya menukar tumpuan bisnes syarikat penerbangan itu kepada orientasi pengguna dengan fokus sektor pengagihan atas talian setinggi 90 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pelantikan itu menunjukkan usaha serius kerajaan dan Khazanah meletakkan asas kukuh bagi kejayaan MAS masa hadapan.

Malangnya dalam menjayakan pelan tersebut, ada pula seperti cuba menangguk air keruh dengan agenda tertentu dan terbaharu, menyebarkan hebahan palsu kononnya ada pula sidang akhbar MASEU bagi mengulas isu sensitif MAS itu sehingga menyusahkan banyak pihak.

Mungkin masih awal buat spekulasi siapakah dalang tidak bertanggung jawab itu, namun, jika melihat kepada nombor telefon penganjur sidang media tersebut, ramai penganalisis sudah membuat andaian kemungkinan ada pihak mahu bermain ‘lontar batu sembunyi tangan’.

Pangillan ke talian 019 347 7762 / 011 1224 9782 yang tertera dalam jemputan media tersebut tidak terjawab.

Kenapa pihak itu tergamak berbuat demikian, ia barang kali misteri tetapi lambat laun hanya masa akan jawab soalan tersebut kerana MAS tidak lagi cukup waktu melayani kerenah dan kini perlu beri tumpuan kepada usaha memulihkan semula syarikat itu daripada terus kritikal. - MYNEWSHUB.CC


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...