16 Oktober 2013

Panas ! Protes pemilihan, 14 AJK Wanita Umno Kalabakan letak jawatan


TAWAU: Empat belas daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Kalabakan yang menang pada pemilihan parti itu Sabtu lalu mengambil keputusan meletak jawatan sebagai protes berhubung pemilihan itu.

Suriyani Lamai, yang mengetuai protes itu, berkata mereka mengambil keputusan itu kerana menganggap banyak perkara meragukan dalam proses pemilihan.

"Kami mengambil keputusan meletak jawatan beramai-ramai kerana kami tidak puas hati," katanya pada sidang berita di sini hari ini yang turut dihadiri kesemua 14 ahli jawatankuasa bahagian itu.

Selain Suriyani, yang memperoleh undi terbanyak, turut meletak jawatan ialah Masnah Lama, Hindun Abu Bakar Titingan, Salmah Maidin, Astika Tahir, Nurida Abu Bakar, Zainab @ Jainab Ali, Shaniah Sampar, Norizan Omar, Juo Amin, Fatimah Abdullah, Sofiah Daud, Asiah Indobeche dan Muliati Engkeng.

Sementara itu bekas Ketua Wanita Umno Kalabakan, Datuk Hamisa Samat yang turut hadir pada majlis itu berkata pihaknya sudah menghantar laporan bantahan ke ibu pejabat Umno pusat kerana tidak berpuas hati dengan proses pemilihan itu dan berharap Jawatankuasa Pemilihan Umno memberi keputusan secepat mungkin.

"Jika boleh, sebelum 19 Oktober ini dan pemilihan semula diadakan secara adil," katanya.

Dalam pemilihan itu, beliau tewas kepada Cahaya Sulaiman dengan majoriti 33 undi bagi jawatan Ketua Wanita bahagian dan menurut Hamisa, beliau memperoleh 384 undi berbanding 417 yang diraih Cahaya manakala 10 undi lagi rosak.

Katanya, Wanita Kalabakan mempunyai 825 perwakilan yang layak mengundi pada kali ini tetapi 764 orang yang hadir pada mesyuarat Sabtu lalu.

"Saya curiga dari mana dapat 47 undi yang lebih itu. Beberapa perwakilan sudah pulang dan tidak sempat mengundi," dakwanya.

Beliau turut melahirkan kekecewaannya dengan proses pemilihan kali ini, yang didakwanya dicampuri banyak pihak.

"Ketika proses pengundian, ramai yang tidak berkenaan seperti kaum lelaki masuk ke dalam pusat pengundian. Ini tidak sepatutnya berlaku," dakwa Hamisa.

Bagaimanapun, Hamisa yang yakin dengan keputusan Umno pusat kelak selepas menghantar bantahan, meminta ahli Wanita Umno Kalabakan supaya bertenang dan meneruskan perjuangan parti.



Kejar lembu di lebuh raya

Puchong: Pengguna yang melalui Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Masjid Batu 12, Puchong di sini gempar apabila seekor lembu jantan untuk korban sempena Aidiladha terlepas dari tempat penyembelihan hingga menghalang lalu lintas, semalam.

Kejadian berlaku jam 10.30 pagi apabila haiwan seberat 300 kilogram itu dikatakan tiba-tiba ‘naik minyak’ ketika orang kampung berusaha menumbangkannya sewaktu hendak disembelih menyebabkan tali yang diikat pada pokok putus sebelum ia melarikan diri dua kilometer.



Menurut sumber, dua unit peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa setengah jam menangkap haiwan itu.

Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal selepas haiwan itu ditangkap semula sebelum dibawa ke masjid dan disembelih.


LEMBU korban lari dua kilometer dari tempat penyembelihan.

“Sebelum kejadian, saya datang ke masjid untuk sembahyang sunat Aidiladha dan membantu orang kampung menyembelih lembu korban. Namun tidak menyangka terpaksa mengejar lembu.

“Lembu itu adalah lembu ketiga yang mahu disembelih. Saya difahamkan sejak kelmarin ia menunjukkan ciri-ciri seperti mahu naik minyak,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga menjadi panik apabila haiwan itu bertindak liar dan nyaris merempuh orang kampung dan beberapa anggota polis yang mengejarnya.

Selain itu, berlaku juga kesesakan jalan raya 20 minit apabila pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan masing-masing kerana bimbang melanggar haiwan itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...