10 Mei 2013

TERHANGAT ! SEBELUM KEDAH JATUH...PUNCANYA DISAHKAN....




Sejak pembubaran Parlimen sebulan lalu, saya dan rakan-rakan di Harakah agak sibuk dengan beberapa penerbitan khas, antaranya sisipan Bangkit dan tabloid Inikalilah! Sukar sekali untuk saya mencelah turun padang meninjau sendiri situasi akar umbi.

Meneliti laporan yang dihantar wartawan negeri atau mengikuti ulasan pantas media baru, termasuk foto menarik dalam Facebook, ia tentulah berbeda dengan saksi mata melihat perkembangan kempen PRU13 yang begitu rancak.

Memang saya sempat menjelajah setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, sebelum Najib Razak puas hati dengan tarikh pilihan raya yang dipilihnya, tetapi suasana kritikal dua minggu sebelum hari pengundian tentulah lebih istimewa untuk dihayati.

Harakah edisi Isnin, 6 Mei, yang sepatutnya mula berada di pasaran pada 5 Mei, terpaksa kami awalkan pengeluarannya, bagi memastikan ia dapat berfungsi sebagai bahan terakhir kempen.

Justeru, deadline dipercepatkan, daripada hari Khamis dan Jumaat, kepada Rabu dan Khamis supaya ia dapat berada di pasaran pada Sabtu, sehari sebelum mengundi. Dalam masa sama saya terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan Bangkit khusus untuk negeri-negeri tertentu, yang tidak dikembarkan bersama Harakah.

Khamis, 2 Mei, tiba-tiba saya terkenang negeri kelahiran Kedah. Semenjak mula mengundi pada 1990, sehingga 2008 (walaupun tahun itu saya bertindak mengoyak kertas undi, tanda protes terhadap pengendalian SPR yang terdedah kepada penipuan dan penyelewengan), saya akan pulang ke Kampung Raja, Jitra. Pada 2012, saya berpindah tempat mengundi di Lembah Jaya, Ampang, Selangor.

Semasa saya ligat menyelami gelodak rasa pengundi di seluruh negara, rupa-rupanya saya bagai terlupa negeri sendiri, Kedah, yang diterajui PAS sejak tsunami politik, Mac 2008. Ramai rakan-rakan bertanya, mengapa saya kurang menyinggung isu-isu Kedah dalam kolum Catatan Hujung ini. "Saya sendiri tidak arif dengan pembaharuan di Kedah," jawab saya, jujur, walaupun terasa kebodoh-bodohan.

Dalam tempoh lima tahun itu, saya hanya sempat dua kali bertemu langsung dengan Menteri Besat Ustaz Azizan Abd Razak. Pertama, beberapa bulan selepas PRU12, dan mengadakan wawawancara dengannya, di rumahnya, di Alor Setar. Kedua, semasa cuti Tahun Baru Cina 2012, mengunjungi kediamannya di Sungai Limau, sekadar sembang-sembang santai, dijamu nasi lemak bungkus dan dadih.

Sungguh, saya belum menjejakkan kaki ke pejabat rasmi MB, setakat singgah di kantin Wisma Negeri. Dan hasrat saya balik kampung menjelang hari mengundi juga untuk merakamkan kenangan, mana tahu Kedah boleh jatuh ke tangan BN.

Berbaki hanya dua hari sebelum mengundi, saya serba salah. Apatah lagi pada pagi Jumaat, 3 Mei, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2013, saya diundang bersama Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan Ketua Pengarang Berita Publishing, A Kadir Jasin, sebagai penalis forum "Safe to Speak: Securing Freedom of Expression in All Media", di Karangkraf, Shah Alam. Ucaptama disampaikan Prof Dr Andi Faisal Bakti, Dekan Fakulti Komunikasi, Universiti Pancasila, Jakarta.

Entah dari mana "hasutannya", saya tiba-tiba resah. Terlintas dalam fikiran, jika Kedah kalah PRU13, dan saya balik kampung hanya selepas 5 Mei, bermakna tidak sempat menatap saat-saat akhir di bawah lembayung Parti Islam.

Kerisauan itu bukanlah disokong fakta kukuh, sementalahan saya tidak mendalami mood sebenar pengundi di Kedah, walaupun mendengar banyak rungutan dan rasa kecewa kawan-kawan lama di Alor Setar.

Krisis dalaman PAS Kedah sudah menjadi rahsia umum. Isu KUIN didedahkan sendiri oleh kakitangannya. Imiginasi anak muda tidak tersentuh dengan gaya dan pendekatan Ustaz Azizan. Tiada pembaharuan memikat seperti di Pulau Pinang dan Selangor (Amat berbeda apabila Kelantan dikuasai PAS pada 1990). Dan penceramah PAS sendiri jarang menjadikan perubahan di Kedah sebagai tema pidato mereka.

Bekas menteri, Kadir Sheikh Fadzir turut meluahkan kebimbangan sama. Dalam kunjungannya ke Harakah, Kadir lebih risau tentang pencapaian ekonomi Kedah dan penonjolan Mukhriz Mahathir sebagai calon MB Kedah. Beliau mencadangkan majlis perundingan ekonomi negeri, tetapi, katanya, ia seperti tidak dipedulikan walaupun ada respons awal yang positif daripada Ustaz Azizan dan Exco Kanan, Amiruddin Hamzah.

Dalam pada itu, seorang pembaca setia Harakah mengirim SMS, enam bulan sebelum PRU13, menagih perhatian saya untuk 'menyelamatkan Kedah': "Prestasi buruk bolasepak Kedah juga boleh menganggu sokongan kepada PAS. Saya juga risau sokongan India di selatan dan problem dalaman kawasan-kawasan PAS tertentu, yang berbalah tanpa sembunyi lagi."

Bagaimanapun, saya terasa agak terhibur dan lega apabila membaca siri kolum Nota Utara, Zulkifli Yahaya, bekas editor Harakah. Penjelasan Zul meyakinkan walaupun saya dapat mengesan seolah-olah ada masalah yang cuba disembunyikan. Ya, biasalah ... bumi mana tidak ditimpa hujan! Isu-isu berkaitan pembalakan misalnya diperbesarkan media talibarut BN untuk mempengaruhi persepsi rakyat.

Selepas berbincang dengan isteri -- yang terpaksa sentiasa menemani jika berjalan jauh terutama apabila saya bertongkat -- saya kejap hati untuk balik Kedah, sebaik selesai forum media, jam 1 tengahari Jumaat. Hanya ada tiket Firefly, dengan harga puncak, hampir RM1,000 juga untuk kami berdua.

"Jom balik tengok Kedah, mana tahu, kalah ke Ahad ini? saya bergurau dengan isteri. Siti Hawa jelas tidak gemar dengan "lawak bodoh" saya itu. "Jangan sebut benda tak baik," pintasnya.

Menghampiri lapangan terbang Subang, saya perhatikan banyak poster dan sepanduk calon PAS Kota Damansara. Pelik, bagaimana arahan parti agar memberi laluan kepada Dr Nasir Hashim, Presiden PSM, calon KeADILan, seperti tidak diendahkan.

"Sepatutnya PAS menunjukkan ketegasan hormati setiakawan sesama parti dalam Pakatan, walaupun terpaksa mengambil tindakan disiplin kepada ahli sendiri yang engkar," kata seorang wartawan senior.

Semasa menunggu pesawat, saya dihampiri tiga pembaca Harakah, yang menyuntik kata-kata semangat, selain membuat cadangan kempen terakhir untuk memastikan misi Putrajaya berhasil. Seorang darinya membutirkan dua strategi dan pendekatan pembebasan Makkah oleh Rasulullah, yang boleh digunakan PAS.

"Harakah dah tutup kedai, kami akan keluar balik selepas keputusan diumumkan," balas saya sambil ketawa. "Sebab itu saya terbang sekejap balik kampung, esok malam balik KL semula." Mereka, tanpa syak, yakin hayat BN segera berakhir.

Sebaik tiba di lapangan terbang Kepala Batas, seterusnya ke Jitra, memerhatikan perang poster di sepanjang jalan, saya hairan mengapa dikibarkan bendera hitam-putih PAS. "Berkabung ke ni?" Abang saya yang memandu, menjawab: "Orang Umno kata itu tanda Syiah, tapi mengarutlah, sebenarnya untuk mudahkan pengundi aja sebab kertas undi bukannya warna."

Saya tidak bersetuju hujah itu. Tapi, biarlah, bukan isu pun ... Kertas undi sememangnya dari dulu hitam-putih, 'kan? Dan tak pernah mengelirukan pun. Sepanduk rasmi PAS Kedah dengan paparan wajah Ustaz Azizan, yang menghiasi simpang strategik, juga tidak menarik. Apa pun, segalanya persepsi, hal kecil.

Seperti lazimnya, saya lebih suka melihat sesuatu dengan andaian senario terburuk agar usaha penambahbaikan boleh direncanakan untuk mengatasinya. Namun, respons daripada rakan-rakan PAS Kedah cukup positif. Masing-masing yakin menang.

Saya cuba mengusik: "Takkan langsung tak risau kita mungkin kalah?" Mereka tetap percaya Kedah tidak akan tumbang, malah dapat menambah beberapa kerusi Dun.

Kepada sahabat-sahabat yang kritis dengan Ustaz Azizan dan tidak berpuas hati dengan jaminan PAS Pusat untuk "memantau" perjalanan kerajaan negeri, mereka menjawab: "Sokongan rakyat tak berubah, cuma harapnya Ustaz Azizan bukan lagi MB selepas ini." Saya hanya tersenyum.

"Kita perlu pemimpin yang dinamik, tangkas, mudah didekati, sedia mendengar idea orang lain, bijaksana merumuskan pandangan berbeda, berkepala dingin, semangat kerja berpasukan ...," panjang pula leteran kawan saya itu, seorang jurutera.

Sabtu, 9.45 malam, saya berlepas pulang ke Kuala Lumpur. Setibanya di LCCT, di atas pesawat, ketika menunggu kerusi roda ke terminal, juruterbang AirAsia menyapa mesra, "Saya suka baju itu." Beliau merujuk T-shirt "Harakah: Media Pilihan Rakyat PRU13", yang saya pakai.

Untuk alas perut, sambil menanti kenderaan ke Ampang, saya dan isteri memesan ayam KFC. Seorang pelayan, anak muda India, dalam lingkungan awal 20-an, menunjukkan tanda bagus ketika saya berselisih untuk membasuh tangan. "Semoga berjaya esok, bang!" katanya, juga menunjukkan kepada T-shirt Harakah. Esok, Ahad, hari mengundi PRU13.

Saya akan merakamkan debar menunggu keputusan dan analisisnya pada keluaran Harakah akan datang.

II.

Saya lebih berminat dengan bentuk laporan media sepanjang kempen. Semua akhbar harian, termasuk The Star, kecuali Sinar Harian, dan juga siaran televisyen, khususnya TV3, bagai "kerasukan" berkempen untuk BN dan mencari keburukan Pakatan.

Utusan Malaysia, melalui edisi petang yang diedarkan percuma, memainkan sentimen perkauman. Rujuk keratan akhbar, muka 7, terbitan 30 April, yang menyiarkan grafik Lim Kit Siang, tertera "Gua akan jadi PM komunis Republik Malaysia yang pertama!"

Tidak cukup setakat itu, seminggu kemudian, selepas keputusan diumumkan, Utusan terus membakar api perkauman, melalui laporan sensasi, misalnya dengan tajuk "Apa lagi orang Cina mahu?"

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menegur laporan Utusan Malaysia yang memuatkan laporan berhubung sokongan Cina dalam PRU13 yang disifatkan provokatif dan memesongkan pembaca.

NUJM berkata, akhbar Umno itu tidak harus menyiarkan laporan sebegitu, yang disifatkan perkauman dan cuba menghasut ketegangan antara kaum.

"Seperti yang kita semua tahu, Umno yang manipulasikan Utusan Malaysia di belakang tabir. Tapi ia bukannya akhbar parti yang hanya kepada ahli-ahli Umno, ia tidak patut dipergunakan sebagai senjata atau bahan propaganda parti politik untuk menyerang lawan politik."

Saya tertarik dengan berita mengenai kekecewaan bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam yang kalah di Bukit Katil. Ali menyifatkan masyarakat Cina di negara ini sebagai orang yang tidak mengenang budi dan menghargai jasanya.

"Mereka langsung tak kenang budi. tidak ambil kira jasa saya ketika mereka datang hingga lewat malam minta tolong, bila saya bantu ini yang saya terima," kata Ali, seperti dilapor Utusan.

Akhirnya, izinkan saya merakamkan tulisan kolumnis Karim Raslan: "Pakatan mengalahkan BN dengan teruk di bandar-bandar.BN boleh terus mentadbir dengan ddengan sokongan pengundi luar bandar dalam masa singkat, namun yang pasti bandar merupakan sumber idea dan tenaga yang BN sangat perlukan untuk memperbaharui diri mereka.

"Pakatan mungkin tidak berjaya mendapatkan jumlah kerusi yang mereka harapkan, namun amat jelas ia menguasai kawasan-kawasan paling dinamik di Malaysia. Suka atau tidak, itu akan memberi kelebihan untuk jangka masa panjang."



Oleh : Ahmad Lutfi Othman, 10 Mei 2013

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...