10 November 2011

PKR: LOBI CALON SEMAKIN SENGIT

Nak jadi calon, guna nama Anwar

Kegiatan menggunakan nama pemimpin-pemimpin tertentu untuk mendapatkan kedudukan boleh memberi kesan ke atas prestasi PKR dalam PRU ke 13.

PETALING JAYA: Anggota-anggota PKR yang merebut untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) sering menggunakan nama Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Mohamad Azmin Ali.
Menurut seorang aktivis politik yang dianggap sebagai orang lama dalam PKR, kegiatan menggunakan nama pemimpin tertentu untuk mendapatkan kedudukan boleh memberi kesan ke atas prestasi parti itu dalam pilihan raya umum nanti.

“Mereka ni bila bercakap dengan ahli peringkat cabang, balik-balik kaitkan nama, Azmin dan nama pemimpin lain di pusat sebab nak tunjukkan kononnya dia rapat dengan pemimpin tinggi peringkat pusat.

“Walhal, rata-rata ahli akar umbi tak kenal pun mereka sebab sebelum ni tak ada pun nak datang sini, tetapi bila dah dekat nak pilihan raya barulah nampak muka.
“Kami di peringkat cabang sebenarnya meluat tengok perangai orang macam ni,” kata beliau kepada FMT.

“Kalau orang yang lima tahun sekali turun ke bawah ini dijadikan calon, saya percaya prestasi parti akan terjejas dalam pilihan raya nanti berbanding calon dari cabang itu sendiri yang dah masak dengan orang-orang di bawah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ijam di kalangan aktivis politik Dewan Undangan Negeri (Dun) Behrang, Perak turut memberitahu perebutan kerusi calon bagi Dun dan Parlimen di kawasan itu turut melibatkan persaingan lebih dari tiga penjuru termasuk seorang wanita di peringkat cabang.

“Bukan seorang, dua tetapi lebih, termasuk seorang ahli wanita yang semakin giat berkempen supaya dicalonkan untuk kerusi parlimen. “Ada seorang tu pulak, bekas editor sebuah akhbar, datang sini siap dengan makwe dia. “Bila bercakap, nama Anwar, Azmin memang tak lekang dari bibir sebab nak tunjuk kononnya dia ada pengaruh dengan orang-orang di pusat.

Tiada keyakinan diri
Beliau turut menganggap individu-individu yang menggunakan nama-nama pemimpin peringkat pusat sebagai tiada mempunyai keyakinan diri. “Biasanya orang macam ini tidak ada keyakinan diri atau biasanya orang anggap dia tiada apa-apa pun.“Berpengaruh dengan orang bawahan, jauhlah sekali sebab itulah sampai terpaksa berpaut kepada pengaruh orang-orang tertentu yang ada nama untuk dia bergayut.
“Itu pun kalau betul dia ada pengaruh di peringkat pusat, belum tentu lagi dia berpengaruh di peringkat akar umbi di sini.

“Sebab yang akan bertungkus lumus bekerja dalam jentera pilihan raya nanti bukannya pemimpin di atas tu, tetapi kami ahli-ahli akar umbi inilah yang akan bekerja keras.
“Yang akan membuang undi pun juga masyarakat akar umbi inilah nanti, bukannya dua tiga kerat pemimpin di atas tu,” ujar beliau lagi.

Ijam turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu yang menganggap PAS Terengganu belum bersedia untuk mengganti Barisan Nasional di negeri itu.
“Saya nak tanya AMK Terengganu, masa Pakatan Rakyat menang di Selangor, adakah PKR sudah cukup bersedia nak mentadbir Selangor?

“Tapi Alhamdullilah, walaupun tak bersedia masa tu, tetapi dengan adanya permuafakatan rakan-rakan dari PAS dan DAP, Pakatan Selangor dapat juga mentadbir, walaupun ada beberapa kelemahan yang boleh dibaiki.

“Adakah AMK Terengganu fikir, PKR dapat menerajui kerajaan Selangor kalau tidak dibantu dengan kerusi-kerusi Dun yang dimenangi PAS?
“Jadi, bila bercakap tu, ingat-ingatlah dalam Pakatan ni bukan ada PKR sahaja tetapi kita ada rakan-rakan dari parti lain juga samada PAS atau pun DAP, bila sampai masa mereka juga bekerja dengan kita nanti,” ujar beliau lagi.-fmt

Komen: PKR Kedah wajar berhati-hati dengan cara pemilihan calon kerana tragedi lompatan ADUN hampir menumbangkan kerajaan PR. Paling utama segala teknikal kelayakan calon perlu diambil kira supaya tiada calon ditolak di hari penaman calon seperti PRU12 yang lalu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...