BN dan ‘politik kuno’ tidak akan terpisah
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Shamsuddin Mohd Lias hari ini meletak jawatan dan memulangkan kenderaan rasmi.
Peletakan jawatan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Shamsuddin Mohd Lias dan pemulangan kenderaan rasmi kerana tidak mahu menggalas jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) negeri melambangkan "politik kuno" Barisan Nasional (BN).
Shamsuddin berhujah, walaupun beliau dilantik sebagai pengerusi PAC negeri, tangan dan kakinya terikat kerana komposisi jawatankuasa itu berat sebelah: 5 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR), 1 Adun BN (Jeram), serta dirinya.
Shamsuddin terlupa, walaupun dari segi komposisi anggota PAC BN minoriti, sebagai pengerusi suaranya akan didengari jika beliau mengkritik dasar kerajaan negeri yang tidak memberikan manfaat kepada rakyat Selangor.
Sebenarnya apa yang Shamsuddin lakukan bertujuan untuk tidak mahu memberikan peluang kepada kerajaan PR Selangor untuk menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat Malaysia.
Sebelum ini, kesemua Adun BN Selangor menolak peruntukan RM200,000 (satu langkah yang tidak pernah dilakukan parti pemerintah semenjak negara merdeka pada 1957) yang diberikan kepada pembangkang di negeri itu.
Akhirnya Shamsuddin berterus-terang apabila berkata hari ini, tawaran jawatan pengerusi PAC oleh PR merupakan muslihat politik kerana ia bakal dijadikan dasar kepada gabungan parti pembangkang itu untuk menuntut hak yang sama di Parlimen.
Jelaslah dakwaan selama ini BN menolak tawaran yang diberikan kerajaan Selangor kepada pembangkang kerana tidak mahu ianya dijadikan contoh untuk mendesak Putrajaya melakukan perkara sama.
Apa yang Shamsuddin dan BN lupa, rakyat Malaysia sudah semakin bijak hari ini – terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana "membuka" ruang demokrasi melalui Internet.
Di negara-negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia, pembangkang diiktiraf peranannya dalam melakukan semak dan imbang kepada kerajaan atau pemerintah.
Dan ini yang cuba dilakukan PR di Selangor dan Pulau Pinang walaupun BN masih lagi menganggap pembangkang sebagai "musuh yang harus diperangi" dan bukannya berperanan bersama-sama untuk membangunkan negara.
Apa salahnya jika BN mula mengiktiraf pembangkang dan melakukan perkara sama di peringkat nasional?
Jawapannya adalah perubahan tidak akan berjaya dilakukan kerana "ahli politik kuno" seperti Shamsuddin masih bersarang dalam BN.
Mereka tidak mahu perubahan dan politik baru diamalkan kerana masih merasakan Putrajaya itu milik BN dan kuasa yang akan kekal sehingga kiamat tiba.
Tidak hairanlah mengapa Dr Mahathir menggesa agar Umno Selangor dibubarkan dan dirombak semula.
Kerana Dr Mahathir tahu orang-orang seperti Shamsuddin ini yang menyebabkan Umno dan BN terus ditinggalkan rakyat Selangor yang semakin "maju" pemikirannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan