Halang PRU 13 sebelum laksana perubahan
KUALA LUMPUR, 6 Nov: Puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berazam untuk mengambil pelbagai langkah sewajarnya untuk menghalang Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 diadakan sebelum perubahan proses pilihanraya dilaksanakan oleh kerajaan BN.
Mereka sebulat suara menegaskan, PRU 13 tidak boleh diadakan selagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen belum melaksanakan kerjanya dengan berkesan bagi perubahan proses pilihanraya untuk membolehkan pilihanraya yang bersih dan adil dilaksanakan di negara ini.
Presiden Malaysian Civil Leberties Movement (MCLM) atau Pergerakan Kebebasan Awam Malaysia, Haris Ibrahim berkata, pihaknya dan lain-lain NGO yang bergabung dalam organisasi massa tetap bersama keseluruhan rakyat negara ini yang berhasrat untuk melakukan perubahan regim ke Putrajaya melalui pilihanraya yang bersih dan adil.
Menurutnya, rakyat negara ini tidak lagi boleh menerima percubaan Umno BN untuk kekal berkuasa sehingga sanggup melakukan penipuan secara terang-terangan dalam pilihanraya.
Katanya, pihak Umno BN sewajarnya malu kepada rakyat negara ini dan seluruh dunia untuk melakukan penipuan dalam pilihanraya bagi membolehkan mereka kekal berkuasa.
"Namun kami telah menerima maklumat yang boleh dipercayai bahawa Perdana Menteri akan melakukan pembubaran Parlimen pada 11 November ini bagi membolehkan PRU Ke-13 diadakan pada 10 Disember 2011 ini.
"Jika benar, kita lihat ini sebagai satu langkah sekali lagi oleh Umno dan Barisan Nasional untuk memegang kuasa sama ada di peringkat persekutuan dan negeri melalui cara penipuan," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, semalam.
Dengan tindakan itu, menurut beliau, Umno dan Kerajaan BN jelas sekali lagi menafikan hak rakyat untuk melakukan perubahan rejim ke Putrajaya melalui pilihanraya yang adil dan bersih.
Katanya, tindakan tersebut jelas bertentangan dengan beberapa ketetapan dan peraturan, tetapi ia tidak mustahil berlaku memandangkan penyelewengan terhadap proses pilihan raya di negara ini telah sekian lama dilakukan oleh kerajaan BN.
"Akibat penyelewengan itu, rakyat telah turun ke jalan raya dengan mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, bagi mengemukakan beberapa tuntutan kepada pihak kerajaan supaya mengadakan pilihanraya dengan bersih dan adil.
"Walaupun dihalang dengan pelbagai cara oleh pihak kerajaan dan polis, rakyat tetap juga turun ke jalan raya pada hari itu dan ini jelas melambangkan kemarahan rakyat terhadap pihak pemerintah," katanya.
Pihak kerajaan, tambahnya, kelihatan seperti mengalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada awal bulan lalu bagi melaksanakan proses perubahan pilihanraya di negara ini, tetapi perkembangan terbaru tetap mengecewakan rakyat.
Menurutnya, Kerajaan BN tetap melakukan penyelewengan terhadap pilihanraya menerusi beberapa cara termasuk dengan memasukkan 42,051 nama-nama yang tidak sah dalam daftar pemilih seperti yang diakui oleh pihak SPR sendiri baru-baru ini.
"Pengakuan dan perjanjian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, setelah didesak, untuk membuang nama-nama 220 orang bukan warganegara yang dilakukan di Paya Jaras setelah nama mereka muncul dalam daftar pemilih bagi suku kedua 2011," katanya.
Pendedahan melalui Wikileaks, ujarnya, mendapati 600,000 orang asing telah diberikan kewarganegaraan dan dimasukkan dalam daftar pemilih sebagai pengundi di Sabah pada tahun 90-an, semasa tempoh mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamed.
"Satu lagi pendedahan melalui Wikileaks bahawa bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengakui bahawa pihaknya telah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu Malaysia kepada pekerja-pekerja asing di Sabah pada tahun 1990-an atas perintah Umno," katanya.
Satu laporan lain pula, menurut beliau lagi, mengesahkan wujud pada daftar pemilih pengundi klon yang berjumlah kira-kira 10,000 orang.
Katanya, Kerajaan BN juga kini telah mengiktiraf dan memberikan hak kepada kira-kira 700,000 orang pengundi yang dikatakan layak mengundi dan berada di luar negara untuk mengundi melalui pos.
Beliau turut kesal kerana 4 juta orang pengundi muda gagal mendaftarkan diri sebagai pengundi bagi PRU Ke-13, ekoran perubahan terhadap kaedah-kaedah pendaftaran pengundi yang dilakukan oleh SPR.
Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Cikgu Bard; Pengerusi League Unemployed Graduates, Devadas Silvaraju; Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Rohana Ariffin dan Pengerusi India Justice Party (IJP), PS Jenapala.-hd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan