PUTRAJAYA, 5 SEPT – Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara memutuskan bahawa kematian mendiang Teoh Beng Hock lima tahun lalu adalah diakibatkan oleh perbuatan pihak-pihak tidak bernama termasuk pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Panel tiga hakim yang dianggotai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Datuk Haji Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Mah Weng Kwai bersetuju bahawa majistret Mahkamah Koroner serta Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila memberikan penghakiman terbuka terhadap siasatan kematian Teoh Beng Hock.
Dalam memberikan penghakiman, Datuk Mohamad Ariff menyebut bahawa kecederaan yang dialami mendiang Beng Hock sebelum jatuh menandakan wujudnya unsur-unsur jenayah, sambil menegaskan bahawa kes kepentingan awam seperti ini menuntut siasatan lanjut.
Datuk Hamid Sultan pula menegaskan bahawa undang-undang tidak membenarkan saksi ditahan dan disoal-siasat sepanjang malam dan menggesa Ketua Polis Negara untuk segera membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Mahkamah juga menegaskan bahawa pihak SPRM mempunyai tugas dan tanggungjawab berat ke atas keselamatan mendiang Teoh Beng Hock sepanjang masa mendiang berada di premis agensi itu bagi membantu siasatan.
Hakim Datuk Mah dalam penghakimannya menyebut bahawa Beng Hock tidak terjatuh dari tingkap bangunan ibu pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam secara tidak sengaja, dan memutuskan bahawa ia bukan suatu kemalangan atau bunuh diri, justeru itu menafikan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja pada Julai 2011.
Lebih tegas lagi, Datuk Mah menyatakan bahawa tiadanya cap jari Beng Hock di bingkai tingkap ruang pejabat tersebut adalah petunjuk bahawa mendiang mungkin telah diletakkan di situ oleh seseorang sebelum ditolak jatuh. Malah dalam keadaan tidak sedar, mendiang langsung tidak dapat melawan ketika dilempar keluar.
Mendiang Teoh Beng Hock dijumpai mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam pada 16 Julai 2009 setelah semalaman ditahan di ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan tersebut untuk soal siasat. Mendiang yang merupakan pembantu kepada Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah pada waktu itu dijadualkan berkahwin pada keesokan harinya.
2 ulasan:
yang beragama Islam wajib beriktikad yang benar tetap benar, yang salah tetap salah .... yang kapir tidak wajib
Keadilan mngikut perspektif Islam itu meliputi alam semesta .. meskipun yg benar itu yahudi. Cth d zmn khulafa ar rasyidin d jdikn model.
Catat Ulasan