28 November 2013

TERKINI ! NAJIB TEMUI MB KELANTAN DI PUTRAJAYA

Najib Tun Razak

Akhirnya Ahmad Yaakub menemui Najib di Putrajaya

BERITA TERKINI

Setengah jam lalu saya menerima kiriman dua keping gambar Menteri Besar Ahmad Yaakub dengan diiringi Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa yang baru turun dari pejabat Perdana Menteri di tingkat empat bangunan Perdana Putra, Putrajaya.



Ahmad diiringi Ali H Hamsa selepas jumpa Najib.  Tidak ada apa-apa keterangan berhubung gambar berkenaan, kecuali ditulis "Alhamdulilah pertemuan MB Kelantan dengan PM selesai".

Gambar kedua menunjukkan tidak kurang lima orang mengiringi Ahmad dan Ali Hasma yang berada di barisan hadapan. Apakah selain Ahmad Yaakub ada pimpinan kerajaan Pas dan pegawai lain Kelantan lain ikut sama dalam pertemuan bersejarah itu?

Pertemuan dijangka berlangsung jam 9:00 pagi tadi dan selesai tidak sampai dua jam. Hendaknya ada manfaat untuk rakyat dalam pertemuan yang boleh dianggap bersejarah itu.

Sebelum ini Ahmad Yaakub sebaik saja mengambil alih kepimpinan Kelantan dari Nik Abdul Aziz Nik Mat mengambil pendekatan berbaik dan berlunak dengan kerajaan Pusat berdasarkan keperluan semantat federalimse. Istilah yang digunakan ialah pendekatan G to G.


Najib Razak dua tiga hari lepas menyebut yang Pas ingin menemuinya tanpa disebut bilakah tarikh. Disebabkan kerana ada berbangkit soal muzakarah Pas dengan Umno yang ditimbulkan oleh Presiden Pas Abdul Hadi Awang semasa menggulung perbahasan di muktamar menyebabkan orang menanti-nanti akan pertemuaan atau muzakarah sebegitu.

Disebabkan begitu cepat Ahmad mengunjungi Najib di pejabatnya hari ini, saya mengira temujanji itu dibuat lebih awal sebelum muktamar lagi. Boleh jadi Abdul Hadi membangkitkan perkara itu dalam muktamar lalu agar ia tidak mengejutkan sesetengah ahli Pas dengan apa yang berlaku hari ini.

Semestinya Ahmad Yaakub telah merujuk kepada Presiden parti berhubung tindakannya itu. Mungkin Abdul Hadi sudah memberi pandangan dari berbagai sudut kepada Ahmad Yaakub sebagai panduan.

Hendaknya biarlah pertemuan hari ini berlangsung atas kepentingan bersama untuk rakyat dan ianya ikhlas. Jangan pula ada permainan politik di sebalik itu. Juga biarlah pertemuan Ahmad dengan Najib itu sama dengan kondisinya dengan pertemuan Mohd Asri ketika itu MB Kelantan dengan Tunku Abdul Rahman sebagai PM 44 tahun lampau.

Ahmad Yaakub sebaik pulang ke Kota Bharu hendaklah membuat sidang media sesegera mungkin menjelaskan hasil dan tujuan pertemuan itu. Sekiranya lambat ia boleh dispekulasikan dengan berbagai andaian dan tuduhan yang boleh menimbulkan sedikit kekeliruan. ~MSO


PM terima kunjungan MB Kelantan


Najib mempersilakan Ahmad Yaacob ketika menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan itu di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya di Perdana Putra di sini.

Ahmad yang ditemui sejurus selepas perjumpaan selama kira-kira 45 minit itu berkata, ia merupakan kunjungan hormat beliau selaku menteri besar Kelantan yang baru dilantik.

Beliau berkata, antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah berkaitan dengan pelbagai bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.

"...contohnya berkaitan dengan infrastruktur dan juga hal-hal lain untuk kebajikan rakyat," katanya dan menambah, isu berkaitan politik tidak dibincangkan dalam pertemuan itu.

Ahmad tiba di bangunan Perdana Putra pada kira-kira pukul 9 pagi bersama beberapa anggota exco kerajaan negeri Kelantan, dan beliau diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika memasuki pejabat perdana menteri.

Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan pada 6 Mei lepas, menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyandang jawatan menteri besar selama 23 tahun. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...